B A B 12

12.5K 1.5K 250
                                    

SELESAI menyelesaikan segala tugas, barulah Jelita Elnara memulakan perjalanan pulang ke kampung. Sekarang sudah masuk jam empat lima minit petang.
Masih berbaki satu jam perjalanan. Sambil menghayati pemandangan di luar sekali sekala, Jelita bersiul-siul. Jemari mengetuk stereng kereta mengikut rentak lagu.

Saat ini lagu Disaat Aku Mencintaimu nyanyian penyanyi Indonesia, Dadali berputar di corong radio. Terkadang Jelita gerak bibir, ikut bernyanyi. Waktu macam inilah nak layan perasaan jiwang karat. Sekonyong-konyongnya kilasan memori lalu kembali bergentayang di layar ingatan. Jelita terhenyak dalam kenangan. Lemas.

Mencintai seseorang yang memiliki cinta tetapi bukan untuk kita itu sungguh menyakitkan, bukan? Ibarat dirinya hanya mampu dimiliki dalam angan-angan yang takkan pernah terjadi.

Jelita senyum nipis. Sudah habis sebuah lagu diputar. Kali ini Malam Semakin Dingin nyanyian asal arwah Achik Spin yang kini dinyanyikan semula oleh Tajul dan Afieq Shazwan bergema di dalam kereta Jelita.

Aku cuba untuk mendekati,
Tapi engkau tiada peduli,
Tulusnya niat di hati,
Mungkin kau tersalah erti~

Tidak sedar lama juga Jelita melayan perasaan. Habis juga sebuah lagi lagu diputar. Lagu demi lagu, Jelita akhirnya sudah boleh nampak padi-padi yang membunting, tunduk layu menyembah tanah.

Tak pernah lepas kau dalam ingatanku,
Tak pernah bisa aku melupakanmu,
Ku jatuh cinta pada orang yang salah,
Kau kekasih sahabatku~

Rasa terpukul, Jelita terus mematikan radio tersebut. Langsung sunyi sepi. Kereta diberhentikan di kiri jalan. Jelita tarik dan hembus nafas kuat-kuat. Stereng kereta digenggam. Kenapa saat dia ingin melupakan, kenangan pahit itu tetap terus mengejarnya tanpa henti?

Kenapa sakit sangat rasa ini?

Lama juga lemas dalam lamunan, Jelita pejam mata rapat-rapat. Tubir mata yang terasa suam-suam akhirnya mengalirkan jua cecair bening. Terhinggut-hinggut bahu, tangisan Jelita berlagu seorang diri di dalam kereta. Bibir digigit kuat-kuat. Biar sampai berdarah pun tak apa.

Sakit sangat rasa hati ini.

Masih tersedu-sedan, Jelita buat keputusan untuk keluar sebentar. Dia tak boleh pulang dalam keadaan macam ini. Setidaknya tangisan ini perlu berhenti. Jelita tak boleh tunjuk wajah tidak semenggah macam ini kepada mak dan abah.

Jelita lempar pandangan lurus ke depan. Berdiri di hadapan padi-padi yang sedang menari kesuburan. Angin sepoi-sepoi bahasa petang itu turut bernyanyi sayu. Turut dihiasi dengan riangan kicauan burung. Hamparan hijau yang meluas di depan sana sedikit sebanyak mampu menenangkan Jelita.

Sisa air mata yang sudah mengering di pipi diseka perlahan. Tidak terkira rasanya betapa banyak keluhan Jelita. Hingus yang ingin mengalir disedut kembali. Pejam mata, Jelita dapat rasa angin sepoi-sepoi bahasa menampar lembut kulit wajah. Rambut ikal mayangnya yang dibiarkan lepas turut menari bersama angin petang itu.

Tidak lama selepas itu, Jelita buat keputusan untuk meneruskan kembali perjalanan. Tidak jauh lagi. Sekarang dia sudah berada di kawasan kampung. Sebelum masuk ke dalam perut kereta, mata sempat menangkap ada sebuah kereta terparkir di laluan sebelah sana.

Mengecil mata Jelita. Macam ku kenal...

Menggeleng laju, Jelita buang imaginasi yang akan menghayutkan dia andai tidak sedar. Tak akanlah telahannya itu benar. Malas ambil pusing, Jelita terus masuk. Menghidupkan enjin Perodua Axianya. Pacuan empat rodanya terus membelah jalan kampung tersebut.

Tiba di pekarangan rumah separa batu, separa papan itu, Jelita matikan enjin kereta. Kali ini mengeluh panjang dan kedengaran berat sekali. Agaknya apa sebab mak beria-ia suruh dia pulang kali ini? Tidak mahu membuang masa, Jelita cepat-cepat keluar. Beg pakaian turut dibawa bersama. Tak banyak pun Jelita bawa. Bermalam dua hari aje pun.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now