TDLM - bab 17

11.9K 556 11
                                    

Sebaik sahaja sampai di depan rumah, terus sahaja Dhiya menekan brek dengan laju menyebabkan bunyi cengkaman tayar kereta pada lantai menghasilkan bunyi. Hampir juga keretanya melanggar dinding rumah jika lambat menekan brek.

Pintu rumah dihempas kuat sehingga bergegar dan terbuka kembali namun tidak dia hirau lalu dia menuju ke dapur. Gunting yang selalu dia gunakan untuk memotong sayur diambil, anak kaki segera mendaki tangga menuju ke tingkat atas.

Tudung bawal yang dipakai ditarik kasar sehingga pin yang disemat pada bahu dan kepala tertarik sehingga tercampak entah ke mana.

Dhiya pandang pantulan tubuhnya pada cermin meja soleh. Kembang kempis dadanya menahan kecewa dan marah dalam hati sebelum air mata gugur membasahi pipi. Berita yang dia dengar tadi tidak mampu untuk Dhiya telan hakikatnya.

Bilik Doktor Amina itu sunyi sepi, hanya ditemani dengan bunyi angin penghawa dingin. Doktor Amina yang memandang keputusan pemeriksaan kesihatan Dhiya pada skrin dengan muka yang sedikit berkerut dicuri pandang oleh Dhiya.

Sumpah dadanya terasa ingin pecah tapi cuba untuk Dhiya tenangkan. Doktor Amina yang selama ini menjadi doktor yang merawat Dhiya selama bertahun-tahun.

"Macam mana dengan keputusan saya, doktor?"

Sungguh Dhiya menyesal tanya apabila riak muka doktor yang tua 3 tahun daripadanya tidak menunjukkan reaksi muka yang baik. Tiba-tiba sahaja Dhiya ingin lari, tidak sanggup untuk dengar.

Keluhan panjang kedengaran. Skrin komputer yang sedang memaparkan keputusan kesihatannya dipusingkan menghadap Dhiya.

"Saya minta maaf Puan Dhiya-"

Diam. Jangan sambung.

"-kanser puan datang kembali."

Luluh hatinya apabila mendengar sepotong ayat itu. Dugaan apa lagi ini? "Okay, bila saya boleh buat pembedahan? Kemoterapi? Radioterapi?" cuba untuk bertenang tapi dalam hati Tuhan sahaja yang tahu. Sungguh Dhiya tidak sanggup untuk menempuhi kembali waktu-waktu rawatan itu.

Lama Amina memandang Dhiya, selama dia kenal, wanita itu tidak pernah berputus asa untuk sembuh. "Ada benda yang perlu saya malklumkan lagi."

Suara Amina tidak kedengaran bagus. Beg tangan yang berada di atas paha digenggam kuat, tidak tahu di mana harus Dhiya mencari kekuatan.

"Sel kanser kali ni berbeza dengan sel kanser yang sebelum ini. Kali ini, lebih aktif." Amina diam apabila melihat rahang Dhiya bergerak menandakan dia sedang mengetap giginya.

"Kami takut kalau sel kanser sudah merebak ke tempat lain jadi kita kena buat pemeriksaan yang lebih terperinci," sambungnya lagi. Adalah penting untuk dia maklumkan keadaan sebenar pesakit walaupun berat.

Dhiya hanya diam tidak berkutik. Dia masih lagi untuk memahami apa yang dikatakan oleh doktor itu.

"Kalau dah merebak, dengan sel seaktif ini berapa lagi masa yang saya ada?"

"Saya bukan Tuhan. Ajal itu rah-"

"Berapa lagi masa yang saya ada?" Dhiya potong percakapan Doktor Amina.

Pen bermain dijari, serba salah untuk menjawab. "Kalau puan jalani rawatan, mungkin 2 tahun, mungkin lebih, mungkin kurang."

"Kalau tanpa rawatan?" dia tanya lagi.

Bibir dikemam. "Tak lama."

Laju sahaja air mata Dhiya turun. Jika tanya, Dhiya tidak sanggup. Rawatan yang sebelum ini dia lalui amat perit. Keguguran rambut sehingga botak, mual sehingga muntah, badan lemah tidak bermaya, penurunan berat badan.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now