Kepala Eshaq ditarik ke dadanya. Pipi tembam budak itu diusap. Dibelai penuh kasih. Lalu dahi Eshaq menerima ciuman ringkas. Makin mereka rapat, Jelita makin dapat rasakan, selama ini terlalu banyak yang dipendam oleh Eshaq.

Dia nampak perasaan demi perasaan, dengar luahan demi luahan dari mulut Eshaq sendiri. Kasihan memang kasihan. Itu mungkin itu sudah bahagian budak itu. 'Hilang' ibu seawal usia yang masih muda.

"Mummy janji dengan Shaq."

"Janji apa?" Kepala tunduk membalas tatapan polos Eshaq.

"Jangan tinggal Shaq. Jangan tinggalkan daddy. Shaq takut..." Pinggang Jelita dipeluk erat-erat. Eshaq sembam wajah ke perut gadis itu.

"Mummy janji."

Tatkala janji telah dilafaz, Jelita tahu dia tidak boleh berundur lagi. Apa yang dia telah lakukan sampai saat ini, harus diteruskan sehingga akhir penamat. Perjanjian yang telah dibuat dengan Eshaq cukup untuk beritahu betapa dia sayangkan budak itu.

Dia akan menyayangi dan menjaga Eshaq seperti anaknya sendiri hingga hela nafas terakhir.

"Mummy sayang Eshaq?" soal Eshaq tiba-tiba. Tangan jelita dipegang. Kelopak matanya mengedip polos.

"Mestilah sayang. Sayang sangat anak mummy ni!"

Eshaq akhirnya tertawa. Angguk banyak kali dan terus memeluk tubuh Jelita erat-erat. Ketat-ketat. Eshaq janji, walau apapun yang berlaku, tiada sesiapa boleh rampas mummy daripada dia.

Selang beberapa minit selepas itu, Emiir menapak masuk ke dalam bilik tidur Eshaq dengan pakaian santai. Lelaki itu sudah siap menukar kemeja awal tadi dengan sehelai t-shirt putih dan sweatpants kelabu. Jelita balas tatapan Emiir yang sedang bersandar di pintu sambil peluk tubuh itu.

"Aku nak bawa kau ke bilik."

Maksudnya bilik 'kita'. Bilik mereka. 'Berdua'.

Jelita jatuhkan kepala beberapa kali sebelum mendongakkan wajah Eshaq. Kepala budak itu diusap lembut. Penuh sayang. Tatapannya sarat dengan perasaan yang tidak mampu diluahkan melalui kata-kata. Demi Tuhan, budak lelaki ini benar-benar telah berjaya mencuri sekeping hati milik Jelita.

"Mummy ikut daddy kejap. Tunggu sini tau."

Ironinya, Eshaq akur. Langsung tiada bentakan atau rengekan seperti budak kecil.

"Okey mummy. Shaq tunggu."







JEJAK saja kaki ke dalam bilik tidur serba mewah itu, Jelita dapat rasakan bulu romanya meremang tegak. Seluruh ruang itu didominasi oleh warna hitam. Ada kalanya sedikit warna kelabu dan merah. Tidak jauh beza daripada bilik Emiir di Farran's Residence. Tapi auranya berbeza.

"Menung apa? Masuklah." Suara serak-serak basah dari belakang itu buat Jelita teguk liur dalam-dalam.

"Ada satu katil aje ke?"

Kepala yang tidak gatal digaru-garu. Kemudian, tubuh dipusing menghadap Emiir yang sudah berhenti melangkah. Lelaki itu, daripada seluk tangan ke dalam seluar, kini sudah menukar posisi dengan memeluk tubuh. Jelas-jelas otot lengan lelaki itu naik.

Emiir kerut kening mendengar soalan Jelita. Sekejap pandang Jelita, sekejap pandang katil bersaiz King di belakang isterinya. Ekspresinya seolah-olah mengatakan Jelita sedang bertanya sesuatu yang sudah jelas-jelas ada jawapan di depan mata.

Rasanya tak ada pula dia letak dua buah katil di situ.

"Nampak macam ada sepuluh katil ke?" Sarkastiknya.

Jelita memutar bebola mata ke atas. Berdecit lalu melipat bibir bawahnya ke dalam. Turut memeluk tubuh sambil menentang mutiara hitam pekat milik Emiir. Nafas dihela panjang-panjang.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now