Ini Jelitalah! Pantang tok nenek dia mengaku kalah. Dia tak akan sesekali berundur sebelum 'berperang'. Lawan tetap lawan!

Kalau nak kata Emiir terhibur, memang dia terhibur benar. Tapi wajahnya masih kekal tiada perasaan. Hanya pandang lurus ke depan. Tergeleng perlahan kepalanya. Silap oranglah Lashira mahu ajak berperang mulut. Dia belum kenal Jelita yang penuh dengan seribu satu idea untuk berbahas.

"Kurang ajar kau, ya. Biadab! Tak patut kau masuk dalam keluarga kami. Tak setaraf langsung!"

Ini dah melebih ni. Turun naik dada Jelita. Dia sudah bersedia ingin buka silat gayong dalam kereta ni. One by one, ada berani? Risau patah riuk tulang-temulang gadis sotong kurita ni nanti!

"Helo? Tak setaraf aku pun, Emiir tetap pilih aku. Ada dia pilih kau? Tak, kan? Hmmm, lemah!"

"Aku tahu kau mesti dah mandrem Abang Emiir! Tak mungkinlah Abang Emiir berselera dengan perempuan kampung macam kau ni."

"Bercakap dengan cermin ke, sedari? Kau pun duduk kampung juga. Perempuan kampung juga. Tak payah nak acah-acah kau terpaling bandar sangat. Dasar budak OOTD sanggul selebar Jambatan Pulau Pinang!"

"Hesyhh! Akulah kau ni..."

Tak sempat Lashira ingin menarik rambut Jelita di belakang, tubuhnya terlebih dahulu melantun ke depan. Dia yang tidak bersedia langsung, kepalanya terus terhantuk pada dashboard kereta.

Lashira pandang Emiir dengan perasaan yang ingin meletup-letup. Dahi yang terasa pedih, dia gosok laju-laju. Melihat wajah tidak bersalah Emiir, Lashira jadi makin tak tahan. Kenapa lelaki ini selalu menyakitkan hati? Tapi itulah, menyakitkan hati pun, lelaki ini juga yang dia akan kejar sampai dapat.

"Dah sampai." Bukan bercakap dengan Lashira. Emiir pusing tubuh ke belakang.

"Kau okey?" soal Emiir pula. Masih ditujukan buat bakal isterinya.

Melihat Jelita angguk, dia turut angguk. Kemudian, barulah dia pandang Lashira yang hampir bertukar menjadi Hulk hijau itu. Kening diangkat tanpa rasa bersalah. Dia tahu Lashira tidak akan berani menghambur kata-kata kesat kepadanya. Lashira takkan pernah tunjuk 'bengis' kepada seorang Raja Emiir Farran.

"Cepatlah turun. Aku tak ada masa untuk tunggu kau lama-lama. Ni, jangan lupa beli air sekali untuk Jelita. Ambil, nah." Sempat Emiir buka dompet dan memberikan sekeping not RM50 kepada Lashira.

Lashira menderam perlahan dengan layanan Emiir yang jelas-jelas berbeza ketika lelaki itu melayan Jelita. Tak adil! Emiir tak boleh perlakukan dia macam ini. Bukan Emiir tidak tahu perasaan dia. Tapi lebih memilih untuk tidak ambil peduli. Sakit hati Lashira mengenangkan sudah berapa tahun dia menerima layanan begitu daripada sang lelaki idaman.

Kepala dipusing ke belakang. Berbalas pandangan dengan Jelita.

'Ada ubi ada batas, ada hari aku balas!' jerit hati Lashira.









"ESHAQ, sinilah main dengan akak..." Amboi, lembut benar suara Lashira memanggil Eshaq. Lemah gemalai. Itu kalau pijak semut pun tak mati gayanya.

Terhenti tindakan Eshaq yang ingin menggeletek Jelita. Kedua-duanya saling berpandangan sebelum Eshaq buat keputusan untuk atur langkah ke arah Lashira. Wajah tanpa reaksi dia pasang seperti ketika dia bersama orang asing. Eshaq tak suka perempuan ni!

"Eshaq ni handsome macam daddylah..." Lashira hampir ingin menyentuh kepala Eshaq, namun budak itu cepat-cepat mengelak.

Berubah raut wajah Lashira. Tapi dia tutup dengan senyum lebar di bibir apabila perasan Emiir baru keluar dari bilik. Wajah ramah ditayangkan kepada Eshaq. Lashira percaya, budak macam Eshaq ni bukan susah pun untuk dilenturkan. Sikit hari lagi, tempat Jelita, pasti mudah dia gantikan.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now