🌲028_

89 19 3
                                    

Clara bergegas menuruni anak tangga. Terdesak untuk menjejak lantai dapur, dia melangkau dua anak tangga. Dek kecuaiannya, Clara tersadung bucu permaidani lama yang sudah sedikit bergulung. Akibatnya, dia tumbang merempuh lengan sofa sebelum terjelopok atas lantai.

Seperti manusia kurang siuman, Clara ketawa besar sambil tangannya naik menutup mata. Bahu bergetar ketika dia menggelakkan diri sendiri. Tidak mahu membuang masa lagi, Clara segera bangun. Dia menggeleng beberapa kali cuba membuang rasa malu.

Kaki dihayun kembali menuju dapur. Sengihannya melebar saat melihat Encik Dafi yang sedang duduk menjamah sarapannya.

"Papa!" jerit Clara seraya memeluk lelaki itu dari belakang.

Tangannya memaut erat leher Encik Dafi. Terubat rasa rindu yang dipendam hampir setahun. Tidak mahu dia membiarkan pemilik hatinya itu pergi lagi.

"Mari duduk sini. Makan dengan papa," ujar Encik Dafi mesra. Lengan Clara ditepuk lembut.

"Biar Clara yang suapkan papa, ya. Jangan gerak. Jangan sentuh sudu, garfu, pinggan atau sebutir nasi pun. Biar anak perempuan kesayangan papa ni yang buat semua."

Clara lantas menarik sebuah kerusi ke sebelah papanya di kepala meja. Kerusi roda Encik Dafi dipusingkan menghadapnya. Sedari tadi dia tersenyum hingga ke telinga,  tidak pula rahangnya kelenguhan.

Dia menyuap sesudu nasi goreng ke dalam mulut papanya. Tangan kiri menadah di bawah agar tiada butiran nasi yang jatuh ke lantai nanti.

"Ara. Cepatlah sikit. Awak dah lambat nak ke sekolah, kan," gesa Puan Maria yang baru sahaja memunculkan diri.

Kepala langsung tidak diangkat memandang Encik Dafi mahupun Clara. Dia ralit memakai jam di tangan sebelum membelek beg seperti sedang memeriksa sesuatu yang penting.

"Tak apalah kalau lambat sikit. Ara nak suapkan papa nasi goreng ni. Nak luangkan masa dengan papa. Sekejap je lagi. Dah nak habis ni," ujar Clara seraya menghulurkan segelas air milo kepada Encik Dafi.

"Ada orang tetak ke tangan awak tu sampai tak boleh nak makan sendiri?"

Puan Maria segera berlalu ke ruang tamu setelah berkata dengan nada yang agak sinis.

Terbeliak mata Clara mendengarkannya. Sungguh dia tidak menjangka hal sebegitu yang dituturkan oleh Puan Maria. Jemari Encik Dafi lantas digenggam seerat yang mungkin kemudian dielus tangan kasar itu dengan lembut.

"Mama stres kot, papa. Jangan ambil hati, tau. Selalunya mama tak macam tu. Mungkin mama perlukan masa untuk terima semua ini. Nanti Clara pujuk mama, ya?"

"Baiklah, Cik Clara Arianna. Sudah. Pergi sekolah cepat. Mama dah tunggu tu. Elok cepat sikit sebelum dia marahkan Ara lagi."

Clara mengangguk lalu meletakkan semula pinggan ke atas meja. Dia berdiri dan kerusi yang ditarik tadi dikembalikan ke tempat asalnya.

"Clara pergi dulu. Balik sekolah nanti kita berbual lagi sampai esok pagi. Okey?"

Clara menyalami Encik Dafi lama. Tenang rasanya saat bibir mencium tangan lelaki yang dirinduinya itu. Terdetik di hati Clara bahawa mungkin Puan Maria yang masih belum pulih daripada trauma terpaksa menerima kepulangan Encik Dafi secara tiba-tiba.

Tatkala deruman enjin kereta milik Puan Maria meninggalkan halaman rumah, telefon Encik Dafi berdering menandakan ada panggilan yang masuk. Ikon berwarna hijau ditekan.

"Ya, ada apa kau telefon aku?"

Encik Dafi sekadar mengangguk kecil mendengar suara pemanggil di corong telefon. Dia mendengus perlahan berasa tidak senang.

"Baik. Kau datang ambil aku. Sekarang," arah Encik Dafi seraya mematikan panggilan.

* * *

Setiap dinding diletakkan beberapa lukisan yang menjadi karya pelukis terkenal tanah air. Saiznya memakan hampir keseluruhan dinding.  Gambaran yang cuba diolah pelukis tampak hidup dan segar. Bagi mereka yang mencintai seni lukisan, pasti mampu melakar imaginasi seolah-olah mereka berada dalam lukisan tersebut.

Aroma bunga lavender yang tidak terlalu kuat mengisi ruang kosong udara dalam bilik makan. Lagu Inggeris klasik yang dipasang sayup kedengaran daripada pembesar suara restoran mewah itu.

"Ada apa hal kau nak jumpa aku?" Encik Dafi terlebih dahulu bersuara.

"Baik. Terus ke poin utama. Sejak kematian anak aku hampir dua minggu lepas, aku upah unit penyiasatan khas. Yang pasti, lebih efisen daripada kumpulan Inspektor Khai yang lembap tu," Dato' Bandar Zaihan bersuara mendatar.

Dia mencicip kopi panas yang dihidangkan oleh pekerjanya sebentar tadi. Ruang makan itu sememangnya dikhaskan untuk pertemuan yang penting. Dan kebanyakan daripada mereka merupakan ahli politik yang sejawatan dengannya. Lantas jemari bertaut erat dan diramas perlahan.

"Kedua-duanya bukan urusan aku."

Jawapan ringkas Encik Dafi menegangkan emosi Dato' Bandar Zaihan. Dadanya berombak menahan rasa. Namun, riak wajah yang tenang cuba dipamerkan.

"Pegawai polis kesayangan kau tu tak reti buat kerja. Kes mudah macam ni pun tak berhasil," dia masih berdolak-dalih. Posisi dibetulkan supaya lebih selesa. "Pembunuh anak aku, pelajar sekolah yang sama. Dasar budak bodoh."

"Habis tu? Apa kaitannya dengan aku? Bagitahu cepat. Aku tak ada masa untuk perkara yang tak penting." Encik Dafi tersenyum sinis sambil menggeleng perlahan. Tetapi senyumannya luntur apabila satu ingatan menjengah kotak memori. "Dan kau kena ingat. Jangan nak libatkan anak aku dalam hal ini."

"Aisy. Anak tunggal aku di ... dibunuh oleh budak miskin tak guna macam kawan baik anak kau tu. Anak perempuan aku menjadi mangsa kegilaan budak bawahan kau. Jijik!"

Dato' Bandar Zaihan mengepalkan tangan. Kuku dibenam ke dalam tapak tangan. Biar tembus isi daging jika mampu mengusir amarah yang sedang meluap.

"Jadi, apa tindakan kau? Nak sumbat dia dalam penjara? Silakan. Tak jadi masalah. Asalkan kau tak sentuh anak aku. Faham? Jentik pun aku tak benarkan."

Encik Dafi menembak lelaki itu dengan pandangan tajam. Kopi yang sedari tadi disediakan langsung tidak terjamah.

"Sebab tu aku nak jumpa kau. Kau ada sesuatu yang aku tak ada."

Terjongket tinggi kening Dafi. "Apa yang aku ada?"

"Racun unik untuk suntikan pada Aisy."

Baru sahaja hendak mencicip minumannya, gelas kembali diletakkan ke pinggan kecil. Dafi merenung Zaihan tajam.

"Kau nak buat apa dengan benda tu? Nak bunuh budak itu?"

Teragak-agak Zaihan melakar senyuman tipis.

"Kau dah langgar perjanjian kita. Jadi, untuk meraih maaf daripada aku bukan selogiknya kau memberikan apa yang aku mahukan?"

Jemari ditautkan bersama erat sedang siku ditongkatkan pada kedua-dua belah tangan kerusi roda miliknya.

"Kau ugut aku?"

"Tak. Tapi kalau kau anggap ia sebagai satu ugutan, silakan. Yang penting kau bagi apa yang aku mahukan."

"Ugutan kecil yang langsung tak menggoyahkan pendirian aku. Kau fikir semudah itu, Zaihan? Untuk aku berikan hasil kajian setelah bertahun-tahun kepada manusia yang talam dua muka macam kau?

Berkenaan perjanjian, aku tak kisah apa tindakan yang kau nak ambil pada aku yang langgar perjanjian. Lagipun untuk posisi Aisy itu aku boleh sesiapa saja yang aku suka. Mungkin tuahnya tidak berpihak pada anak kau. Jadi jangan berharap hasil usaha keras aku akan jatuh ke tangan kau. Faham?

Kata-kata Dafi lantas mematikan buah fikiran Zaihan yang berura-ura mahu membalas serangan yang menyakitkan bak sembilu itu.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now