Saat yang dinanti-nantikan telah tiba. Jelita teguk liur dengan hati berdebar-debar. Melihat tubuh Emiir yang sedang menghadap abah sebagai wali yang akan menikahkan mereka pagi ini. Sesekali Jelita pejam mata apabila Emiir sudah berjabat tangan dengan abah.

"Bismillahirahmanirrahim..." Bergema suara abah dari corong mikrofon.

"Raja Emiir Farran bin Raja Emran Farran."

"Ya saya."

"Aku nikahkan dikau dengan anakku, Jelita Elnara binti Jusoh dengan mas kahwinnya RM750 ringgit, tunai."

Emiir ambil nafas panjang-panjang. Hembus perlahan lalu pandang mata abah dalam-dalam. Besar tanggungjawab yang harus dia pikul selepas ini. Lagi-lagi setelah abah menitipkan pesan ketika panggilan terakhir mereka dua hari lepas. Berbunyi begini.

"Tolong jaga anak abah baik-baik. Andai satu hari nanti Emiir sudah tak mahukan Jelita, pulangkan anak abah baik-baik kepada abah. Jangan sakiti dia. Jelita permata hati abah. Sakit Jelita, sakitlah abah..." Ketika abah menghubungi.

"Aku terima nikahnya Jelita Elnara binti Jusoh dengan mas kahwinnya RM750 ringgit, tunai." Dengan sekali lafaz, kini Jelita sudah sah menjadi milik Emiir.

Menitik air mata Jelita setelah lafaz tersebut meluncur dari mulut Emiir tanpa teragak-agak. Macam lelaki itu sudah praktis berkali-kali. Langsung tiada debar atau gugup dalam nada lafaznya. Aliah yang peka, cepat-cepat memberikan tisu. Di kiri Jelita ada mak dan bonda yang setia menemani.

Usai itu, majlis diteruskan lagi dengan acara pembatalan air sembahyang. Jelita menunduk apabila mata-mata di situ sudah menjadikannya fokus utama. Perlahan-lahan, Emiir menapak ke arah Jelita yang sedang duduk di atas kusyen kecil.

Duduk tepat di hadapan Jelita. Dia dongakkan wajah isterinya tanpa teragak-agak. Tak kekok langsung. Jelita nampak tersangat cantik dan manis hari ini. Gadis itu terlihat simple tetapi tetap elegan dalam sepersalinan kebarung satin berwarna putih.

"Jelita, suami nak sarung cincin tu," tegur Wan Radea.

Dengan butir-butir debar bercambah di dada, Jelita hulurkan tangan. Laju saja Emiir menyarungkan cincin ke jari manis Jelita. Setelah itu, Jelita juga melakukan perkara yang sama. Dia tunduk menyalam tangan Emiir setelah ditegur oleh mak pula.

Tanpa kata, Emiir meletakkan tangan ke atas ubun-ubun Jelita ketika gadis itu tunduk menyalamnya. Sempat membisikkan sesuatu di telinga isterinya yang mengedip mata memandang. Meskipun dalam majlis bahagia ini, hanya ada secalit senyuman nipis Emiir mampu ukirkan. Itu pun setelah dipaksa oleh bonda dan sepupu-sepupunya.

"Ya Allah... Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya..."

Jelita senyum. Bertatapan dengan Emiir buat beberapa ketika. Walaupun tiada reaksi pada wajah tegas Emiir, tapi pandangan suaminya redup. Redup sekali. Buat hati dia rasa lega. Lagi-lagi setelah Emiir menyeka sisa air mata di pipinya.

Raja Rania dan Raja Radha saling senggol bahu. Kemudian, lengan bonda dicucuk. Memuncung-muncung bibir ke arah Emiir yang sedang merenung Jelita. Mereka senyum-senyum mengusik.







MAJLIS bersanding dilakukan pada malam hari. Kemeriahan suasana malam itu beransur pergi setelah jam sepuluh malam. Kejung otot muka Jelita terpaksa pura-pura senyum di hadapan orang ramai. Tetamu yang hadirlah bukanlah orang luar pun. Kerabat keluarga Emiir juga. Adapun mungkin rakan-rakan terdekat Emiir dan Jelita.

Majlis malam ini hanya dilakukan di Farran's Residence sahaja. Tiada majlis besar-besaran. Tiada kamera lip lap lip lap sana dan sini ingin ambil gambar pasangan mempelai. Sungguhpun begitu, Jelita dan Emiir tetap memakai sepersalinan baju bersanding. Jelita memakai gaun kembang mencecah lantai berwarna hitam keemasan manakala Emiir memakai sut hitam.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now