Tanah Magis Malagemalai (Edit)

By wanstony

7.9K 935 295

Mona, seorang gadis muda yang terpaksa memimpin sepasukan askar pemberontak bernama Revolusi setelah kematian... More

prolog
bab 1
bab 2
bab 4
bab 5
bab 6
bab 7
bab 8
bab 9
bab 10
bab 11
bab 12
bab 13
bab 14
bab 15
bab 16
bab 17
bab 18
bab 19
bab 20
bab 21
bab 22
selingan bersama penulis dan sebotol minute maid pulpy
bab 23
bab 24
bab 25
penghargaan
bab 26
bab 27
bab 28
bab 29
bab 30
bab 31
bab 32
bab 33
bab 34
bab 35
bab 36
bab 37
bab 38
bab 39
bab 40
bab 41
bab 42

bab 3

246 32 17
By wanstony

Pekan Pong

SELANG dua hari kemudian, Jakal kembali semula ke kepada pasukannya pada waktu malam. Mona menghimpunkan Awang, Kencana, Drako, Drake dan Shah untuk menerangkan satu persatu pelan ketika konvoi menuju kem Gambit esok hari. Sebarang kemungkinan yang tidak dijangka, diatur dengan langkah yang baik tanpa perlu meluakkan nyawa askar yang berbaki.

Keesokan harinya, ketika alam masih lagi gelap. Mona bersama seluruh pasukan Revolusi memulakan perjalanan menuju wilayah Barat. Mereka melalui laluan berbukit-bukau bagi mengelak pertembungan antara Askar Maut yang mengawal setiap laluan utama di sempadan wilayah-wilayah Malagemalai. Dengan adanya haiwan tunggangan yang dirampas daripada musuh, perjalanan mereka bertambah cepat berbanding berjalan kaki.

Muda diam membisu di dalam pedati yang ditarik seekor mahluk seperti harimau kumbang namun tiga kali ganda lebih besar. Sejalur warna putih memanjang dari kepala sehingga ekornya. Dipanggil fierce kerana mereka pernah menjadi tentera paling berani ketika menentang beast yang cuba menakluk Malagemalai pada ribuan tahun lampau.

"Kau kenapa?" soal Awang setelah memerhatikan Muda hanya mendiamkan diri, kadang-kala mengeluh memandang luar yang masih gelap.

"Kak Mona marahkan aku." Muda mengelus jemarinya.

"Kenapa pula dia marahkan kau?"

"Sebab aku degil nak lawan musuh yang lagi kuat. Padahal aku tak mampu." Muda memandang kedua telapak tangan dengan anak mata tidak statik. Bayangan kematian yang semakin hampir ketika pertempuran sebelum ini menerjah kotak fikirannya.

"Kau masih muda, banyak lagi perkara yang perlu kau pelajari. Bukah mudah untuk jadi kuat. Tapi percayalah, dengan segala macam latihan dan pengalaman yang kau tempuh sekarang, akan datang kau mampu menjadi lebih ampuh daripada musuh," pesan Awang.

Wajah Muda bersinar dengan kata semangat daripada Awang. Tidak sampai seminit, riaknya bertukar gundah semula.

"Tapi, sudah dua hari kak Mona tak nak cakap dengan aku. Dengan orang lain elok sahaja berbual," bentak Muda dengan wajah sugul.

"Sabarlah Muda. Lambat laun eloklah tu."

Muda melepaskan keluhan paling berat dari rongga hidungnya.

ENAM jam berlalu. Mereka telah melepasi sempadan wilayah Barat dan berhenti rehat melepaskan lelah. Setengah jam kemudian, konvoi diteruskan semula. Jakal dan Awang mengetuai konvoi, menggantikan Mona yang berehat di dalam pedati bersama Muda.

"Kak Mona, aku minta maaf," rayu Muda. Namun tidak diendahkan oleh Mona yang duduk bersilang kaki memandang luar.

"Kak, jangan senyap je. Maafkanlah Muda."

"Kak, kak, kak, kak."

Mona tidak menghiraukan rengekan Muda, malah terus-menerus mendiamkan diri. Dia sengaja berkelakuan begini dengan harapan Muda akan sedar kesilapannya sendiri. Mona sebenarnya terkilan, dia telah diamanahkan bapanya untuk melindungi Muda. Selain itu, dia perlu memberi tunjuk ajar Muda cara bermain pedang, seni mempertahankan diri, cara mengawal magis dan paling penting, cara memimpin sebuah kerajaan. Tapi, disebabkan kedegilan Muda sendiri, Muda hampir sahaja menemui ajal dalam keadaan tidak disangka-sangka. Dia perlu melatih Muda agar berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Jujur dia takut akan kehilangan Muda yang sudah dianggap sebagai adik.

"Akak maafkan engkau. Tapi dengan satu syarat." Putus Mona setelah lama berdiam diri. Mata Muda membulat seraya mengangguk laju tanpa memikirkan syarat yang bakal dikenakan.

"Lepas ini kau tak boleh ikut bertempur melainkan terpaksa."

Muda langsung terkejut.

"Alah kak, jangan macam ni. Aku dilahirkan untuk lawan dengan musuh. Bukan duduk-duduk dan tengok apa yang sedang berlaku."

"Tengok, baru cakap sikit dah memberontak. Macam mana nak berdisiplin kalau asyik mempertikai keputusan akak." Mona bertukar tegas.

Muda memeluk tubuh. Memprotes keputusan Mona yang baginya tidak adil. Dalam ketika itu, barisan hadapan pasukan mula kucar-kacir dengan serangan mengejut daripada pihak musuh.

"Mona! Kita diserang!" kepala seorang askar terjengul dari tingkap pedati.

"Siapa serang?" Mona berubah kepada riak terkejut.

"Mergastua!"

"Anjing!" Mona melompat keluar dari pedati melalui tingkap, kakinya mendarat pada tanah sebelum menyerbu dengan kelajuan penuh. Muda yang sedikit lewat, turut mengikut perlakuan Mona. Syarat tadi terus hilang dari benak.

"Berapa ramai yang serang?" soal Mona kepada Jakal yang sedang membidik musuh menggunakan panah bersalut aura merah. Setiap anak panah yang dilepaskan melepasi selautan manusia.

"Tidak ramai."

Mona melirik Awang dan sekelompok askar sedang bertempur dengan musuh berkepala haiwan.

"Kencana! Kau dengan Shah ketuai askar ikut plan B. Nanti kami menyusul." Arahnya kepada Kencana yang sudah bersedia dengan pedang.

"Tapi..." Kencana teragak-agak.

"Cepat, Kencana. Jangan ingkar arahan aku. Kau ikut aku Jakal." Mona dan Jakal bingkas melompat tinggi. Mencari si kepala yang mengucar-kacirkan konvoi mereka.

Dalam tidak rela, Kencana menyusup bersama caballus, kuda bersisik ungu dan bertanduk di tengah kepala. Dia berteriak lantang kepada pasukan supaya berundur dengan segera. Ada yang berkeras untuk turut serta bertempur. Tapi, dihalang oleh Kencana dengan tegas kerana Mona mempunyai perancangan yang lebih besar. Mona tidak mahu nyawa askar dipersia begitu sahaja. Shah turut membantu dalam memimpin sebahagian askar menuju laluan lain walaupun terpaksa.

Di satu tempat, Mona bersama Jakal berhadapan Mergastua. Seorang lelaki tua yang masih tegap dan berambut putih pendek. Merupakan bekas hulubalang istana dan bertanggungjawab dalam menyebarkan khabar angin tentang tewasnya Raja Merah kepada Sirius. Dia juga menyebabkan ribuan pendekar dan hulubalang berpaling tadah daripada kerajaan sehingga sanggup memerangi saudara mereka sendiri.

Seorang lelaki berambut perang dan diikat ekor kuda tiba di sebelah Mergastua. Andrew. Memulakan kerjaya sebagai askar bawahan. Kemudian, setelah bergelut menyempurnakan pelbagai misi, dia memperoleh pangkat yang tinggi di kalangan Askar Maut. Walaupun hakikatnya sekadar pegawai cabuk.

"Mona, anak Lord Asdtal. Sudah lama kita tak bertemu. Bila kali terakhir?" Andrew menyentuh dagu. Cuba mengingati sesuatu.

Mona mengetap gigi. Mengawal gelodak amarah yang sengaja dicetus Andrew dengan perkara yang tak mahu diingati olehnya.

"Oh ya, malam itu. Aku tak boleh lupa muka takut adik kau. Hahaha! ianya sungguh menyenangkan. Aku.."

Kepala Andrew diketuk dengan pedang hitam milik Mergastua agar berhenti.

"Kau bual panjang-panjang siapa nak baca? Lawanlah."

Mergastua menjulang tangan. Letusan aura hijau pada telapak tangan berputar laju mengumpul tenaga. Mona tidak berdiam diri. Tiga bulatan magis terhasil di hadapan tubuh. Penumbuknya dilitupi aura biru. Tanpa isyarat, Mergastua melempar kuasanya. Mona turut menumbuk bulatan magis lalu terhasil pancuran aura biru yang bertembung dengan serangan Mergastua.

Keadaan sekeliling bergegar. Tanah pecah menjadi kawah. Pokok serta hidupan berhampiran menjadi mangsa dalam lingkaran letupan. Di sebalik kepulan asap, Mona dan Jakal yang sudah bertukar rupa menjadi jakkal, berkaki dua, muncung hitam, berbadan kekar coklat keemasan dan berbintik putih di belakang badan, meluru dengan pantas kepada musuh.

Pandangan Mergastua meliar ke sekeliling yang hanya dilitupi asap kelabu. Dia mengesan desiran angin membelah kepulan asap serentak berpaling ke kanan. Secara automatik menahan tetakan pedang Mona yang menyerbu keluar dari asap.

"Mari orang tua, kau dah terlalu lama hidup di atas muka bumi ini!" jerkah Mona sambil mengasak pedangnya sekali lagi.

"Kau langsung tak beradab," kritik Mergastua. Dia menghadang asakan dengan pedang hitamnya.

"Aku beradab dengan orang yang beradab. Bukan macam kau, binatang!"

Sekali lagi senjata mereka berlaga. Dentingan pedang singgah dihalwa telinga ibarat irama membunuh. Mereka berdua melompat dan berpusing sambil mencantas sesama mereka. Lama-kelamaan, Mergastua tidak mampu mengikut pergerakan Mona yang lebih laju. Dia ternyata tewas dengan tenaga orang muda yang jauh lebih sasa. Tanpa belas kasihan, Mona merodok perut Mergastua sehingga tembus.

"Matilah kau." Mona menyeringai di cuping telinga Mergastua.

"Hahaha, kau fikir kau dah menang? Jangan terlalu angkuh anak muda... erkh?" Riak Mergastua berkerut. Dia gagal membangkitkan kuasanya kerana terhalang sesuatu. Malah sakit ditikam mula menjalar seluruh badan.

"Kau yang sepatutnya jangan angkuh. Kelemahan kau sudah lama aku tahu. Cuma menunggu masa untuk membalas segala perbuatan kau diatas nama Raja Merah."

Tadi, Mona sempat mengaktifkan magis cahaya suci pada bilah pedangnya sesaat sebelum menikam perut Mergastua. Cahaya tersebut akan merencat segala penggunaan magis dan membunuh mereka yang dirasuk dengan bisikan kejahatan. Disebabkan itu Mergastua tidak mampu menukar badannya menjadi haiwan jadian yang lebih kuat daripada tubuh asal.

"Arghhh arghhh!" Mergastua terjerit kesakitan. Badannya memancar cahaya biru yang menyilaukan. Untuk beberapa ketika, tubuhnya melengkung ke atas sebelum terjelepuk di hadapan Mona. Dan, pecah menjadi debu yang ditiup angin.

Mona mengelap manik keringat di dahi dengan belakang telapak tangan. Dia menghela nafas panjang sebelum berlari mencari Jakal yang semestinya sedang bertempur dengan Andrew.

DI tempat Muda. Dia seakan menari dengan pedangnya sambil memenggal dan mencantas kepala musuh. Gerakannya pantas. Langsung tiada musuh yang dapat mencakar atau melukakan badannya. Kerana gerombolan askar semakin ramai mengasaknya, Muda berundur agak jauh. Tangan kanan ditegakkan separas bahu. Panahan kilat besar dilepaskan kepada gerombolan musuh. Sekelip mata, askar yang mengerumuninya bertukar rangka.

Muda melirik Awang yang menggunakan magis api kepada musuh sehingga terbakar menjadi debu, serta pasangan kembar Drako, Drake yang sepertinya tiada masalah menumpaskan musuh dengan magis angin.

Satu letupan membuat Muda menoleh kepada asap hitam yang menjulang tinggi di kawasan tidak jauh. Sejurus itu, dia memecut laju.

Jakal terbaring berhampiran pokok yang terpatah dua. Dia baru sahaja dihentam dengan magis letupan milik Andrew. Dengan perlahan dia bangkit bersila sambil menggeleng kepala. Walaupun sudah bertukar, dia tidak mampu menyerang Andrew sebanyak lelaki itu menghentamnya.

"Jakal."

Jakal menoleh. Muda datang menghampiri lantas membantunya berdiri.

"Asal?" soal Muda.

"Musuh kuat sangat, tapi aku lagi kuat." Jakal menunjukkan timbulan otot pada tangan sambil tertawa.

"Hahaha. Jomlah kita kasi hentam itu orang." Pedang pusaka diseru dan muncul di genggaman kiri.

"Kau kidal eh?" soal Jakal tiba-tiba. Muda mengangguk.

"Sama macam bapak kau."

Muda terpempan sambil teringat akan ayahnya, Hayyat.

"Jom. Tadi beria sangat." Jakal menepuk bahu Muda yang terkaku.

Muda tersedar. Dia memandang Jakal dikelilingi cahaya merah untuk seketika. Tatkala cahaya lenyap, badan Jakal lengkap dengan baju perisai dan pedang besar.

"Cool," bisik Muda dengan wajah kagum. Walaupun berwajah binatang, ianya tetap kelihatan gagah dan menggerunkan.

Mereka berdua menghampiri medan pertempuran antara Mona dan Andrew. Kelibat mereka yang saling melibas pedang dan berbalas serangan, bertambah laju sehingga hanya percikan api dan bunyi besi berlaga yang mampu ditangkap mata kasar. Muda ternganga. Kagum. Dia tidak pernah tahu bahawa Mona sangat hebat seperti ini.

Setelah agak lama dan tiada tanda-tanda pertarungan itu akan habis, Mona berundur dengan melompat balik kuang. Dia mendarat di sebelah Jakal. Tatkala menoleh ke kiri, mata Mona membulat.

"Muda! Kau buat apa dekat sini?" jerkahnya.

"Nak lawanlah, buat apa lagi." Muda menayang pedang pusaka.

"Kau berundur sekarang. Cari Awang, suruh dia ke sini. Lepas itu ikut Kencana pergi berlindung," arah Mona tegas.

"Tapi kak..."

"Tak ada tapi, tapi. Pergi sekarang!"

Muda mengembungkan pipi sebelum melangkah pergi.

'Ini rupanya Muda.'

Andrew yang sedari tadi memerhati, memecut laju kepada Muda. Jakal dan Mona sedaya-upaya menghampiri tatkala mengesan tindakan drastik Andrew yang tidak disangka. Pedang dijulang tinggi dan semakin hampir kepada Muda yang tidak mengesan serangan tersebut. Hampir sahaja tetakan tersebut mengenai batang tubuh Muda, ianya dihadang oleh seseorang dengan tangan kosong.

Mata Andrew terbuntang luas. Bukan kerana pedangnya, tapi dia kenal dengan susuk yang berada di hadapannya. Susuk yang sering mengundang gerun kepadanya.

Muda menoleh belakang. Matanya membulat melihat Awang sedang melindung tubuhnya daripada bilah pedang. Untuk kesekian kali, nyawa Muda diselamatkan oleh lelaki yang sama.

Riak Awang jauh lebih bengis ketika merenung Andrew seperti hendak mencerai-beraikan setiap inci badan lelaki tersebut.

"Lawan kau, aku. Kau keji sebab berniat untuk bunuh seorang budak yang tiada kena mengena dalam pertarungan ini." Awang menghancurkan pedang Andrew dengan menggenggamnya sahaja. Dia mengisyarat kepada Muda supaya mendekati Mona.

"Aa-awang." Andrew terketar-ketar.

"Ya, ini aku, Awang Belantara. Mimpi ngeri kau!" Awang menujah perut Andrew dengan tapak kaki. Andrew terseret jauh dan menghentam sebatang pokok. Awang menghampiri dengan kepantasan bak halilintar.

"Ampun, Awang ampun." Andrew merapatkan kedua telapak tangan sambil tertunduk ketakutan dengan badan yang menggeletar.

"Jangan fikir yang kau seorang sahaja kuat. Dalam dunia ini ada jauh lebih handal." Awang mencangkung. Andrew mengesot takut sambil menutup wajahnya dengan tangan. Dia terlampau takut untuk bertentang mata dengan lelaki yang pernah membantainya dan sebatalion askar seorang diri sehingga mereka cedera parah. Dia tahu kemampuan lelaki itu.

"Kau balik dekat Valdire. Cakap yang Mergastua sudah mati."

Andrew terangguk-angguk sebelum lesap dari pandangan. Awang bangkit berdiri lalu dihampiri oleh Mona, Jakal dan Muda. Masing-masing ingin tahu kenapa musuh yang sebelumnya kuat, tiba-tiba bertukar lembik kerana ketakutan selepas memandang Awang.

"Cerita lama," ujar Awang dengan senyuman. Bahunya dipeluk oleh Jakal.

"Muda, disebabkan kau dah langgar syarat. Mulai esok latihan kau akan dipertingkat lima kali ganda," tutur Mona serius.

"Apa! latihan biasa pun sudah teruk. Lagikan lima kali ganda. Lagi teruk."

"Kau sendiri yang cakap, kau dilahirkan untuk berperang dan berlawan. Jadi terima sahaja tanpa sebarang alasan," bidas Mona sambil menggoyangkan jari telunjuk di hadapan Muda.

"Tapi ini tak masuk akal, lima kali ganda? Itu mendera namanya." Muda masih tidak mahu mengalah.

"Yang tak nak dengar cakap akak kenapa? Nak jadi raja kena bertanggungjawab dengan kesilapan diri sendiri."

"Aku tak nak jadi raja. Alah kak. Ini kerja gila!"

Awang dan Jakal berpandangan sebelum melangkah meninggalkan dua susuk yang masih bertekak perihal benda kecil. Mereka berdua sudah biasa dengan situasi begini. Hujungnya, Muda terpaksa juga menurut. Dan, Mona tetap sayang kepada Muda walaupun kadang-kala dia terlampau bertegas dalam memastikan keselamatan Muda.

Kubu Grey, Wilayah Selatan

SEGEROMBOLAN askar berbaris lurus menghadap jeneral tertinggi di atas pentas. Valdire gagah berdiri dengan plat-plat besi pada dada dan bahunya. Di belakang, berdiri pendekar yang berpihak kepada Raja Sirius.

"Hari ini kamu semua serbulah segala kampung! Jika ada pemberontak, perangi semuanya sekali. Rosakkan harta benda mereka! hancurkan kediaman mereka! Tunjuk kepada mereka, kita yang memerintah sekarang!"

"Huarhh!! Huarh!!"

"Jika ada penduduk yang melawan, bunuh sahaja! Jangan benarkan seorang penderhaka hidup."

Maka berduyun askar keluar dari kubu sambil menjulang senjata dan menuju ke kampung-kampung yang disyaki menjadi sarang pemberontak.

"Maliq."

Seorang lelaki lengkap berpakaian pendekar serba hitam menoleh kepada jeneralnya.

"Kau dengan Turak jumpa Kelembai. Minta bantuannya untuk memburu Gambit. Aku mahukan kepala dia dengan segera," arah Valdire tegas.

"Baik jeneral." Maliq bersama seekor demon melompat dari pentas sebelum lesap.

"Aku nak buat apa?"

"Kau duduk sahaja dekat sini. Aku tak nak nyawa kesatria lain melayang," ujar Valdire tanpa menoleh kepada seorang gadis. Dia mengurut dagunya.

"Mana Algojo?"

Continue Reading

You'll Also Like

654K 3.2K 8
Kisah seorang isteri seorang askar yang sering digoda oleh kawan-kawan sekerja suaminya di mana awalnya dia menyampah dan akhirnya dia berubah kepada...
530K 36.4K 69
Highest #1 in Sad TRIO GIRL TG dianggotai tiga orang gadis berperwatakan nerd dan selalu di buli. Namun mereka masih bersikap sopan santun walaupun d...
730K 16.5K 20
Nadhira Sofea Bertahun lamanya dia menyimpan perasaan. Rasa yang membungakan hatinya. Rasa yang sangat indah hingga dia mencatat segalanya di setiap...
147K 6.5K 63
[KARYA PERTAMA] Apakah nasib si gadis yang bernama Nur Miesyaira Huda... Aira yang hanya dianggap sebagai beban untuk keluarganya cuba untuk mencari...