Bab 58

3.6K 142 4
                                    

"MAIRAH... lamanya sidai baju. Dah selesai belum tu?" Pak Hassan melangkah keluar dari rumahnya ingin mencari kelibat Mahairah.

Entahlah. Dia rasa tidak sedap hati pula kerana perempuan itu tidak masuk ke dalam rumah. Lama betul menyidai kain di ampaian.

Dahinya berkerut melihat satu objek yang amat dikenalinya. Bakul baju masih elok terletak di tempat asal tapi anak angkatnya itu hilang entah ke mana.

"Mahairah... oh, Mahairah!" Serunya.

Mak Puteh turut keluar apabila suara laungan suaminya menjentik sanubarinya. Dia turut dihambat rasa risau.

"Kenapa, bang? Mana Mahairah?" soal Mak Puteh. Matanya bergelintar memerhatikan setiap sudut.

"Itulah. Abang tak tahu. Abang risau. Teh, kita kena cari dia, Teh. Kalau tak jumpa memang kena kumpulkan juga orang kampung untuk cari dia juga. Boleh sakit jantung Si Ji tu kalau tahu anak dia hilang." Ton suara Pak Hassan bergetar.

Hampir setengah jam pasangan suami isteri itu mencari-cari Mahairah akhirnya mereka berputus asa. Pak Hassan meraup wajahnya.

"Teh, awak pergi kejutkan Radzi. Beritahu dia Mairah hilang. Abang nak jumpa ketua kampung. Kita kena kumpulkan orang untuk cari Mairah." Kata Pak Hassan.

Mak Puteh akur dengan arahan suaminya. Terkocoh-kocoh dia naik ke rumah. Pintu bilik Encik Radzi diketuk bertalu-talu.

AFIQ menyembunyikan diri di belakang bangunan yang menjadi tempat Robert menenangkan diri. Nafas ditarik dalam-dalam. Dia hanya memerhatikan sahaja daripada jauh beberapa buah kereta polis terparkir elok di halaman bangunan itu.

Pihak polis datang untuk menyerbu mereka semua. Jelas di pandangan mata Afiq, tangan Robert digari. Tiada lagi keamanan untuk Robert. Hampir semua orang suruhan Robert turut ditangkap sama.

Operasi yang dilakukan oleh pihak polis merupakan operasi besar-besaran selepas pihak polis menemui bukti bahawa Robert telah membunuh beberapa orang suruhannya dan juga peminjam hutangnya.

"Kau tolong cover aku, Fiq." Terngiang-ngiang permintaan Muiz di halwa pendengarannya.

"Kau gila ke? Wei, banyak ni kau ambil duit Robert. Dahlah kau seorang aje yang tahu password peti besi dia selain dia. Kalau dia tahu lima puluh ribu dia tu hilang, masak kau, Iz!"

"Jangan risau. Aku dah pelan baik-baik. Lepas aku ambil apa yang aku nak ambil, aku akan pergi balai. Aku akan buat report pasal kumpulan bodoh ni. Aku akan pastikan Robert meringkuk di dalam penjara buat selama-lamanya."

"Memang gila! Kau boleh masuk penjara juga tahu tak? Bukan kau aje tapi aku jugak! Lebih baik kita sembunyikan diri ajelah. Jangan cari pasal, Muiz."

"Kau tenang sikit boleh tak, Fiq? Chill. Kita dah ada di hujung cerita dah pun. Bukan ke impian kita memang nak keluar daripada kekuasaan Robert? Benda dah nak berjaya. Kau cuma perlu ikut permainan aku sahaja."

"Masalahnya kau rembat duit dia, mangkuk!"

Afiq meraup wajahnya. Bunyi satu das tembakan mengembalikannya ke dunia nyata. Tidak mahu melengahkan masa, Afiq berlari menuju ke kebun kelapa sawit. Dia tidak mahu pihak polis menjejakinya.

GELAP. Mahairah cuba menggerakkan tubuhnya tetapi tangannya bisa disebabkan ikatan yang terlalu kuat. Dia cuba untuk menegakkan posisi duduknya.

"Tolong lepaskan aku. Apa yang kau nak? Aku tak ada apa-apa. Tolonglah lepaskan aku." Rayu Mahairah. Dia hanya nampak kegelapan. Dia tidak tahu siapakah gerangan manusia di sebelahnya itu.

Muiz mengerling isterinya di sebelah. Mata Mahairah sudah ditutup dengan kain hitam. Tangan dan kaki Mahairah turut diikat juga. Pemanduannya semakin dilajukan. Dia perlu banyak menggunakan jalan dalam untuk mengelak roadblock.

"Lepaskan aku la! Apa yang dia buat tak ada kena mengena dengan aku. Kami dah nak bercerai dah pun!" Mahairah memberontak kerana rayuannya tidak dilayan.

Berang Muiz rasakan apabila perkataan cerai itu meniti keluar dari bibir comel isterinya. Kain hitam yang menutupi mata Mahairah ditarik kasar.

Pandangan Mahairah berbalam-balam. Dia menggosok-gosok matanya lalu memandang ke sebelah. Membuntang matanya. Air liur yang hendak ditelan seolah-olah kering.

"Apa yang awak buat ni, Muiz?" soal Mahairah kebingungan.

"Buat apa? Culik isteri sendiri. Tak salah, kan? Dah lama sangat kau tinggalkan aku. Kali ni masa untuk kau berbakti dengan aku." Bersahaja Muiz membalas.

"Lepaskan saya la! Saya nak balik. Janganlah buat saya macam ni. Antara kita berdua dah lama selesai. Kita dah nak bercerai dah pun. Baba akan bawa saya balik Johor untuk uruskan fasakh."

"Sebab itulah aku culik kau ni. Ada dua sebab aku culik kau. Satu, sebab aku nak selamatkan kau daripada Robert and the gang. Kedua, sebab aku nak selamatkan diri aku daripada permintaan fasakh yang akan kau buat." Jelas Muiz. Senada.

"Siapa Robert?" soal Mahairah.

"Tak usah tahulah. Apa yang kau kena tahu sekarang ni kau di bawah tawanan suami kesayangan kau ni. Jangan berani nak lari lagi Mahairah. Aku perjudikan nyawa aku untuk kau. Aku harap kau balas perbuatan baik aku ni. Kalau kau cuba lari. Aku takkan teragak-agak untuk bunuh adik dan ayah kau." Di hujung ayatnya, Muiz memberikan ugutan.

Tubuh Mahairah menggigil kerana takut akan ugutan Muiz. Dia seolah-olah terkena anxiety pada masa itu. Air matanya mengalir tidak berhenti.

"Kau tak perlu menangis. Kau cakap nak balik, kan? Aku bawa kau balik sekarang ni. Kau kena dan wajib balik ke pangkuan aku. Aku tahu mungkin dah terlambat aku nak cakap dengan kau cuma aku nak luahkan jugak." Muiz menjeda.

"Memang pada awalnya aku kahwin dengan kau sebab aku nak kau jadi perisai untuk aku selalu jumpa Umai. Memang aku cintakan adik kau sebab aku sukakan dia semenjak zaman sekolah lagi. Dia first love aku. Aku tahu, aku dah terpesong jauh. Aku bagi kau dengan ayah kau makan duit haram aku selama ni. Tapi kali ni aku cuba nak jujur yang aku dah mula sayangkan kau." Sambung Muiz.

Kata-kata itu tidak bermakna langsung buat Mahairah ketika itu. Rasa cinta dan sayangnya kepada Muiz sudah berubah kelam.

"Kata-kata awak tu dah tak bermakna untuk lembutkan hati saya yang dah keras ni, Muiz Aiman. Awak cuma nak mainkan saya. Awak tipu saya. Awak ada anak luar nikah. Awak pernah buat benda tu dengan perempuan lain. Awak gangster!"

"Aku tahu aku banyak kisah silam. Kau tak boleh nak hukum kisah silam aku ni. Kau suka atau tak benda tetap dah jadi. Hasya anak aku. Anak yang wujud disebabkan kesilapan aku." Kata Muiz. Senada.

Sebenarnya, Mahairah tidak tahu sesuatu. Muiz sedang bertatih-tatih untuk menerima Hasya di dalam hidupnya. Kata-kata terakhir Encik Radzi amat menjentik hatinya.

"Baba tetap nak kau orang bercerai. Aku tak boleh nak terima kau sebagai menantu lagi, Muiz. Mahairah dah cukup terluka. Kalau anak kau sendiri pun kau buang apatah lagi isteri kau. Cuba jadi seorang ayah yang bertanggungjawab untuk orang pandang kau sebagai lelaki yang berguna."

Itulah kata-kata terakhir Encik Radzi kepadanya sebelum lelaki tua itu menutup pintu. Dan disebabkan itu jugalah Muiz nekad untuk mengekori Encik Radzi ke Negeri Kelantan.

"Tapi jadi seorang samseng tu bukan kesilapan tapi kemahuan, kan?" Bidas Mahairah.

"Boleh tak kau diam? Jangan naikkan baran aku. Jangan judge aku. Aku sedar aku tak dilahirkan dalam keluarga yang sempurna macam kau. Kebahagiaan aku hancur bila perempuan perampas tu hadir dalam hidup papa aku. Boleh tak kau bagi aje aku peluang kedua?"

Mahairah memalingkan wajahnya ke luar tingkap. Satu helaan nafas dilepaskan. Hatinya sudah mati.

HIS MAFIA SIDE [C]Where stories live. Discover now