🌲050_

63 13 0
                                    

"Assalamualaikum."

Dengan serentak Maria, Hanis dan Inspektor Khairul memalingkan muka mencari arah punca suara.

Bergegas Hanis ke muka pintu bagi mendapatkan kepastian. Dia menghela nafas lega saat melihat Clara yang memperlahankan kayuhan masuk ke bawah garaj.

"Hai, Clara Arianna! Masih ingat saya?" tegur Hanis sambil melambai mesra.

Tergelincir senyuman Clara mendengarkan soalan Hanis.

"Tentulah saya ingat. Awak dan Inspektor Khairul pernah cuba bawa saya ke tempat pelik di kawasan gudang lama." Clara melemparkan pandangan ke arah lelaki berjaket hitam yang bersandar tenang pada kereta.

"Kami cuba bawa awak tapi gagal. Clara bijak melarikan diri. Dan hari ini, kami akan bawa Clara ke sana lagi. Maksud saya, selamat sampai ke tempat yang betul," ujar Hanis sambil meraih tangan Clara. "Kali ini bersama Puan Maria. Jadi Clara jangan risau, ya."

"Mana mama?"

"Puan Maria ada di dalam."

Tangan ditarik Clara semula. Kaki mengorak langkah ke ruang tamu rumahnya.

"Mama, kita takkan ke mana-mana hari ini. Itu keputusan Clara. Nanti Clara telefon papa untuk bagitahu yang kita tak dapat pergi."

Keputusan senekad itu diambilnya. Perihal bagaimana dia mahu mengotakan janji yang dituturkan kepada Syifa', akan dia fikirkan cara lain. Dia yakin tanpa menempati posisi ketua itu sekalipun, dia boleh memulihkan keadaan. Clara memujuk diri.

"Tak boleh, Clara. Semua orang sedang tunggu kita. Kami perlu bawa awak dan Puan Maria ke sana segera," Hanis yang mula kalut terus menyampuk. Tugas yang diberi perlu dilaksanakan dengan jayanya.

"Siapa semua orang? Ke mana awak nak bawa kami berdua?" soal Clara sengaja ingin menduga.

Hanis menggigit bibirnya. Dia menjeling Maria yang masih diam. Hanis sama sekali tidak mampu meneka apa yang berlegaran di sebalik riak wajah kosong wanita itu.

"Puan tidak beritahu Clara? Berkenaan hari penting ini?"

"Papa hanya maklumkan bahawa dia menyediakan hadiah untuk saya. Itu saja. Tidak lebih, tidak kurang. Saya tak tahu pula melibatkan 'semua orang'. Dan kami dijemput sebegini rupa," tempelak Clara geram.

Sakit juga hatinya apabila tidak dijelaskan perihal sepenting itu sama ada daripada papa atau mamanya sendiri.

Rasa pedih menjalar dalam pembuluh darahnya. Siapa saja mampu menelan hakikat bahawa dia terpaksa meminta bantuan luar bagi menyelesaikan masalah keluarga sendiri yang lebih memilih untuk berahsia daripadanya.

"Jom, Clara. Bila dah sampai nanti Clara akan tahu apa yang papa mahu hadiahkan kepada anak perempuannya," ujar Maria sambil mengangguk perlahan ke arah Hanis.

Memahami isyarat Maria, Hanis berlalu keluar rumah mendapatkan ayahnya.

"Jangan bantah, sayang. Mama pun tiada pilihan lain. Papa buat semua ini demi kesenangan dan masa depan Clara."

Dahi Clara dicium lama. Pipi putih mulus anaknya dikucup penuh kasih. Lalu tubuh Clara ditarik ke dalam dakapan eratnya.

Mulut Clara terkunci rapat. Mata dipejam menjemput kegelapan. Dalam pelukan hangat itu hatinya merintih sayu.

'Masa depan apa kalau terpaksa meragut nyawa mereka yang tak bersalah! Berapa ramai yang terkorban dan berapa ramai lagi yang harus dikorbankan?'

Wajah Clara terasa panas. Birai mata mula bertakung.

S.A.L.A.H.Donde viven las historias. Descúbrelo ahora