"Duduklah duduk. Berdiri buat apa? Nak jadi tugu negara ke apa?" seloroh salah seorang daripada mereka. Dan disambut tawa mereka yang lain.

Jelita saling berpandangan dengan Rania sebelum wanita itu menarik tangan Jelita agar melabuhkan punggung di sebelahnya. Sambil itu, Jelita mengalihkan pandangan ke sekeliling. Memerhatikan homo sapiens yang hadir pada malam ini. Ada yang dia masih kenal, ada yang dia sudah ingat-ingat lupa. Maklumlah, dah makin matang, wajah pun berubah sikit. Dia tak berapa cam sangat.

"Makin cantik kau sekarang Jelita. Pakaian pun amboi bukan main! Mahal ni. Kalau tak silap aku... manik ni, design ni limited edition punya tau. Masih belum official keluar lagi. Macam mana kau boleh dapat ni?"

Jelita kaku. Hilang diksinya untuk menjawab. Jelita yang selalunya banyak mulut untuk membalas, kini hanya mampu senyum polos. Macam mana dia boleh dapat gaun ini? Sudah tentulah daripada Emiir. Raja Emiir Farran! Suami dia yang sah. Tapi kalau dia cakap Emiir tu suami dia pun, ada ke yang nak percaya? Rasa macam tak aje.

Dia diam saja selepas itu. Tak ada kepentingan untuk dia jawab soalan-soalan yang tidak mendatangkan faedah. Yang bertanya tadi pun senyap juga apabila merasakan Jelita kurang selesa dengan soalannya. Mujurlah faham. Kalau tidak, Jelita rasa nak lari dari majlis ini sekarang juga.

"Semua dah ada rupanya. Sorry lambat sikit geng."

Jelita terus angkat kepala tatkala mendengar suara garau itu. Jantungnya berdegup laju, malah laju dua kali ganda dari biasa. Suhu hujung jemarinya turun mendadak. Menggigil. Menggeletar. Tiada siapa yang nampak. Hanya Jelita yang rasa betapa dia ingin cepat-cepat berlari dari sini. Saat anak mata dia dengan lelaki tinggi lampai itu bersabung, tubuh Jelita mengeras. Dia terus memutuskan pandangan dan tundukkan muka kembali.

Di sisi lelaki itu berdirinya seorang gadis tinggi lampai berwajah angkuh yang turut memandang Jelita ketika nama dia disebut. Gadis itu memakai gaun paras lutut berwarna merah terang. Cantik. Menawan. Memikat mata-mata yang memandang. Sesuai sangat digandingkan dengan lelaki tinggi lampai itu. Bagai pinang dibelah dua.

"Jelita Elnara," sebut lelaki itu senada.

Yang duduk semeja dengan mereka sudah memandang aneh apabila Jelita tidak menyahut. Rania yang paling hampir dengan Jelita pun perasan ketidakselesaan gadis itu. Nampak sangat tak senang duduk. Perlahan, Rania raih tangan Jelita di bawah meja. Jelita kalih wajah ke sebelah, membalas tatapan hairan Rania. Dia senyum nipis sebagai balasan. Rania tak tahu. Tak ada sesiapa pun yang tahu.

"Aku nak ke toilet kejap," bisik Jelita di telinga Rania. Tidak berlama-lama, dia terus bangkit dan berlarian anak tanpa arah. Dia sendiri tak tahu mana arah tandas.




BARU selangkah keluar dari tandas, tubuh Jelita refleks terundur ke belakang apabila figura seorang lelaki tegap sedang bersandar di dinding sambil berpeluk tubuh menjamah mata. Mujur dia sempat kawal suara. Kalau tidak, dia memang terjerit kuatlah. Jelita usap dadanya. Terkejut. Tertegun. Terperanjat. Semua sekalilah. Bercampur-baur perasaannya ketika ini.

Jelita tak mahu leka. Dia ingin lekas pergi. Lelaki tinggi lampai itu, dia cuba endahkan. Buat-buat tak nampak. Jelita cuba melangkah lebih laju tetapi langkahnya mati apabila lelaki itu mula bersuara. Yang jelas-jelas menghantar satu impuls kepada Jelita untuk berhenti. Piloerection. Meremang segala bulu roma dia. Jelita sempat kerling sekeliling. Kawasan ini sunyi memandangkan majlis diadakan di bahagian depan.

"Long time no see, Jelita." Bunyi tumit tapak kasut kulit itu mengaum setiap kali ia menghentak lantai. Tap. Tap. Tap. Setapak demi setapak mendekati Jelita. Sengaja menghantar bola-bola debar kepada gadis itu.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now