"Tiga tahun itu bagi mak lama tapi tidak tahulah macam mana dengan Syifa, Zaim. Mak rasa Zaim kena bagi Syifa masa." Kata Puan Rania kepada menantunya. Tak sangka menantunya balik tanpa memberitahunya dahulu. Sudahlah tidak membawa Syifa pulang ke sini. Nasib baik ada ubi kayu simpanan pagi tadi, bolehlah dia goreng untuk juadah kepada menantunya.

Zaim mengeluh panjang sambil meramas rambutnya.

"Masa berapa lama lagi mak? Berapa tahun lagi nak tunggu?" Zaim geleng kepala dengan sikap Syifa itu. Kadang-kadang mesra dan kadang-kadang dingin. Sekarang dia hanya mengharapkan mak mentuanya saja untuk membantu bagi mencari jalan penyelesaian.

"Makan Zaim. Jangan diikutkan sangat emosi itu. Kenapa Syifa tak balik? Dia tak nak ikut?" Tiba-tiba Encik Khaled Nordin datang dari pintu dapur. Zaim melihat baju lusuh dan pisang tanduk yang dipegang oleh ayah mentuanya. Zaim bingkas bangun untuk membantu tetapi ditepis oleh Encik Khaled Nordin. Zaim jadi serba salah. Adakah ayah mentuanya masih terasa lagi dengan insiden tiga tahun lepas?

Encik Khaled Nordin memandang lama wajah Zaim. Wajah Zaim nampak betul-betul sungul. Mesti bergaduh lagi dengan Syifa. Faham sangat kenapa Zaim pulang tergesa-gesa begini. Tak tahulah apa nasib anak perempuannya di sana. Entah bahagia atau tidak hidup bersama Zaim. Walaupun lamaran kedua dari keluarga Zaim diterima dengan hati terbuka namun ada juga sedikit rasa gusar kerana risau Zaim tidak menjaga baik anak gadisnya seperti mana mereka menjaganya sejak kecil. Sebagai seorang ayah, dia tidak mahu Syifa terluka lagi dan lagi. Syifa itu satu-satunya anak kesayangan mereka. Anak tunggal. Tiada yang lain.

"Puas Zaim pujuk Syifa suruh balik tapi dia tak nak. Tak tahulah ayah." Itu saja jawapan Zaim yang boleh dikatakan. Encik Khaled Nordin memandang hairan kepada Zaim. Lain macam bunyinya.

"Bunyi macam Zaim gaduh dengan Syifa, betul?" Soal Encik Khaled Nordin memandang Zaim dan beralih pula isterinya yang sudah mengoreng ubi kayu.

"Eh taklah abah. Kami okey aje. Kadang-kadang Syifa itu yang buat Zaim semakin tidak faham." Adu Zaim pula. Puan Rania tertawa mendengar Zaim berkata begitu. Nampaknya hati Syifa masih tidak diselami sepenuhnya oleh Zaim.

"Zaim masih lagi tak kenal Syifa tu macam mana? Dia memang selalu macam itu. Keras kepala sikit. Lama-lama kalau kena dengan gayanya nanti okeylah itu." Pujuk Puan Rania dan disambut oleh Encik Khaled Nordin. Zaim menelan liur. Habis selama ini, dia belum mengenali hati isterinya dengan betul?

"Zaim... abah nak Zaim jaga Syifa itu baik-baik macam mana kami jaga mereka dari kecil sampailah besar. Jangan disebabkan hal kecil kamu dah tak suka dengan Syifa. Abah nak bagitahu, masa kamu lamar Syifa untuk jadi isteri kamu, Syifa yang setuju. Memang abah melarang keras tapi nak buat macam mana dah dia setuju. Ingatkan Syifa dah buang kamu jauh-jauh dari kotak ingatannya." Terang Encik Khaled Nordin. Kemudian Puan Rania menyiku lengan suaminya. Sepatutnya suaminya tidak patut membuat Zaim bertambah kecil hati. Memang bila dikenangkan apa yang Zaim buat dulu sudah membuat mereka malu sekeluarga namun perkara itu sudah pun berlaku. Zaim pula sudah sah menjadi suami Syifa.

"Betul ke abah? Bukan Syifa terima secara paksa? Bukan Zaim yang paksa dia masa itu untuk terima lamaran itu?" Tercetus rahsia di antara Zaim dan Syifa yang sudah disimpan rapi. Tanpa sedar Zaim sudah membuka rahsia di sebalik lamaran kedua itu.

Encik Khaled Nordin tersenyum tipis. Kalau Zaim tak kata pun, dia sudah tahu. Dia sudah nampak macam mana lengan Syifa ditarik secara keras oleh Zaim di bawah pokok mangga. Dan wajah Syifa memang memerah ketika itu. Apa rasanya jika orang yang kita sudah buang jauh kini datang kembali dalam hidup kita? Macam itulah perasaan anaknya waktu itu, lebih-lebih lagi Zaim datang mahu memaksa Syifa agar terus berkahwin tanpa bertunang lagi.

Suamiku yang aku sayang #SYASWhere stories live. Discover now