'Pro konon!' desis Emiir di dalam hati.

"Arghhhh!" Terhinggut bahu Emiir apabila tubuhnya tiba-tiba dipeluk dari sisi. Lagi-lagi dengan jeritan Jelita kalah pontianak. Dia menghela nafas panjang-panjang. Tubuh Jelita ditolak supaya menjauh.

"Jauh sikit boleh tak?" soalnya mendatar.

"Bagilah saya peluk awak. Takutlah..."

"Tadi nak tengok sangat. Tengoklah. Ha, tengok," ujar Emiir sambil menarik-narik wajah Jelita agar memandang skrin televisyen.

Dan-dan waktu itu filem tersebut sedang menayangkan wajah manusia berlumuran darah merah pekat sambil mengilai tawa. Suara jeritan Jelita tidak kalah kuatnya juga. Jelita terus masuk ke dakapan Emiir dan menyembamkan wajah ke dada suaminya. Tangan dilingkar ke pinggang lelaki itu. Nyaman rasanya. Hangat. Rasa lebih selamat. Emiir pula... apabila melihat isterinya seperti terlalu ketakutan, tidak jadi pula dia menolak gadis itu. Tidak lama selepas itu, dia turut melingkarkan tangan ke pinggang Jelita. Lalu menggosok lembut belakang isterinya itu.

Suasana menyepi kembali selepas itu. Emiir menonton filem seram tersebut tanpa sebarang perasaan. Berbeza dengan Jelita yang sesekali terkejut dan menggigil tubuhnya. Setiap kali Jelita terkejut, setiap kali itu jugalah Emiir tarik tubuh isterinya makin rapat. Sehinggalah Jelita tertidur di dakapannya, Emiir menggoyang perlahan bahu gadis itu.

"Bangun. Tidur dekat atas," ujar Emiir sambil menepuk belakang Jelita. Bukannya ingin bangun, malah Jelita makin mengeratkan pelukan. Bibirnya bergumam sesuatu yang tidak jelas. Sesekali dia merengek.

"Takut... tolong... saya takut."

Emiir mengerutkan kening. Dia berdecit kuat apabila Jelita tak mahu bangun. Hendak tidak hendak, dia terpaksa cempung tubuh isterinya naik ke atas. Sesekali telinganya menangkap Jelita bergumam sesuatu yang aneh-aneh. Emiir memilih untuk membiarkan. Mungkin isterinya sekadar mengigau biasa. Itulah, gatal sangat nak tengok cerita hantu. Kan terbawa-bawa sampai ke mimpi.

Tubuh Jelita diletakkan ke atas katil dengan berhati-hati. Tidak mahu mengejutkan lena gadis itu. Kemudian, selimut ditarik sehingga paras bahu. Emiir melihat jam di dinding. Belum lewat sangat. Baru pukul sebelas malam. Dalam otaknya memang fikir nak siapkan kerja-kerja yang tergendala. Dia ingin berjalan ke arah pintu. Nak ke ruang kerjanya selang beberapa bilik. Tapi Jelita terlebih dahulu memegang lengannya.

"Jangan pergi... saya takut..." Nampaknya Jelita masih mengigau. Mata pun tertutup rapat. Cuma Emiir perasan, dahi Jelita berpeluh-peluh bukan main. Nak kata panas, tak pun. Elok aje aircond terpasang.

Emiir mematikan niat untuk keluar dari bilik tidur. Perlahan-lahan, dia memanjat ke atas katil dan berbaring di sebelah isterinya. Sebelah tangan diletakkan ke atas perut manakala sebelah lagi di bawah kepala. Lampu tidur sempat ditutupnya. Tidak lama selepas itu, Emiir sedikit tersentak apabila Jelita merapatkan tubuh ke arahnya. Bukan itu saja, tangan gadis itu melingkar erat di pinggang dia. Kaki siap naik ke atas perutnya.

'Wah, wah, wah! Bukan main sedap kau tidur ya? Mujur kaki tu ringan.'

Meskipun rasa sedikit rimas, Emiir tetap membiarkan Jelita memeluknya. Memang tiap-tiap malam pun macam ini. Walhal, dia memang sudah 'bina' siap-siap benteng agar Jelita tidak masuk ke kawasan tidurnya. Tapi tak jalan. Habis dicampak bantal peluk panjang yang diletaknya di tengah-tengah antara mereka. Mahu tidak mahu, Emiir terpaksa tahan. Jelita memang buas kalau tidur. Beberapa minit selepas itu, Emiir turut dibuai lena dengan sendirinya. Tangannya berada di pinggang Jelita.




PAGINYA, Jelita bersiap lebih awal hari ini. Awal-awal lagi dia sudah turun ke dapur. Tukang masak dan pembantu rumah habis dihalaunya agar berehat saja di ruang tamu. Pagi ini, dia ingin masak sarapan pagi buat Emiir dan Eshaq. Bukan nak kata selalu, tapi jarang sangatlah dia masuk dapur. Selalunya memang tukang masak yang akan sediakan semuanya. Itu sebelum dia buat perjanjian dengan Emiir semalamlah. Tapi mulai pagi ini, dia yang akan masakkan untuk mereka sekeluarga.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now