🌲027_

98 20 6
                                    

Seawal jam 4.30 pagi, Clara sudah bangkit daripada keempukan katil tempat dia beradu. Hari yang bakal dilaluinya dirasakan sedang menyalakan sinar supaya segala rutin berjalan lancar.

Semangat Clara hari itu juga luar biasa. Meskipun dia sendiri tak mampu melelapkan mata sejak semalam, dia yakin yang dia mampu kekal bertenaga sepanjang hari. Malah kerap kali dia memberitahu diri sendiri.

"Alhamdulillah. Papa dah balik. Papa aku dah balik."

Jarum jam baru sahaja menunjukkan pukul 5.15 pagi ketika Clara terkocoh-kocoh ke ruang tamu. Beg sekolah dilambung ke atas sofa sebelum dia berlalu ke dapur. Dia mahu mengisi botol mineralnya dengan air kosong.

Dia kemudiannya menarik keluar peranti mudah alih yang disimpan dalam poket baju sekolah. Tin milo dicapai. Penutup bekas plastik dibuka lalu telefon semalam dimasukkan ke dalamnya kembali. Dia menanam semula harta karun itu ke dalam timbunan milo.

Dalam hati sedang berharap agar Puan Maria tidak menyedari tindak-tanduknya di dalam gelap. Memang sengaja lampu tak dipasang olehnya.

Sebaik sahaja tin milo diletakkan ke tempat asal, Clara kembali ke bilik. Dia mahu membelek buku sementara menunggu waktu Subuh.

* * *

"Macam mana? Boleh masuk tak?"

Syifa' bersandar tenang pada dinding. Tangan disilangkan ke dada. Rasa sejuk pendingin hawa mencengkam tulangnya.

"Boleh. Misi kat kaunter tu cakap, sejak semalam tak ada yang datang melawat. Penjaga pun tak ada," ujar Ilham turut bersandar pada dinding di sebelah Syifa'.

Mujurlah kelas tambahan petang itu dibatalkan. Dapatlah mereka datang ke hospital seusai sesi persekolahan. Jikalau tidak memang tidak akan berkesempatan.

"Tak guna betul. Budak bawah dia orang pun buat tak tahu je ke? Hantarlah dua tiga orang untuk jaga dia. Tak ada otak. Kalau jadi Aisy, memang aku ganyang ...," gumam Syifa' dengan gigi diketap. Keningnya berkerut.

"Jaga sikit mulut tu. Cuba kau fikir. Kalau hantar orang ke sini, tak ada maknanya kau boleh masuk jumpa dia. Nampak tak? Kita dah dikira untung tau," Ilham laju memotong kata-kata Syifa'.

Ilham menjeling tajam. Malas hendak melayan Syifa' yang banyak songeh, Ilham segera berjalan menuju sebuah wad di hujung lorong. Cermin pandang tembus pintu wad membawanya kepada susuk tubuh seorang gadis yang terbaring lesu di atas katil.

Dia memberi ketukan beberapa kali sebelum memulas tombol pintu. Dengan penuh berhemah, dia menolak daun pintu dan menjengahkan kepalanya ke dalam.

"Cepatlah masuk! Lambat sangatlah kau ini."

Bahu Ilham ditolak ke tepi sedikit kasar. Hampir tumbang lelaki itu dibuatnya. Syifa' dengan selamba menerpa masuk. Rungutan Ilham tidak dia endahkan malah dilayan bagai angin lalu.

"Kau tak belajar Sivik ke perempuan? Tak reti nak hormat orang lain?"

Ilham mendengus ketika melihat Syifa' yang sekadar mengangkat kening dan kedua-dua hujung bibir melorot ke bawah.

"Jadi ... kau rasa, keputusan untuk bunuh diri tu tepatlah? Nak lari daripada kenyataan? Nak lepaskan tanggungjawab? Nak tinggalkan apa yang kau dah mulakan dulu? Nak biarkan manusia tak berhati perut macam dia orang bermaharajalela? Macam tu?"

Syifa' melancarkan soalan dengan laju seperti muntahan peluru. Di mana dia telah menetapkan keberadaan sasaran. Dengan posisi yang betul, muncung pistol perlu dihalakan tepat ke arah target. Dan dia hanya tinggal untuk menarik picu dan melepaskan tembakan.

Syifa' mengukir senyum sinis. Nyata mangsa benar-benar terkesan dengan apa yang diperkatakannya. Wajah Aisy sedikit keruh. Kerusi di hujung katil ditarik mendekatinya. Dia memilih untuk duduk menghadap wajah Aisy dengan lebih dekat. Siku ditongkatkan di birai katil.

"Aku bukannya bunuh diri," desis Aisy perlahan.

Dia jelik dengan pertanyaan Syifa'. Melulu tanpa menyelidik terlebih dahulu. Sudahlah rasa amarah yang masih membara terpaksa diperam sepanjang berada dalam wad. Jika dia buat hal, pasti doktor di sini menganggapnya tak siuman. Tambah lagi, dia bersendirian melewati malam yang panjang. Mata langsung tak dapat ditutup. Degil.

"Tak boleh ke kau tanya dia elok-elok? Aduh ... gatal pula tangan aku nak lempang mulut kau tu," Ilham meluahkan rasa tak puas hati. Makin dibiarkan makin melarat pula perangai tak semenggah Syifa'.

"Dah banyak rupanya perubahan kau sejak kebelakangan ini, kan? Sudah pandai nak ugut orang." Syifa' menggeleng kecil.

Masih berlawan dengan perasaan sendiri, Aisy menarik nafas dalam. Ada sesuatu yang mahu dia ungkapkan. Tapi terlalu berat untuk disuarakan. Membayangkannya saja sudah mampu menggelegakkan darah.

"Profesor Dafi dah balik. Aku jumpa dia ... kelmarin."

Suara Aisy bernada tinggi rendah. Meskipun tidak begitu stabil pada pendengaran Ilham dan Syifa', mereka terlalu peka untuk menangkap bait bicara Aisy.

"Tap ... tapi macam mana?" tanya Ilham bingung.

"Entah. Orang utan kot yang hantar dia balik. Sebab buat semak tempat dia orang je." Syifa' mengangkat bahu dengan mata diputar ke atas.

"Aku harap kau cepat sembuh. Jadi, kau boleh teruskan rancangan kita. Kau boleh keluar dalam masa terdekat?" soal Ilham masih mengekalkan nada mendatarnya.

"Rasanya lusa dah boleh keluar." Aisy menala pandangan ke siling putih. Fikirannya kosong namun masih berbaki dengan calitan kemarahan.

"Mak ayah kau tahu tak pasal ni?"

"Tak. Aku cakap aku tidur rumah Clara untuk dua tiga hari ini."

Suasana sunyi seketika. Masing-masing menjadi kelu untuk berkata. Namun, semuanya tidak kekal lama sebelum Syifa' mengemukakan soalan.

"Siapa yang akan bayar bil hospital kau?"

Aisy diam. Sejujurnya tidak pernah dia terlintas akan hal itu sebelum ini. Pertanyaan Syifa' merusuhkan hatinya. Siapa yang nak bayarkan untuk aku?

"Tak apa. Pasal bil kau tak payah risau. Nanti aku minta Uncle Lewis setelkan untuk kau."

"Sekejap. Belum cukup matang lagi kau ini. Kalau Uncle Lewis bayarkan, pecahlah tembelang kumpulan kita. Dia orang mesti akan selidik pasal pembayaran. Dan secara tak langsung boleh jejak Uncle Lewis."

"Bukankah sepatutnya hospital akan rahsiakan perihal ini? Macam melindungi data hospital."

"Sama ada kau, aku atau kita, masing-masing tak tahu dah berapa puluh ribu manusia yang dia orang sumbat racun kawalan tu. Mungkin juga pengarah hospital? Yang membolehkan mereka mengakses data hospital dengan petik jari je. Mestilah target mereka orang yang berpangkat tinggi. Tidak begitu?"

"Habis tu, siapa yang nak bayar? Kau mampu? Aku tak mampu. Dan aku pasti yang mereka tak akan keluarkan duit satu sen pun semata-mata untuk jelaskan bil."

Aisy meneguk liurnya kesat. Matanya mula bergenang.

Kuat, Aisy. Perjalanan kau masih jauh. Jadi, kau kena kuat.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now