🌲013_

168 32 22
                                    

"Assalamualaikum!"

Dua gadis melontarkan suara serentak agar gelombang paduan kelunakkan suara mereka sampai ke pendengaran tuan rumah.

Loceng rumah pada pagar yang tinggi melangit itu ditekan berkali-kali. Mereka berharap agar penghuni rumah menyedari kedatangan tetamu yang sudah kering tekak akibat cuaca panas. Salah seorang daripada mereka asyik menjenguk ke halaman rumah di sebalik celahan pagar kayu jati rumah agam itu.

"Maya. Kau nampak tak kereta Porsche Dato' Bandar? Selalunya dia guna kereta tu." Aira menekan loceng lagi dan lagi.

"Ada," jawab Maya ringkas. Keningnya bertaut sesama sendiri dan dia menggigit bibir tak keruan.

"Aku tak kira. Hari ini juga kita kena face to face dengan dia. Kalau tak, keadilan sahabat kita takkan dapat ditegakkan! Kita sebagai kawan arwah perlu berjuang untuk haknya!" ucap Aira penuh bersemangat.

Tangannya masih laju menekan loceng. Rasa lenguh pada hujung jemari, dia mematahkan tulang jari sehingga menghasilkan bunyi sebelum menyambung tugas menekan butang kecil itu.

Seketika kemudian, pintu pagar terbuka secara automatik. Membawa pemandangan mereka jauh meneroka halaman rumah yang tak ubah bagaikan kawasan istana.

Aira dan Maya saling berpandangan. Mereka berpegang tangan dengan penuh erat sebelum melangkah masuk dengan penuh semangat. Kedatangan mereka sama sekali tidak akan dipersiakan.

* * *

"Silakan duduk dahulu, ya. Nanti Chek Ana buatkan air. Berehatlah dulu. Dato' Bandar masih di atas. Dah diberitahu dengan kedatangan kamu berdua. Sebentar lagi Dato' Bandar turun. Chek Ana ke dapur dulu, ya."

Sopan saja pembantu rumah yang sudah agak berusia itu menunduk dan berlalu ke dapur.

Aira dan Maya lantas menghenyakkan punggung di atas sofa yang empuk itu. Sofa keluaran terhad yang ditempah daripada Itali itu sememangnya menyelesakan.

Mereka selalu juga bertandang ke rumah itu ketika arwah Zea masih hidup. Diceritakan oleh Zea kepada mereka tentang kualiti barangan dan perabot berjenama daripada luar negara. Kagum sungguh mereka dengan kemewahan milik keluarga Zea.

Bunyi derap kaki seseorang menuruni anak tangga menangkap perhatian Aira dan Maya.

Melihat saja gerangan seorang lelaki yang sudah agak berusia memasuki ruang tamu, mereka bingkas berdiri dan tunduk hormat.

"Tak apa. Duduk sajalah. Macam tak biasa pula." Dato' Bandar Zaihan tersenyum kelat. Mungkin masih terasa kepincangan dalam hidupnya setelah pemergian si anak.

Aira dan Maya menunggu Dato' Bandar duduk terlebih dahulu sebelum dengan segan silu kembali duduk di atas sofa.

"Kenapa kamu berdua nak jumpa saya? Ada hal penting ke?"

Aira mengerling Maya di sebelah kanannya. Dia menyiku lengan gadis itu perlahan. Memberikan isyarat supaya Maya terlebih dahulu memulakan bicara.

Maya berdehem kecil dan menarik nafas dalam. Dia ke sini dengan sepenuh persediaan. Mental dan fizikal.

"Kami ke sini sebab nak bagitahu sesuatu tentang kematian Zea." Serak basah suara Maya. Dia gementar. Aira mengangguk dengan bersungguh-sungguh. Belum apa-apa lagi dia sudah teruja untuk menyingkap tirai perbincangan.

"Ya, kenapa?"

"Ka-kami... Kami rasa kami tau siapa pem-pembunuh Z-Zea." Tergagap Maya berbicara. Dia bermain-main dengan hujung jarinya yang sesekali bertaut sesama sendiri.

'Maya, kau bukan ke sini untuk gagap!' bentak Maya memarahi diri sendiri.

Riak muka Dato' Bandar berubah.

"Apa yang bakal kamu perkatakan adalah sesuatu yang sangat serius. Saya tidak menerima apa-apa berita daripada pihak polis pun. Jangan nak mereka cerita." Nada lelaki itu tegas.

"Ya, kami tahu. Kami juga dah bersedia untuk pikul apa saja yang akan menimpa kami. Kami cuma nak pertahankan hak Zea. Memang kami memilih untuk beritahu Dato' Bandar terlebih dahulu sebelum pihak polis." Aira bersuara.

"Ka-kami nampak pembunuh tu dan kami ke-kenal orangnya." Maya menambah lagi.

"Siapa?"

"Rakan sekelas Zea sendiri. Clara Arianna. Kami nampak dia berlari masuk ke kawasan sekolah petang itu. Dan kami pasti dia ialah orang terakhir yang masuk ke kawasan sekolah!" Beritahu Aira penuh yakin.

Dato' Bandar diam. Kepala otaknya sedang memikirkan sesuatu. Mulanya, Aira dan Maya fikir ayah Zea itu akan memihak kepada mereka. Tapi sangkaan mereka meleset apabila Dato' Bandar menggeleng kepalanya perlahan.

"Belum cukup bukti untuk memfailkan sebarang kes pembunuhan. Jangan sebarkan hal ini kepada sesiapa mahupun pihak polis. Atau kamu berdua akan terima padahnya nanti." Awal-awal lagi Dato' Bandar memberi amaran.

Aira dan Maya masing-masing bungkam.

Berita yang disampaikan bukanlah satu spekulasi tetapi realiti. Rasa aneh bertandang di dalam diri mereka tatkala mempersoalkan mengaapa ayah Zea tidak mahu melakukan siasatan terlebih dahulu.

"Tapi dia adalah satu-satunya suspek yang boleh kita sabitkan dengan tuduhan membunuh," Aira pula masih bertegas. Apa yang dia nampak mungkin saja bukan menyeluruh pada hari kejadian tetapi naluri sebagai sahabat membenarkan sangkaannya.

"Motif?"

"Err... kami pun masih sedang mencari pangkal permasalahan. Kami akan berusaha untuk membuktikan bahawa tuduhan kami berasas!"

Aira menaikkan bendera semangat sebagai satu permulaan misinya.

Maya pula sudah kecut perut memandang wajah tegang Dato' Bandar. Seperti ada sesuatu yang berselirat dalam minda orang tua itu. Dia tidak pasti apakah ia. Akan tetapi, separuh hatinya mula berbisik mengatakan bahawa, Clara mungkin tak bersalah.

Aira pula hanya mampu mengetap bibirnya.

* * *

Dato' Bandar mengeluh untuk kesekian kalinya. Dia bersandar ke sofa dan matanya merenung lama ke siling putih.

"Ada apa dengan Clara?" Tanya seorang lelaki yang masuk ke ruang tamu setelah beberapa minit dua budak perempuan tadi melangkah keluar daripada rumah itu. Dia menggunakan tongkat untuk berjalan lantas dia duduk di atas tangan sofa.

"Ta-Tak ada apa." Dato' Bandar mengawal riak wajahnya. Dia berdehem tidak selesa. Jantung pula berdegup tak menentu.

"Kalau perihal Clara, kau jangan nak sembunyi dengan aku, Zaihan. Ingat apa yang aku pesan. She's more precious than everything or even your daughter's life!" Dengan penuh lagak lelaki itu berbicara.

Dato' Bandar memalingkan wajahnya ke luar melalui sliding door yang terbuka di sisi ruang tamunya. Mata dipejam rapat. Rasa ngilu menggores hatinya.

Dalam keterpaksaan, dia mengangguk faham.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now