B A B 24

12.4K 1.5K 169
                                    

DUA hari bermalam di Teratak Cempaka, akhirnya Jelita mampu menghela nafas lega. Hari ini mereka akan pulang ke Kuala Lumpur semula. Rasanya Jelita paling gembira kerana ingin pulang. Bukan kerana suasananya yang 'buruk' tapi kerana ada langau yang sentiasa ingin 'melekat' dengannya.

Dua hari di sini, Jelita hampir-hampir mengeluarkan ilmu taekwando yang pernah dipelajarinya. Mujur dia sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa 'langau' itu merupakan kesayangan nenda. Kalau tidak, mungkin Lashira sudah bermalam di hospital sejak semalam lagi.

"Nenda..." Tangan Nenda Narisa dicapai. Menyalam orang tua lanjut usia itu penuh sopan. Kemudian, berlaga pipi kiri dan kanan sebanyak tiga kali.

Nenda Narisa sekadar senyum nipis. Jujur, hati tuanya gembira kerana Jelita menjadi pilihan cucu dia. Nak kata Jelita sudah cukup sempurna dari semua segi, tipulah. Tapi cukup kriteria menjadi cucu menantunya. Selama dua hari menyelami tingkah dan adab Jelita, dia rasa Emiir telah membuat pilihan yang tepat.

Tidak seperti bekas isteri Emiir yang dulu itu. Sikap berlagak dan angkuh perempuan itu terkadang buat dia naik meluat. Mujurlah Emiir 'celik' mata dan melihat perangai sebenar perempuan itu. Harap-harap, Jelita tidak akan menjadi seperti Isma. Dia juga mahukan yang terbaik untuk Emiir.

Sampai giliran Lashira, senyum di bibir Jelita pudar. Demi nak menjayakan 'lakonan' malam tadi, Jelita terpaksa bermanis muka dengan gadis yang muda satu tahun daripadanya itu. Bersalaman dan berlaga pipi seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Senyum olok-olok diukir paksa.

Kejadian malam tadi kembali bergentayangan di layar ingatan Jelita. Sakit hati apabila mengenangkan perkara itu. Kalau kesabaran Jelita ini sudah senipis kulit bawang, mungkin pecah muka Lashira dikerjakannya. Sotong kurita yang seorang ini memang pandai mencabar kesabaran seorang Jelita Elnara.

Beraninya Lashira memaksa dia agar tinggalkan Emiir. Gadis itu ingin menggantikan tempat Jelita, katanya. Memang naik angin Jelita malam tadi. Daripada sekadar diam menahan perasaan, sempat dia mengasari gadis itu, walau tidaklah kasar mana. Yang penting hatinya puas. Dah melampau sangat sotong kurita ni!

"Aku nak kau tinggalkan Abang Emiir. Dia aku punya. Aku yang akan kahwin dengan Abang Emiir, faham?"

"Tak faham." Jelita ingin berlalu pergi, namun bahunya dipegang oleh Lashira dari belakang. Menggenggam bahunya kuat-kuat.

"Lepas." Sepatah Jelita beri arahan.

"Mak bapak kau tak reti ajar anak ke? Perampas! Ke dia orang yang ajar kau macam ni. Perempuan miskin macam kau... mesti nakkan kesenangan guna cara mudah. Tak mustahil mak bapak kau pun suka anak dia orang jadi macam ni kan? Tulah, sama-sama terdesak nak kesenangan. Perempuan murah... Sanggup buat apa saja..."

Tapi tawa sinis yang dihamburkan oleh Lashira buat dia panas hati. Bukan setakat itu, Lashira siap mengutuk mak dan abah. Berani betul gadis itu kata mak dan abah tidak pandai didik anak. Sanggup jadi perempuan murahan kerana ingin hidup senang dengan harta Emiir.

Jelita sudah tidak tahan sabar apabila perihal mak dan abah dibangkitkan oleh mulut busuk Lashira. Tangan Lashira yang berada di atas bahunya, dia pegang lalu dikilas ke belakang. Dia pusing tubuh hadap gadis itu.

Lashira berkerut-kerut. Sakit. Lagi bertambah sakit apabila Jelita menggenggam pergelangan tangannya kuat-kuat. Lagi kuat daripada apa yang dia buat tadi. Dari sinar mata Jelita, sudah boleh nampak api amarah yang sedang marak membakar jiwa. Had sabarnya sudah rentung dijilat bara kemarahan.

"Jangan sebut pasal mak dan abah aku dengan mulut busuk kau!" Tertahan-tahan nada suara Jelita. Kata-katanya halus tapi tajam seperti tersekat di celah gigi.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now