Bab 27

219 4 0
                                    

Zaim merasa kerepek pisang yang di dalam bekas tupperware yang diberikan Haziq. Sedap dan ranggup apabila dikunyah dan terasa mahu lagi menelan sampai habis. Matanya meneliti setiap mesin yang digunakan. Taklah terlalu besar. Kecil saja mesin pemotong pisang itu. Telahannya modal yang dikeluarkan oleh Haziq bukanlah sebesar mana.

"Macam mana? Sedap?" Soal Haziq.

"Sedap. Ini kalau jual kat bandar, mesti laku." Balas Zaim masih dengan kunyahan. Haziq ketawa mendengarnya. Kerepek pisang sudah sebati dengan masyarakat. Tak kisah di kampung atau di bandar, semua sudah merasa. Yang bezanya mungkin rasa kerepek itu sendiri.

Haziq merapati Abang Zaim. Ada sesuatu yang dia mahu bualkan. Lagipun dia tengok Abang Zaim sudah dapat menyesuaikan diri dengannya.

"Kak Syifa mana bang?" dari tadi dia masih belum nampak kelibat Kak Syifa. Yang datang hanya Abang Zaim seorang.

"Nanti dia datang katanya." Balas Zaim. Puas dia ajak isterinya teman sekali. Bukan apa, risau kalau Farhan apa-apakan isterinya lagi. Kalau boleh, dia tak mahu sesuatu yang buruk terjadi. Tetapi isterinya tetap berdegil. Katanya ada kerja yang belum diselesaikan.

"Abang tak takut ke kalau Farhan kacau Kak Syifa lagi?" Soal Haziq penuh curiga terhadap Farhan. Kalau dulu Farhan menjadi sanjungan semua orang kerana bapanya penghulu kampung di sini. Tapi semua itu sudah digantikan dengan cacian dan makian orang kampung. Dia sendiri tidak faham sampai bila orang kampung berhenti menjaja cerita sana sini bagaikan tidak mengenal dosa mengumpat dan memfitnah.

Zaim berhenti mengunyah. Soalan itulah yang sedang dia fikirkan sekarang. Agaknya isterinya buat apa dekat rumah waktu ini?

"Kadang-kadang abang fikir jugak. Tapi abang harap Farhan tak ganggu Kak Syifa lagi." Balas Zaim dengan tenang.

Haziq memerhati wajah Abang Zaim yang tenang. Takkan tak risau?

"Lebih baik abang dengan Kak Syifa balik KL cepat. Saya bukan apa, risau sangat kalau apa-apa terjadi dekat Kak Syifa tu. Semalam saya ada terdengar yang orang kampung ada kata, Farhan cari masalah dengan abang dan Kak Syifa kat kedai makan, betul?"

Cepat betul berita tersebar. Tak perlu menggunakan khidmat sosial, mulut pun kira jadi.

Zaim angguk kepala perlahan.

"Betul. Masa itu kami nak ke kedai makan. Tak sangka pula, Farhan ada sekali. Dia marahkan Kak Syifa masa itu. Abang pun apa lagilah datang dekat dia. Abang cakap baik-baik tapi boleh pulak dia mengamuk. Tak faham betul abang dengan Farhan itu, ke dia memang jenis macam itu?" Nak juga dia tahu Farhan jenis orang macam mana.

Haziq angguk. Mahu cakap lebih-lebih dia bukannya berani sangat. Siapa yang rapat dengan Farhan saja yang tahu perangai lelaki itu macam mana.

"Takkan tak ada orang yang cuba nak tegur? Mak, ayah dia?"

"Mak, ayah dia dah puas tegur. Tapi tengok sajalah Farhan itu, liat. Saya pun ada juga tegur dia elok-elok. Tapi dia buat endah tak endah aje. Air liur ini kalau cakap benda yang sama pun, kering jugak bang. Ha! Samalah macam hati dia yang kering itu. Sudahlah bang, tak payah nak cakap pasal Farhan lagi. Takut kejap lagi dia sampai pulak sebab kita seru nama dia!" Haziq bangun semula. Dia menyambung aktiviti pembungkusan kerepek pisang. Sekejap lagi pelanggan yang membuat tempahan akan datang untuk mengambi. Zaim juga menolong apa yang patut.

ENCIK Khaled Nordin termenung lama menggenangkan nasib anak perempuan yang satu itu. Rupanya Syifa sudah berhenti kerja gara-gara bosnya yang bernama Lokman. Puan Rania juga begitu.

"Habis lepas ini, kamu nak kerja apa pulak?" Soal Encik Khaled Nordin memecah kesunyian.

"Syifa belum mohon mana-mana kerja lagi. Abang pun tak kasi Syifa kerja." Tuturnya lembut.

"Kenapa?" Itu soalan yang diajukan Encik Khaled Nordin. Dia tak kisah sebab menantunya anak orang ternama. Ada duit dan ada segalanya. Zaim boleh bagi nafkah kepada Syifa setiap bulan. Itu yang apa Zaim janjikan dahulu di hadapan mereka sebelum berkahwin dengan anak gadisnya.

Puan Rania juga tidaklah nak masuk campur sangat. Dari dulu lagi, dia sudah berpesan agar anaknya menjaga nama baik keluarg, adab dan perlakuan. Apa yang paling dia kesalkan adalah dia sepatutnya menghalang Syifa berkawan dengan Farhan dari dulu. Kalau tidak semuanya tidak akan terjadi pada malam itu. Nasib baik suaminya ada. Kalau malam itu hanya dia dan Syifa saja, tak terlawan kudrat Farhan yang kuat itu.

"Abang janji nak bagi duit setiap bulan dekat Syifa. Tapi Syifa rasa bosan kalau tiada benda nak buat dekat rumah. Syifa nak kerja juga bantu apa yang ada, boleh Syifa hulurkan dekat mak, abah di kampung." Kata Syifa.

"Sebenarnya suami yang kamu sayang sangat itu selalu hulur duit dekat mak dan abah kat kampung. Walaupun kami tidak meminta tetapi suami kamu tetap akan beri, katanya sebab ikhlas. Suami kamu tu baik dan bertanggungjawab orangnya. Susah nak dapat lelaki macam Zaim itu Kalau ada pun, boleh dibilang dengan jari. Jadi, abah nak pesan dekat Syifa satu perkara. Jagalah suami kamu itu elok-elok, hormat dia sebagai seorang suami dan Syifa kena melaksanakan tanggungjawab Syifa juga sebagai seorang isteri."

Syifa tunduk. Terkesan dengan kata-kata abahnya.

"Betul apa yang abah cakap itu. Syifa sebagai isteri kena ikut apa yang suami suruh, tapi janganlah sampai perkara yang jahat pun, kamu ikut jugak. Mak dengan abah doakan yang baik-baik saja. Jaga solat, jangan sesekali meninggalkannya walaupun sesibuk mana pun. Ingat itu." Pesan Puan Rania.

"InshaAllah, Syifa akan ingat pesan abah dan mak itu." Balas Syifa.

"Assalamualaikum!"

Mereka berpandangan. Pasti Zaim sudah pulang dari berjumpa Haziq. Syifa bangun dan menuju ke muka pintu. Dia terkejut melihat bungkusan-bungkusan kerepek pisang yang dibawa pulang dari tangan suaminya. Semua ini nak dibawa ke Kuala Lumpur ke? Dia tertanya-tanya.

"Waalaikumusalam, abang! Ya Allah banyaknya kerepek pisang yang abang bawa ini. Abang nak meniaga ke, apa?" matanya masih ralit memandang lima bungkusan kerepek pisang yang yang sudah diletakkan di bawah tangga.

Syifa mengambilnya untuk masuk ke dalam rumah. Tapi ditegah suaminya. Berkerut dahinya memandang suaminya di depannya.

"Ini abang nak bawa balik kesemuanya. Mama dengan papa mesti suka dengan kerepek pisang ini. Dulu masa abang tak kahwin lagi, kawan papa ada bagi banyak kerepek-kerepek pisang tanduk. Lagi satu... Emmm, satu bungkus untuk abang dengan Syifa. Lagi satu, ha! Untuk Afiq... dan, emmm... Ini kita makan kudap-kudap..." Bebel Zaim sambil menguis dagunya berkali-kali. Bersemangat dia angkat semua itu masuk ke dalam bonet keretanya. Mulut Syifa melopong. Apa-apa ajelah!

"Apa yang kalut sangat ini?" Soal Puan Rania di muka pintu. Dia melihat Zaim terkocoh-kocoh memasukkan beberapa bungkusan kerepek di dalam bonet kereta.

Syifa memandang wajah maknya.

"Abang ini, kalut sangat dengan kerepek pisang. Siap beli lima bungkus nak bawak KL. Mengidam katanya!" Saja Syifa menambahkan cerita. Oh! Mana datangnya 'mengidam itu?'

Puan Rania ketawa. "Zaim ke Syifa yang mengidam? Emmm?" Saja Puan Rania mengusik. Dia lihat anaknya tersipu malu.

"Hisy! Mak ini!" Rungut Syifa. Terus dia menuju mendapatkan suaminya.

Suamiku yang aku sayang #SYASWhere stories live. Discover now