"Assalamualaikum..."

Salam pertama tidak bersahut.

"Assalamulaikum mak! Jelita balik ni." Kali ini lebih kuat tone suara. Tidak lama selepas itu, Jaizara terjenggul di depan pintu dengan wajah baru bangun tidur. Tergeleng kepala Jelita.

"Kak..." Tangan Jaizara disalam penuh hormat.

Wanita muda itu hanya bergumam sebelum matanya menikam wajah manis Jelita. Keningnya berkerut seribu melihat pipi dan mata adiknya merah. Seperti baru lepas menangis gayanya. Kening dijungkitkan kepada Jelita, papar wajah curiga.

"Mata kau kenapa merah ni? Baru lepas menangis ke?" soal Jaizara selamba tanpa memikirkan perasaan Jelita.

"Taklah. Masuk habuk tadi. Mak dengan abah mana?"

"Abah keluar kejap. Mak kau tu faham-faham jelah waktu-waktu macam ni ada dekat mana."

Faham. Terlebih faham. Petang-petang macam ini mak memang tak akan senang hati duduk diam di rumah. Tak lain tak bukan, pergi jumpa persatuan makcik bawanglah tu. Terkadang Jelita tidak faham dengan mak. Entah apa masalah keluarga mereka ini sebenarnya. Apa yang belum sempurna? Apa yang mak belum puas sangat? Belum cukup baikkah abah menjaga mak selama ini? Sedangkan Jelita tahu abah sangat sayangkan mak.

Seburuk-buruk perangai mak, abah tetap setia di sisi wanita itu. Kalaulah Jelita berada di tempat abah, memang dah lama mak ditinggalkan. Jelita tak ada kesabaran macam abah. Satu perkara tentang abah. Abah tu nampak je tenang. Tapi bila marah, memang betul-betul marah. Lelaki itu selalu diam tetapi diam-diam menyimpan banyak perasaan yang tidak terluah.

"Aku lapar. Pergi masakkan untuk aku." Dengan itu, Jaizara terus berlalu ke dalam bilik dengan langkah terhincut-hincut dengan bantuan tongkat ketiak.

Jelita mengeluh. "Huh..."


*****

HAMPIR menjelang maghrib. Jelita labuhkan punggung di atas sofa kayu di ruang tamu. Selesai solat asar tadi, Jelita terus menyiapkan makanan untuk Jaizara. Tidak lama selepas itu, ibu pula pulang. Disuruhnya Jelita urutkan kaki. Dah berjalan merata keliling kampung, tahu pula sakit kaki.

"Mana abah ni, mak? Lama betul keluar. Hari macam nak hujan. Angin kuat tu."

Leha yang sedang menonton televisyen hanya menjeling sekilas. Diam-diam turut mengerling jam di dinding. Waktu berjalan pantas. Sudah hampir jam tujuh malam. Namun, batang hidung suaminya tidak juga kunjung dilihat. Buat sakit hati. Berbahang rasa ulu hati bila memikirkan kemungkinan Pak Jusoh sekarang sedang menggatal dengan janda di kampung sebelah.

Itu yang tak reti nak balik!

"Tak payah tanya pasal orang tua tu. Buat sakit hati aku je!" Leha mendengus.

Jelita pandang mak kehairanan. Mak dengan abah kalau tak bergaduh sehari, memang tak sah. Paling tidak pun, mak pasti akan bangkitkan isu remeh untuk bertengkar mulut. Jelita faham sangat perangai mak. Cemburu buta mak kalah pasangan anak muda yang baru bernikah. Tidak dinafikan abah makin berumur, makin kacak, mungkin di mata Jelitalah.

Tapi mak punya cemburu sampai abah nak minum kopi di warung depan sana pun tak boleh. Ikutkan hati, mahu saja Jelita bawa abah pergi pusat karaoke, layan dangdut dengan janda kampung sebelah. Boleh tahan lawa. Baru mak tahu langit itu tinggi ke rendah. Asyik nak bergaduh je. Mujurlah abah tak pernah terfikir untuk buat semua itu. Jelita pula yang naik kasihan dekat abah.

Bunyi enjin motosikal lama dari luar membuatkan perhatian Jelita teralih ke pintu. Jelita segera bangun dan menapak ke depan pintu. Langkahnya kelam-kabut. Tidak sabar mahu sambut abah pulang. Hati sudah lama menyimpan rindu buat orang tuanya itu. Memang dari kecil Jelita hanya rapat dengan Pak Jusoh. Mak terlalu 'garang' sampai Jelita tawar hati untuk rapat dengan wanita itu.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Where stories live. Discover now