🌲031_

94 16 10
                                    

"Apa maksud kau? Zea yang cuba nak serang Aisy dulu?"

Rambut yang bertempek di muka dek ditiup angin diselit ke belakang telinga. Tempoh lima minit yang berlalu dibiarkan begitu sahaja. Terlalu asyik dia mendengar cerita Ilham berkenaan hari kejadian. Sedaya upaya dia cuba meletakkan diri di dalam kasut Ilham pada saat itu. Berlagak seperti dialah yang menyaksikan semua yang berlaku.

Ilham menggosok belakang tengkuknya sedikit janggal. Alang-alang sudah jauh bercerita, dia perlu menamatkannya.

"Ya. Tapi, macam cerita yang aku bagitahu tadi ... Zea sengaja lepaskan pisau tu."

Ilham kembali bercerita rentetan kisah tragis itu. Dia membawa Clara jauh ke dalam kotak ingatannya. Diceritakan dengan penuh terperinci.

* * *

Bagai diberi nafas baharu, Aisy segera menyedut udara sedalam mungkin. Nafasnya tercungap-cungap. Dada ditumbuk perlahan mahu memaksa jantung bekerja keras mengepam darah.

Pisau milik Zea jatuh dan mendarat elok di sebelah kaki kirinya. Dia sudah berada dalam posisi mencangkung. Dia mahu menyorokkan diri semampu yang boleh. Namun, walaupun terlepas daripada kerja gila Zea, Aisy langsung tidak bersyukur.

Cuping telinga Aisy kini hanya menadah hasutan syaitan. Dicuit-cuit hatinya yang memiliki iman senipis kulit bawang. Dia didodoikan dengan pelbagai andaian negatif. Dibelai pula dengan dorongan hawa nafsu yang terkinja-kinja bermaharajalela.

Zea berdiri kaku memandang Aisy. Dia hanya diam tak berkutik. Ayat yang mahu dilontarkan sudah tersekat di kerongkongnya. Ayat untuk meminta maaf tidak mampu menembusi dinding keegoannya. Dia tak mampu bersuara.

Perlahan-lahan Zea tunduk dan mencapai beg yang terletak atas lantai. Beg itu dia peluk dengan erat. Kaki mula melangkah ke belakang.

"Kau nak ke mana, bodoh?" Aisy bingkas berdiri tegak. Mulutnya terkumat-kamit meyumpah seranah yang pastinya ditujukan kepada Zea.

"A ... aku nak ba ... balik," jawab Zea perlahan.

Panas hati Aisy mendengar jawapan Zea. Baginya, sangat tidak adil apabila Zea mahu melarikan diri setelah gadis itu hampir merenggut nyawanya. Bukankah perlu ada permohonon maaf daripada Zea yang bodoh sombong itu?

Tanpa memabazir masa yang ada, Aisy meluru ke arah Zea. Satu tumbukan padu dilayangkan ke hujung bibir Zea. Aisy tergelak sinis. Hatinya tersenyum puas. Tak dapat disangkal lagi mengapa begitu seronok Zea membuli sekali gus mencederakannya. Hal ini kerana ia sangat menyeronokkan. Dan dia mahu melakukannya lagi.

Kaget dengan tindakan Aisy, Zea berhenti mengundur. Tangannya pula yang merasa gatal untuk melakukan perkara yang sama. Nafas panjang ditarik. Seperti seorang pakar, dia membalas tumbukan Aisy yang turut mendarat di hujung bibir. Jemari menyentuh kecederaan miliknya. Pedih. Rasa sedikit tebal dan kebas di bahagian itu.

Cecair merah likat yang mengalir Aisy seka dengan hujung baju sekolah.

"Itu je ke yang kau mampu buat? Nak aku ajar kau supaya nampak lebih hebat?" Aisy menjongketkan kening sebelah kiri. Pisau di lantai diambil dan digenggam erat dalam tangan.

"Le ... letakkan pisau tu, Aisy. Kau jangan buat kerja gila. Letak pisau tu!"

"Lari. Lari sejauh mana kau boleh sebelum aku benamkan pisau milik kau ni dalam perut tuan dia. Cepat, Zea. Jangan buang masa, sayang." Aisy memicingkan matanya sambil menyeringai ke arah Zea. Suka benar apabila dapat mendominasi situasi.

Zea mundur satu langkah manakala Aisy maju setapak. Tanpa menunggu sesaat dua, Zea berpaling lalu berlari laju meninggalkan Aisy yang sudah ketawa berdekah.

Dari blok bertentangan, seorang pelajar lelaki menyaksikan pergaduhan tersebut dengan mulut terlopong. Matanya bagaikan lensa kamera yang berada dalam mod merakam video. Satu-persatu tingkah dua pelajar perempuan dirakam dalam kotak memorinya.

* * *

Clara meraup wajahnya kasar. Serabut otaknya memikirkan perihal Aisy.

"Nah. Jam tangan tu milik Aisy. Dan kertas kecil itu pula milik Zea." Ilham menghulurkan satu plastik lutsinar kepada Clara.

"Jam Aisy? Dia tertanggal masa kami bersihkan tempat tu. Maksudnya, kau yang pergi ambil?"

Clara membuka plastik itu ketika Ilham angguk mengiyakan. Kertas yang dikatakan milik Zea lebih memancing perhatiannya. Lantas kertas itu ditarik keluar lalu dibuka.

Seorang penjenayah yang melakukan jenayah tanpa sengaja. Dan apabila jenayah pertama tidak dibongkar, dia mula berani melakukan jenayah yang seterusnya. Sehingga membentuk satu pola yang unik dalam melakukan jenayah tersebut. Setengah daripada mereka tidak sedar dan setengah lagi tidak menyesali jenayah yang mereka lakukan.

Keratan kertas yang dikoyak daripada buku itu dibaca Clara perlahan. Ada kesan tompokan darah padanya. Kening Clara bertaut. Sungguh dia tidak mengerti mengapa Zea boleh memiliki kepingan kertas tersebut. Ilham dipandang dengan riak keliru.

"Penjenayah menganggap jenayah yang mereka lakukan adalah untuk menghukum manusia mengikut undang-undang mereka sendiri," Ilham menyambung dengan tenang.

"Apa maksudnya? Kenapa Zea pegang kertas ini saat akhir hidup dia?"

Ilham mengangkat bahu. "Tak pasti. Tapi, mungkin ditujukan kepada Aisy. Dan aku pun pernah terbaca pasal benda ni. Mungkin daripada buku yang sama dengan Zea ada."

"Apa tujuan kau bagitahu aku semua ni? Beri jawapan selain daripada aku ni kawan Aisy."

Kertas dimasukkan semula ke dalam plastik. Kemudian, plastik itu dikembalikan kepada Ilham.

"Sebab aku nak kau selamatkan kawan kau, Aisy. Sebab aku nak kau selamatkan penduduk dalam bandar ni. Dan, selamatkan ayah aku. Tolong kami, Clara," pinta Ilham. Dia benar-benar mengharapkan jawapan positif Clara.

"Apa benda yang kau merepek ni? Berkait dengan penduduk bandar bagai. Kau ingat aku ni polis? Doktor? Menteri? Atau sukarelawan kebajikan masyarakat? Aku bukan sesiapalah, Zahiril Ilham." Clara menggeleng menyampah.

"Kami tak perlukan semua tu. Kami cuma perlukan bantuan seorang Clara Arianna. Anak kepada Profesor Dafi. Faham?"

Kepala yang tidak gatal Clara garu sehingga kusut masai rambutnya. "Siapa yang kau maksudkan dengan ... kami?"

"Mereka yang perlu kau bawak keluar daripada penjara kezaliman manusia. Mereka yang mengharapkan kebebasan dalam hidup tanpa dikawal macam anjing."

Ilham mengetap rahangnya. Saat itu raut wajah ayahnya, Encik Zaini terlayar dalam minda. Kemudian muncul pula bayangan uminya yang beriak sayu. Hatinya sakit mengingatkan semua itu.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now