🌲060_

55 12 5
                                    

"Kau cuba buat apa sebenarnya, hah!" Jeritan dilempiaskan di hadapan wajah Clara.

Dia meronta cuba melepaskan diri waima maklum usahanya sia-sia apabila kedua-dua belah tangan sudah dicekup ke belakang dalam gari.

"Inilah bayaran untuk segala impian Dato' Bandar. Selamat hidup tenang di penjara bersama mimpi yang bakal berkubur dan organisasi yang tak utuh lama ini. Jangan risau. Hal di sini saya akan uruskan bagi pihak Dato' Bandar."

Dia mara setapak bagi memastikan wajah yang masih mendambakan harta dan darjat itu dapat diperhatikan dengan jelas.

"Pada nafas terakhir Aisy, dia minta saya sampaikan sesuatu pada Dato' Bandar. Dia minta maaf. Dia menyesal akan perbuatannya pada Zea. Sebagai permohonan maaf, dia berikan kemaafan buat Dato' Bandar yang menyakiti dan memberikan derita padanya. Kosong-kosong, okey."

Clara menggariskan senyuman lebar cuba menelan perit yang tersekat di kerongkong. Dia kemudiannya menunduk hormat kepada seorang pegawai yang mengawal Zaihan seraya memberi laluan kepada mereka.

Setiap insan di dalam ruangan itu diamnya seperti dipaku. Langsung tiada yang berani bergerak mahupun menoleh ke sisi. Kejadian pada malam itu berlaku dengan cepat sehingga fikiran mereka terlalu perlahan untuk menghadam.

Namun bingung mereka tidak lama tatkala satu-persatu dibawa keluar diiringi pegawai berkuasa.

"Mohon kalian berikan kerjasama kepada pihak kami. Kamu semua akan direman untuk menjalani siasatan lanjut," salah seorang daripada mereka memberi arahan tegas.

"Clara."

Mendengar saja namanya diseru, Clara lantas berpaling ke arah empunya suara.

"Ambil ini." Zaim menghulurkan sekeping kertas kecil yang dilipat dua kepada Clara.

"Apa ini?" Dia membuka lipatan sebelum mata naik memandang Zaim kehairanan.

"Alamat keluarga Aisy. Aku agak kau perlukan maklumat ini. Lagipun Aisy mesti nak keluarga dia ada pada hari pengebumiannya."

Clara menahan rasa yang bercampur aduk di dalam dada. Rasa rindu yang belum sempat diluahkan terhadap sahabatnya itu kini berpaut kembali.

Zaim menunduk hormat sebelum tubuhnya ditolak oleh seorang pegawai untuk mengekori yang lain.

Pantas saja tangan Clara berpaut ke meja menampung tubuh saat kepalanya berpusing dan berdenyut hebat. Belum sempat dia tumbang, ada satu tangan menyambut tubuhnya pantas sebelum dia lemas ke dalam pelukan seseorang.

"Sabar, Clara. Ini ujian untuk buat mental fizikal awak bertambah kuat. Takziah untuk pemergian sahabat awak." Hanis mengeratkan pelukannya sebelum menyambung bicaranya yang sudah dicalit rasa hiba.

"Dan saya minta maaf atas segala salah silap saya, Clara. Sampai kita berjumpa lagi. Selamat tinggal. Assalamualaikum."

Pelukan dilonggarkan oleh Hanis. Dia mula menapak untuk beredar namun apabila merasakan tangannya berada dalam genggaman Clara, dia lantas berpaling dengan senyuman tipis.

"Jaga diri. Saya minta maaf juga, Hanis. Terima kasih untuk ... segalanya."

Empangan di birai mata yang tertahan akhirnya ranap jua. Terhinjut bahu Clara menzahirkan sebak di dada.

"Hanis, mereka sudah tunggu." Syifa' mendekat sambil memuncungkan mulut ke arah muka pintu memperingatkan Hanis.

Genggaman Clara ditolak Hanis perlahan. Gadis itu terlebih dahulu melemparkan senyum kepada mereka yang dia kenali sebelum beredar pergi.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now