"Kau nak pergi mana ini? Kau belum habis cerita pasal Zura lagi dekat aku!" Zaim menelan liur sebaik mendengar khabar bahawa Maizurah mengalami tekanan perasaan.

Walaupun dia bukan lagi kawan Maizurah, tapi hatinya tidaklah sekejam itu untuk tidak mengambil tahu langsung keadaan perempuan itu. Ya Allah, betul ke tindakan aku selama ini untuk putuskan persahabatan mereka?

Tangan Afiq sibuk mengemas, tidak dihiraukan pandangan mata teman sepejabatnya itu. Dia lebih risaukan Maizurah tanpa dia sedari.

"Aku nak teman Zura jumpa pakar psikiatri sekejap aje lagi." Balas Afiq pendek.

Muka Zaim dan Raju berkerut.

"Pakar psikiatri?" Zaim menyandar badannya. Maizurah betul-betul sakit ke? Dia menjadi serba-salah. Selama ini dia terlalu berkasar dengan gadis itu. Tidak pernah sedikit pun hatinya cuba berlembut dengan Maizurah. Semua yang berlaku ini adalah berpunca dari sikap ego, angkuh dan riak yang ada pada bekas teman baiknya.

Raju tidak berani nak menyampuk apa-apa kerana tiada berkaitan dengan dirinya.

"Yup!" Itu saja ayat yang terkeluar dari mulut Afiq.

"Tapi..."

"Tak ada tapinya lagi! Hakikatnya, dia masih sayangkan kau, sampai aku depan mata dia pun, dia langsung tak nampak!" Tegasnya dalam berkata-kata. Tanpa sedar kata-katanya tadi memberikan gambaran halus perasaannya.

Zaim diam, dia tidak seharusnya menambah api kemarahan kawan baiknya. Kemudian dahinya berkerut, jangan jangan...

"Kau... Jangan cakap yang kau... Kau sukakan Zura?" Tergagap Zaim bertanya.

Afiq diam sebaik mendengar soalan yang diajukan Zaim. Betul ke aku sukakan Zura? Dia bertanya kembali. Tak! Tak mungkin! Dia terus mengambil telefon bimbit dan access cardnya untuk beredar. Namun derapan kakinya terhenti sebaik sahaja terpandang kehadiran Encik Razif, bos mereka di Razif Berhad.

"Afiq, nak pergi mana ini, nampak tergesa-gesa aje?" Soal Encik Razif. Matanya melihat wajah serabut Afiq dari atas sehingga ke bawah.

"Jumpa Zura. Saya dah maklum dekat Encik Razif pagi tadi." Jawab Afiq spontan. Dia pasti, Encik Razif tahu.

Perlahan-lahan Encik Razif mengizinkan. Perasaannya juga menjadi serba-salah lalu dia mengeluh kecil. Pandangannya dialihkan pula ke wajah Zaim yang sedikit tegang. Tadi baru sahaja Tuan Malik menelefonnya berkenaan perkembangan Maizurah. Sebenarnya dia sudah biasa dengan sahabatnya jika ada sebarang kesulitan, mereka akan berkongsi masalah bersama termasuklah masalah sekecil Maizurah.

"Hati-hati. Apa-apa perkembagan tentang Zura tolong maklumkan kepada saya." Pesan Encik Razif

Afiq angguk kepala dan mahu melangkah pergi.

"Afiq!"

Langkah Afiq terhenti lalu memandang Zaim semula.

"Aku yakin kau boleh bantu Zura. Aku kenal kau macam mana." Ucap Zaim dengan intonasi perlahan.

"Kenapa kau cakap macam itu?" Soalnya bersama wajah tegang.

"Sebab kau kawan akulah aku cakap macam itu. Kau..." Belum sempat dia meneruskan kata, Afiq mencelah laju.

"Aku cakap, aku tak suka dia, kan?! Jadi, jangan kau nak memandai-mandai. Apa yang kau tengok tak sama apa yang ada dalam hati aku." Bohongnya, pura-pura menutup perasaan 'suka' kepada Maizurah.

Zaim diam apabila keadaan semakin tegang. Encik Razif juga tidak berani menyuarakan.

"Macam inilah, kau buat kerja kau dan aku buat kerja aku. Senang, kan?" Katanya sebelum beredar pergi.

Suamiku yang aku sayang #SYASWhere stories live. Discover now