B A B 21

11.9K 1.5K 173
                                    

KEJUNG tubuh Jelita apabila Wan Radea mengarahkannya tunggu di ruang tamu. Bukan itu yang jadi masalah. Yang masalahnya, ni apasal ada banyak sangat bunga hiasan atas meja? Bonda nak suruh dia telan semua bunga ni ke? Aduh, takut kalau difikirkan.

Tidak lama selepas itu, Wan Radea melabuhkan punggung berhadapan dengan Jelita. Tanpa suara, jemarinya mula memainkan rentak seni. Mengambil satu per satu bunga hiasan tersebut lalu dicucuk ke dalam pasu.

Tidak banyak bunyi, Jelita juga membuat perkara yang sama. Dia ikut saja setiap tindakan Wan Radea. Sesekali, dia cucuk terlalu kuat. Sampai bengkok batang bunga tersebut. Diam-diam, Wan Radea memerhati Jelita dari hujung mata.

Tergeleng kepalanya.

"Kamu tak pandai gubah bunga?" soalnya terus. Tak ada tapis-tapis.

Hampir tercekik air liur. Jelita berdeham-deham. Soalan itu biasa saja. Tapi rasa seperti menusuk terus ke hati. Memang dia tak reti pun! Jelita mana pernah buat benda-benda macam ni. Nama saja Jelita, tapi dia tidak meminati bunga. Bukanlah sampai tidak suka langsung. Cuma tidak gemari.

Kalau dia cakap tak reti, berkurang pula markah dia dalam 'ujian' bonda ini. Jelita tahu, diam-diam sebenarnya bonda sengaja menguji dia. Mahu melihat sejauh mana dia layak untuk menjadi isteri Emiir. Alah, banyak dah dalam Akasia TV3. Bonda ni buat kerja tak clean!

Tapi kalau Jelita tak jujur, lagilah bonda akan anggap dia kuat menipu dari awal lagi. Silap-silap hari bulan, dicanangnya kepada Emiir pasal dia gilakan harta lelaki itu. Jelita tersepit sekarang ini.

"Errr... saya tak pandai sangat bab-bab gubah bunga ni. Tapi kalau melukis, saya suka!" Gasak ajelah. Janji jawapan selamat.

Wan Radea jatuhkan kepala beberapa kali. "Kamu minat seni. Sama macam Emiir?"

Jelita angguk sungguh-sungguh. Senyum sedikit tatkala hari ketika Emiir membawanya ke galeri lukisan tempoh hari itu terbayang kembali di kepala. Waktu Emiir meminta jawapannya, yes or yes? Waktu itu memang rasa nak meletup kepalanya dengan gaya Emiir.

"Emiir pernah bawa saya ke studio dia. Saya tak sangka Emiir berbakat macam tu."

"Emiir bawa kamu ke sana?" Jelita angguk laju-laju. Teruja pula.

"Tapi dia tak pernah bawa orang luar ke sana..." gumam Wan Radea perlahan.

"Bonda... errr maksud saya aunty nak ke mana?" Tersasul pula. Jelita tarik sengih tidak bersalah.

Amboi, terus kau bondakan mak Emiir tu ya! Jangan gelojoh Jelita. Behave! Sikit je lagi ni. Nanti dah balik, kau buatlah ikut kau. Nak terkangkang ke, menonggeng ke dekat rumah. Takda siapa juga tahu.

Wan Radea yang sudah angkat punggung, mengerling Jelita dari ekor mata. Tanpa jawapan, dia terus atur langkah ke arah sebuah almari hiasan ruang tamu  yang mencecah harga ribuan ringgit itu. Jelita tidak menghalang. Sekadar memerhati dari tempat duduknya.

Selepas membelek-belek sesuatu di dalam almari tersebut, Wan Radea kembali ke arah Jelita. Gadis itu sedang leka mencucuk bunga hiasan tadi ke dalam pasu. Ada yang sudah bengkok. Mujur tidak patah.

'Ganas juga budak ni.' getus hati Wan Radea.

"Tak perlu buat kalau tak minat." Ditegur sebegitu, tangan Jelita pegun.

Perlahan-lahan dia meletakkan kembali batang bunga tersebut sambil garu kening yang tidak gatal. Anak rambut yang menutupi dahi, diselit ke belakang telinga. Ini kalau tercucuk mata, buta pula. Jelita selesakan posisi duduknya.

Melihat bonda meletakkan beberapa buah album gambar di hadapannya, Jelita tentang mata wanita itu. Terkebil-kebil tidak mengerti. Bonda nak uji suruh dia lap benda ni pula ke? Bonda ni, nak cari menantu ke... nak cari orang gaji?

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now