Eshaq terdiam seketika. Memandang sepuluh jari kecilnya sebelum membalas tatapan Jelita yang masih setia menunggu jawapan. Lalu, dia depakan tangan seluas-luasnya. Senyumnya mengembang lebar.

"Tak boleh kira pakai jari. Tak terkira. Jadi, banyak ni..." Sambil mendepa tangan.

Jelita senyum saja. Sampai di Perodua Axia kesayangannya, pintu di bahagian sebelah pemandu dibuka untuk Eshaq. Tubuh budak itu ditolak lembut supaya masuk ke dalam perut kereta sebelum dia menutup kembali pintu tersebut.

Tidak buang masa, Jelita juga segera meloloskan diri ke dalam kereta. Menghempas punggung ke bahagian pemandu. Tali pinggang keledar dipakai. Sempat berbalas senyum dengan Eshaq yang diam di sebelah.

"Nanti teman mummy pergi beli barang sikit eh?"

"Mummy nak beli apa?" Sekejap-sekejap Eshaq pandang Jelita. Kemudian, dia pandang ke depan semula.

"Maggie. Tadi mummy ke dapur, tak ada langsung maggie atau keropok dan snek."

"Daddy tak bagi makan semua tu. Jadi, tak ada sesiapa akan beli. Sebab kalau daddy tahu, dia akan jadi bapak singa." Sempat Eshaq mengutuk bapa sendiri.

Jelita kerutkan kening. Aik? Takkan keropok pun tak boleh? Jelita faham, makanan macam itu memang kurang sihat. Banyak perisa tambahan. Tapi kalau makan sekali-sekala, tak apa kut. Kalau lapar tengah-tengah malam, takkan nak melantak nasi sepinggan pula, kan?

Tiba-tiba ada satu mentol menyala tegak di atas kepala. Jelita dapat akal. Dia tersenyum sumbing memikirkan rencana yang sedang berputar di dalam kepala. Ini Jelitalah! Lagi dilarang, lagi dia akan buat. Setakat Emiir tu, kacang tanah aje.

"Takpa. Nanti mummy beli stok. Kita seludup senyap-senyap."

"Kalau daddy marah, mummy tak takut ke?" soal Eshaq ragu-ragu. Dia yang selama ini tinggal dengan daddy, dah masak benar dengan perangai lelaki itu. Kalau daddy marah, gajah di seberang lautan pun boleh terasa bahang amarah daddy.

Jelita geleng kepala. Senyum dan terus meluruskan mata ke depan semula.

"Tapi daddy tu menakutkan. Mummy betul ke nak tengok daddy marah?"

Lagilah Jelita rasa ingin ketawa. Lagi Eshaq seperti ingin menakutkan dia, lagi dia rasa ingin tahu. Sebesar mana agaknya amarah Emiir boleh meletus. Walau sejujurnya, ada juga terselit rasa gerun di dalam hati, tapi Jelita kekal tenang.

Kalau Emiir marah, pandai-pandailah dia nanti. Lagipun, apalah sangat Emiir nak buat? Takkanlah lelaki itu sampai sanggup sembelih dan panggang dia seperti kambing golek, kan?










TIBA di rumah teres dua tingkat itu, Jelita terus memusingkan stereng kereta memasuki pagar rumah tersebut. Enjin kereta tidak dimatikan. Risau anak 'raja' sebelah dia ini kepanasan pula terpaksa tunggu di dalam kereta. Walaupun tidaklah lama mana.

"Ingat tau. Jangan keluar ke mana-mana. Duduk je dalam kereta. Mummy masuk kejap je ni. Dalam sepuluh minit aje. Kalau ada sesiapa nampak Shaq dalam ni, Shaq cepat-cepat tunduk. Menyorok. Faham?" Dititipkan pesanan kepada Eshaq.

Eshaq pula sekadar angguk akur. Tidak berbunyi untuk membentak, melawan atau merungut. Syukurlah Eshaq jenis yang mudah dengar cakap. Tak banyak kerenah seperti kanak-kanak seusianya.

"Mummy jangan lama-lama sangat tau." Tangan Jelita dipegang.

"Iya sayang."

Sejurus itu, Jelita terus keluar dari perut kereta. Melihat pintu depan tidak dikunci, Jelita tahu Nisa ada di rumah sekarang ini. Lagipula memang semalam awal-awal dia sudah beritahu Nisa, dia akan pulang sebentar untuk ambil barang.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now