TDLM - bab 41

12.1K 516 27
                                    

Perasaan yang tidak sedap membawa Mak Su Nora ke rumah Dhiya apabila tiada lampu yang terpasang.

Mahu kata keluar, kereta masih di garaj. Dhiya juga tidak ada memaklumkan pada dia Dhiya keluar ke mana-mana.

Lagipun sekarang sudah pukul 10 lebih. Jarang sangat lah jika Dhiya tidak berada di rumah waktu-waktu sebegini.

Kunci rumah yang diberikan kepadanya digunakan untuk membuka pintu yang dikunci dari dalam.

Sunyi.

Pagi tadi Dhiya ada memaklumkan padanya yang Kasyaf akan singgah sebentar. Masa bila pun dia tak sedar, macam singgah sekejap saja.

Anak tangga didaki menuju ke tingkat atas lalu daun pintu bilik Dhiya ditolak perlahan.

Hatinya memanjat kesyukuran melihat sekujur tubuh Dhiya yang sedang berbaring di atas katil.

Tapi masih ada rasa risau melihat tiada lampu yang terpasang walaupun satu. Takkan lah Dhiya tidur sebelum maghrib?

Mak Su Nora berjalan mendekati Dhiya di katil. Bahunya disentuh lembut, mahu memeriksa sekurang-kurangnya Dhiya tidak dalam keadaan pengsan.

Kerana beberapa hari ini sebegitu.

"Dhiya," panggilnya lembut. Dahi Dhiya disentuh, tidak terlalu panas tidak terlalu dingin. Mungkin hangat.

Punggung berlabuh di sisi katil. "Dhiya," panggilnya lagi. Nampak seperti tidur.

Yakin bahawa Dhiya tidur, dia tidak mahu mengganggu lenanya. Baru sahaja dia ingin beredar, kedengaran Dhiya melepaskan batuk kecil membuatkan dia kembali ke katil.

Wanita itu menggeliat kecil dengan dahi yang berkerut-kerut membuatkan Mak Su Nora menuang air kosong ke dalam gelas yang tersedia di tepi katil.

"Mak su?" kepalanya terasa berat. Mungkin kerana seharian dia tidak berhenti menangis sehingga tertidur.

Tapi dia masih lagi dapat mengecam siapa wanita di hadapannya.

Tanpa disuruh, mak su menolong Dhiya yang cuba untuk bangun bersandar pada katil. Gelas yang diisi air tadi dihulurkan.

Samar-samar cahaya lampu jalan menembusi bilik Dhiya, dapat mak su menangkap wajah Dhiya yang sembap.

"Dhiya okay tak ni?" tangannya mengelus lembut ubun-ubun Dhiya.

Gelas yang di tangan dipegang kuat. Baru tanya seperti itu sudah cukup membuatkan air mata mula berkumpul kembali di tubir mata.

Kepala ditunduk sebelum menggeleng lemah. Air mata jatuh membasahi pipi.

Helaan nafas kecil dilepaskan. "Kenapa ni? Cerita dekat mak su."

Pipi yang basah disapu. Pandangan beralih memandang pintu sliding door yang ditutupi dengan langsir putih yang nipis.

"Dhiya-" suara tenggelam dalam kesebakan sendiri.

Nafas ditarik dalam. "Dhiya dengan Kasyaf-" suaranya pecah lagi apabila air mata kembali jatuh. Hujung kuku digigit.

Walaupun tidak habis, dia seperti dapat mengagak apa yang akan dikatakan oleh Dhiya. Mak su tidak bertanya, dia terus menarik Dhiya ke dalam dakapannya.

"-akan bercerai." Bilik itu dipenuhi dengan tangisannya.

Biarkan kali ini sahaja dia menangis semahu-mahunya kerana sungguh dia tidak kuat. Hatinya hancur, ranap.

Mana ada isteri yang sanggup untuk bercerai sedangkan hanya lelaki yang bergelar suami bertakhta di hati?

Tapi ini adalah keputusan yang perlu dia buat. Hati dan perasaannya harus ditolak tepi.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now