Masing-masing mula diam. Afiq mahu bersoal lagi namun terasa kekok pula. Ah! Kenapa pula tiba-tiba rasa macam ini?

"Kalau aku kahwin dengan Zura, kau okey?" dia tahu, dia tidak sepatutnya bertanya perkara ini kepada Zaim. Tapi perkara itu yang menyesakkan akal dan hatinya. Zaim itu kawan baiknya, apa jua sekalipun Zaim perlu tahu.

Hampir tersedak dibuatnya bila Afiq bertanya begitu manakala Raju pula sudah ketawa sendirian. Walaupun Raju tidak mencelah dengan perbualan mereka, tapi telinganya masih mendengar setiap perbualan mereka. Terus Afiq menjeling Raju.

"Eh! Raju kau dengar aje eh?"

Raju hanya ketawa sambil gelengan kepala. Afiq tak tahu apa yang bermain di minda Raju saat ini. Dia salah cakap ke? Kemudian dia alihkan perhatian sepenuhnya kepada Zaim. Lelaki itu nampak selamba saja mukanya tiada riak terkejut.

Zaim membetulkan kedudukannya. Dia dah tak ambil kisah lagi pasal kerjanya gara-gara Afiq yang mahu berkahwin dengan Maizurah. Dia menghela nafas. Benda yang baik, dia sokong saja. Tapi terbit rasa kasihan tatkala mengenangkan nasib Afiq nanti. Betul ke Afiq cintakan Maizurah? Atau sebab paksaan oleh Tuan Malik? Haih! Pening kepalanya. Dia tidak mahu Afiq sekali lagi kecewa.

"Apa yang kau buat ini, betul ke Afiq? Kau dah fikir masak-masak?"

Soalan itu bertalu di telinga Afiq. Panas telinganya mendengar soalan itu. Teringat semasa dia melamar Maizurah pada malam itu. Cincin sudah pun dipakai oleh Maizurah. Semalam, Maizurah siap mengirim gambar cincin yang dipakainya sebelum tidur. Adakah semua itu petanda Maizurah ikhlas menerimanya?

"Aku dah fikir sehabis dalam, Zaim. Aku buat semua ini sebab aku sayangkan Zura. Aku tak pasti kenapa perasaan aku berubah sekejap aje dengan Zura. Permulaannya masa Tuan Malik menggesa aku melayan anaknya masa itu. Disebabkan hal yang remeh itu, aku juga bencikan kau, Zaim. Cemburu itu tetap ada apabila Zura masih belum dapat melupakan kau. Dia masih sayangkan kau sebenarnya. Pelbagai cara aku buatkan untuk Zura lupakan kau tetapi tak berjalan langsung."

Zaim menelan liur. Dia bingkas bangun dan mengajak Afiq keluar. Dia rasa tak selesa berbincang soal hati ini di dalam pejabat. Takut Raju terganggu. Sebuah kafe yang tidak jauh dari tempat kerjanya dipilih oleh Zaim. Kafe ini tidaklah sehebat mana, tapi dalam keadaan sebegini elok sangatlah masing-masing meluahkan rasa.

Dua pesanan air sudah dipesan oleh Zaim pada pelayan kafe tadi. Anggap sajalah dia membelanja Afiq.

Dahi Afiq berkerut setelah Zaim memesan air moka. Tekaknya juga mahu merasa air sedap dalam kafe ini. Anak matanya mula meliar di setiap sudut kafe ini.

"Aku nak kau fikir sehabis baik. Aku tak nak kau menyesal kemudian hari." Zaim memulakan bicara. Keputusan yang Afiq buat untuk berkahwin dengan Maizurah adalah penentuan hidup sepanjang hayat. Kalau salah pilih pasangan, habis ranap rumah tangga yang dibina. Dia bukan nak mendoakan Afiq macam itu, tapi kalau boleh biarlah calon isteri Afiq, baik-baik orangnya, ikhlas cintakannya. Bukan main angkut aje!

Afiq memaniskan bibirnya. Ada segaris senyuman. Setidaknya, Zaim masih risaukan dirinya.

"Aku tak menyesal atas apa yang aku dah buat. Aku yakin Zura jodoh aku. Biarlah kau nak cakap apa pun, semua itu akan terjadi. Zura jadi isteri aku dan aku jadi suami Zura."

Bahu Zaim sedikit terangkat. Dia tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau sudah itu pilihan Afiq, dia tak mahu bertekak. Kalau betullah Maizurah dan Afiq ada jodoh, dia tumpang gembira. Sekurang-kurangnya, Maizurah dapat merasai cinta sebenar. Bukan mengharapkan kasih yang tidak sudi.

Baru saja Afiq bersuara, pelayan kafe tadi sudah meletakkan dua bekas minuman itu di atas meja. Zaim terus menghirup air moka itu begitu juga Afiq. Bila menyedari pelayan tadi sudah tiada, baru Afiq membuka kata.

Suamiku yang aku sayang #SYASWhere stories live. Discover now