🌲052_

70 14 0
                                    

"Memandangkan Clara Arianna masih dalam fasa pengenalan bersama organisasi, saya sendiri akan mula memberi pendedahan berkenaan The HRight dengan lebih rinci kepadanya. Dalam pada masa yang sama, saya mahu kalian membantu Clara untuk lebih mengenali tujuan utama penubuhan organisasi," ucap Dafi seraya melirik ke arah anak gadisnya yang setia memandang dia dengan pandangan kosong.

Sekilas sahaja dua pasang mata itu bertemu sebelum Dafi beralih memandang orang bawahannya yang hadir di situ.

"Mama, lambat lagi ke majlis ini nak melabuhkan tirai kepalsuan dia orang? Pentas jenaka yang meragut ratusan nyawa ini, langsung tak menarik minat Claralah. Clara benci, benci, benci!"

Kad jemputan yang berwarna biru laut itu dikoyak kasar oleh Clara. Jiwanya yang bergelojak penuh emosi terus dilayan sehingga membuak mempengaruhi akal fikirnya.

Melihat tindakan Clara yang langsung tidak dijangkanya, Maria terus mencekup kedua-dua belah tangan anaknya.

"Clara, kenapa ini? Nanti mereka tengok, tidak ke pelik?" Bibir Maria merapati cuping telinga Clara saat dia bersuara perlahan sebelum mendaratkan satu ciuman hangat di situ.

Sebelah tangannya naik mengusap bahu Clara dengan penuh kasih.

"Clara nak balik. Clara nak balik, mama." Pandangan yang semakin dikaburi genangan air mata terus ditala pada Maria yang turut berwajah sugul.

"Sabar, sayang. Sikit saja lagi. Nanti kita balik sama-sama, ya." Ibu jari Maria menepis titisan jernih daripada terus merembes daripada birai mata Clara.

Nafas berat tertahan-tahan di dalam dada sepanjang baki majlis berlangsung. Setiap patah kata yang diucapkan hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri sebelum ditelan kedinginan suasana. Sesekali seram sejuk tubuh Clara apabila terpandang akan senyuman yang dipamerkan oleh setiap insan di dalam ruangan itu.

Sudah berpuluhan kali dia mengerah otak berfikir tetapi tidak jua menemukan jawapan. Soalan yang berlegaran dalam benaknya terus menghantui diri.

'Macam mana mereka boleh senyum macam telan semangkuk gula selepas cabut nyawa manusia yang tak bersalah?' Clara menggenggam buku limanya tanpa sedar.

Dalam sendunya terselit buku amarah. Dalam bencinya disulam ketakutan. Rasa yang bercampur-aduk itu turun naik mendaki tangga hatinya. Clara jadi tidak senang untuk duduk diam.

"Saya selaku wakil pengelola dengan ini menamatkan majlis dengan penyerahan dokumen ringkasan berkenaan organisasi kepada ketua baru lantikan barisan ahli tertinggi."

Ros bangkit dari sisi pengacara majlis ke bahagian tengah pentas kecil yang disediakan. Dia mengiringi Dafi yang selangkah ke hadapan bersama sebuah fail di tangannya.

Seisi majlis diam memberi ruang untuk slot terakhir itu.

Clara pula hanya membatu di tempat duduknya sambil menyilangkan tangan ke dada. Renungan redup Dafi yang menghala ke arahnya dibalas sekilas sebelum kembali menekur lantai. Lama.

Fikirannya pula mula melantun jauh ke angkasa.

"Clara, bangun," Maria berbisik. Namun, tiada pula respon daripada gadis itu.

"Clara?" panggil Maria lagi seraya menyiku lengan Clara.

"Kenapa?" Keningnya terjongket tinggi.

Maria kemudiannya menjeling ke tengah pentas bagi menjawab persoalan itu. "Mereka tengah tunggu kamu ke depan, sayang."

Pandangan Clara melilau ke sekeliling. Kebanyakan mata daripada semua yang hadir terarah kepadanya. Dengan berat punggung, dia berdiri. Bahu yang sedari tadi kendur ditegapkan. Oksigen dihirup dalam.

S.A.L.A.H.Where stories live. Discover now