TDLM - bab 18

11.9K 620 21
                                    

Kereta Dhiya berhenti di sebuah rumah setingkat yang berkonsepkan tradisional moden. Ini kali pertama dia datang ke sini, jadi harapnya dia tidak tersalah rumah. Tapi melihatkan banyak kereta yang diparkir di luar, Dhiya yakin ini tempatnya.

Badannya disandar pada tempat duduk. Memandu selama hampir 4 jam membuatkan badan dia agak lenguh. Dia pandang rumah yang agak besar ditambah pula dengan laman yang luas. Berkira-kira untuk keluar.

Bunga mawar kuning yang ditambah dengan baby breathe sempat dibeli sewaktu dalam perjalanan ke sini diambil. Dhiya sudah sampai, takkan mahu berpatah balik.

Usai keluar dari kereta, butang kunci ditekan lalu disimpan dalam beg tangan. Tetamu lain yang sedang menjamu selera dengan berbual kosong dan tertawa tidak menjadi perhatian Dhiya.

"Dhiya?"

Langkah kaki terhenti. Dia pandang perempuan yang sedang tersenyum ke arahnya.

"Dhiya ke tu?"

Senyumannya dibalas. Dhiya mendekati wanita itu lalu sepasang tangan diraih untuk disalami. "Ya. Aunty sihat?" rasanya sudah agak lama Dhiya tidak bertemu dengan ibu Medina, Puan Suhaila. Mungkin dalam setahun lebih.

"Aunty ingat awak tak datang, Dina ingat pun macam tu." Bahu kanan Dhiya ditepuk lembut.

Leher yang tidak gatal digaru. "Ingatkan tak sempat datang." Agak kekok, mungkin kerana ada seorang lagi wanita sedang memandang mereka berdua.

"Oh ya, kenalkan Zah, Dhiya kawan baik Medina. Dulu dekat sekolah rapat macam belangkas. Dhiya, ini Puan Azizah, umi Kasyaf."

Dhiya pandang Puan Azizah. Jadi ini umi Kasyaf? "Assalamualaikum Puan." Tangan dihulur untuk bersalaman lalu disambut oleh wanita itu dengan senyuman manis.

"Ini lah Dhiya? Selalu Dina cerita dekat umi pasal Dhiya, pertama kali jumpa dengan Dhiya. Tak payah panggil puan, panggil umi je. Kawan awak yang lain pun panggil umi juga." Selalu nama Dhiya meniti di bibir menantu kesayangannya, agak cantik tapi tidak mampu untuk mengalahkan Medina.

Tidak tahu harus balas apa jadi Dhiya hanya senyum. Berharap ada yang memanggil namanya.

"Oh ya, awak masuklah. Yang lain ada dekat dalam, Hanan dengan Iman dah sampai sebelum maghrib lagi."

Setelah meminta izin pergi, Dhiya tanggalkan kasut lalu masuk ke dalam rumah itu untuk pertama kali. Cantik. Rekaan dalaman tidak terlalu mewah, mungkin kerana ingin kekalkan konsep minimal.

"Dhiya?"

Asyik melihat isi rumah itu, anak mata Dhiya beralih ke bahagian dapur terbuka. Kelihatan 3 pasang mata melihat ke arahnya tidak percaya.

Medina mendekati dia. "Kau buat dekat sini?"

"Aku tak dijemput ke?" saja dia muncungkan mulut. Dia biarkan sahaja apabila Medina pegang tangan dia. Sesekali dia mencuri pandang melihat perut Medina yang semakin membesar.

Mereka berdua berjalan mendekati yang lain. "Ni untuk kau." Sejambak bunga tadi diberikan kepada Medina.

Melihatkan saja bunga mawar kesukaan Medina dan Dhiya terus sahaja dia senyum lebar. "Duduk lah dengan diaorang kejap." Medina masuk ke dapur basah.

"Kata tak datang?" Iman isi air strawberi ke dalam gelas lalu diberikan kepada Dhiya. Hanan turut menanti jawapan.

Air diteguk untuk hilangkan dahaga. Medina kembali dari dapur dengan membawa pasu panjang jernih yang sudah diisi dengan bunga tadi. "Ada masa terluang, so aku datang."

"Cantik rumah baru kau." Puji Dhiya ikhlas. Sebelum ini Medina dan Kasyaf menyewa sebuah apartment setahunya. Mungkin kewangan suda stabil jadi mereka membeli rumah. Lagipun Medina ada bagitahu dia dinaikkan pangkat 3 bulan yang lepas.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now