"Zaim?" Panggil Raju sambil geleng kepala. Mulalah perangai termenungnya lagi. Haih!

Zaim terpingga saat Raju menyebut namanya.

"Apa?"

"Petang ini kita ada mesyuarat. Mungkin mesyuarat kita itu sampai malam. Encik Razif nak jumpa kita pasal projek baru pulak." Pesan Raju sebelum terlupa. Nak tak nak, Zaim mengiyakan saja peringatan Raju itu. Betul juga apa yang Raju katakan kepadanya. Selama ini dia seorang sahaja yang berlembut, baik dan romantik dengan isterinya manakala isterinya hanya bersikap dingin, keras hati dan mengikut kepalanya sahaja. Jika masih berkeadaaan begini, lama-lama dia juga menjadi bosan.

SUDAH banyak kali Farhan menghubunginya termasuk malam ini. Jarum jam sudah menjejak angka ke pukul sepuluh malam. Bayangan suaminya masih belum kelihatan. Rasa resah mula melanda berbanding kisah resah Farhan sekarang. Apabila dia mahu menghubungi suaminya pula, Farhan menelefonnya kembali. Hish! Farhan ini memang tidak faham bahasa ke apa? Tangannya laju menekan butang hijau di skrin telefon.

"Kau nak apa Farhan?!" Suara Syifa bertukar tinggi. Tidak kisahlah dia tengking Farhan sekalipun, bukan lelaki itu faham bahasa. Dia lebih risaukan keselamatan suaminya yang masih belum pulang. Rasa menyesal pula bila pagi tadi dia tak menyambut salaman suaminya. Sedangkan Zaim melayaninya baik saja. Dia menyumpah dalam diri dengan sikap egonya masih tinggi.

Senyuman Farhan mati apabila mendengar suara Syifa yang seakan marah bila mengangkat telefon darinya.

"Marahnya... apa yang Zaim buat sampai kau marah sangat ini?" Syifa mencebik. Tidak sedar langsung kesilapan lelaki itu menelefon isteri orang malam-malam begini. Kalau Zaim ada sekarang sudah lama Farhan teruk dimarahi.

"Zaim tak buat apa. Aku marah sebab kau kacau aku malam-malam ini. Eh kau memang tak tahu ke yang kau telefon ini ialah isteri orang? Nak aku terangkan bagi kau faham?" Tekan Syifa. Suaranya sama macam tadi. Tinggi dan keras. Kalau dia cakap lembut pun tiada guna sebab Farhan tidak makan saman.

Farhan menggigit bibir. Marah betul Syifa terhadapnya. Syifa sayang... Kau tak sama macam dulu. Dulu kau cakap dengan aku bukan main lembut dan baik saja layan aku. Sekarang semua sudah jadi lain. Semuanya tentang lelaki bernama Mohammad Zaim yang sudah bertahta di hati kau itu yang buat kau jadi berubah begini.

"Berlagak kau sekarang ya? Maklumlah sudah berkahwin dengan orang kaya, anak datuk pula itu. Sampai kampung halaman pun kau sudah tidak jejakkan kaki lagi." Sindir Farhan.

Syifa menahan geram. Farhan memang dari dulu sampai sekarang tidak pernah mahu berubah. Dia tidak menyesal langsung kerana menolak lamaran lelaki itu dulu.

"Aku tak balik kampung pun, kau kisah kenapa?!" Marah Syifa mula menggelegak seperti air mendidih dan bila-bila masa sahaja akan meletup.

"Aku kisah sebab laki kau balik seorang, bukan dengan kau sekali! Ini yang menyebabkan aku dapat rasa yang kau memang tidak bahagia dengan budak itu kan?" Kata-kata Farhan bagaikan satu tamparan hebat untuknya. Macam mana Farhan tahu Zaim berada di kampung? Ya Allah, dia benar-benar risau kalau Farhan ada menyampaikan sesuatu yang buruk mengenai dirinya kepada suaminya. Dia akui Farhan boleh buat apa saja demi mendapatkan dirinya semula. Lantas air matanya menitis atas apa yang Farhan buat suatu ketika itu. Malam itu menjadikan dia trauma.

"Sudah! aku tak nak dengar suara kau lagi! Mulai hari ini aku tak kenal siapa kau dan kau tak kenal siapa aku! Anggaplah antara aku dengan kau sudah lama mati!"

Klik! Butang dimatikan lantas nombor telefon Farhan dimasukkan dalam ruangan block! Tanpa dia sedari pinggangnya mula dirangkul dari belakang. Terdengar nafas dari seseorang bila tubuh itu sudah berada betul-betul dengan badannya. Apabila mendengar suara suaminya, dia menarik nafas lega. Suaminya dah pulang rupanya. Tak semena pipinya dicium. Syifa melepaskan rangkulan suaminya lalu menghadap suaminya.

Suamiku yang aku sayang #SYASWhere stories live. Discover now