Bab 61

253 10 4
                                    

Perahu milik tentera Siam itu semakin menghampiri Istana Teratai. Beratus-ratus orang tentera Siam berbaris menyusuri pinggir Sungai Pelang sambil mengikuti perahu yang membawa harta rampasan milik Istana-Istana Jajahan kecil Melaka.

"Siapakah mereka, Tuanku Permaisuri?" Soal Tun Teja separuh berbisik sambil berdiri di sebelah Permaisuri Cik Siti Wan Kembang. Kenderaan hikmat Cik Siti Wan Kembang meluncur laju lalu menghampiri rombongan Jeneral Siam yang menyusuri pinggir Sungai.

"Mereka semua adalah tentera Siam. Seluruh Jajahan kecil Melaka telah diserang oleh mereka. Tak lama lagi mereka akan sampai di Istana Teratai..." Jawab Cik Siti Wan Kembang.

"Apa yang harus kita lakukan, Tuanku Permaisuri?" Soal Tun Lela gelisah. Wajahnya berkerut. Dia dan Tun Teja saling berpandangan.

"Kita akan bersedia dengan seluruh pahlawan dan hulubalang yang ada. Jika salam yang dihulur, kita akan menyambut baik kedatangan mereka...jika senjata yang dihunus....kita akan melawan mereka sehingga ketitisan darah yang terakhir..." Jawab Cik Siti Wan Kembang tegas.

"Kalau begitu kita harus pulang ke Istana Teratai dengan segera. Kita perlu membuat persiapan dengan kedatangan tentera Siam!" Kata Tun Teja bersemangat.

" Ayuh kita pulang" Balas Cik Siti Wan Kembang lalu memacu kenderaan hikmatnya. Malam itu kenderaan hikmat Cik Siti Wan Kembang telah membawa Permaisuri Cik Siti Wan Kembang, Tun Teja dan Tun Lela pulang ke Istana.

Setibanya di Istana Teratai Tun Teja dan Tun Lela diarahkan untuk membuat persediaan akan kedatangan rombongan tentera Siam. Seluruh istana diarahkan bersedia dengan meriam dan retaka. Pahlawan dan Laksamana Istana Teratai turut diarahkan berbaris di luar istana dan mengepung keseluruhan jalan masuk ke Istana Teratai. Kumpulan memanah Istana Teratai juga telah berbaris di lereng-lereng bukit berhampiran Istana.

"Ke mana adinda pergi? Sehingga lewat malam baru pulang?" Soal Sultan Abdullah kehairanan. Baginda merenung Cik Siti Wan Kembang yang baru sahaja masuk ke kamar beradu mereka.

"Ampunkan adinda, kanda. Adinda baru sahaja pulang dari bertemu Tun Teja dan Tun Lela" Jawab Cik Siti Wan Kembang. Tuanku menghampiri permaisurinya.

"Adinda terlalu sibuk sejak kanda pulang ke sini. Mengapa adinda berjumpa dengan Tun Teja dan Tun Lela?" Soal Sultan Abdullah sambil memeluk isterinya dari belakang.

"Istana Teratai mungkin akan di serang...atau mungkin tidak...Kanda" adu Cik Siti Wan Kembang perlahan. Sultan Abdullah terkejut dengan kata-kata permaisurinya.

"Apa benar apa yang adinda katakan ini? Di manakah adinda mengetahui berita ini?" Tanya Sultan Abdullah. Baginda melepaskan pelukan di pinggang ramping isterinya. Rasa ingin bermesra dengan isterinya terbantut. Cik Siti Wan Kembang mengeluarkan pakaiannya dari dalam peti. Baginda Permaisuri bingkas membawa pakaian biasa itu ke dalam bilik persalinan.

"Kita akan berjaga malam ini kanda....mereka semakin menghampiri tebing sungai Istana Teratai!" Beritahu Cik Siti Wan Kembang tegas. Sultan Abdullah mundar mandir seketika. Fikiran baginda Sultan mula berlegar memikirkan keselamatan seluruh rakyat jelata.

"Usahlah kanda bimbang. Adinda telah persiapkan segala kelengkapan perang kita. Ini tempat kita...jika mereka datang ingin menjadi petualang..kita akan lawan mereka habis-habisan" Kata Cik Siti Wan Kembang sambil keluar dari bilik persalinan. Baginda Permaisuri telah bersiap berpakaian seperti pahlawan Melayu. Rambutnya disanggul kemas dan di selit ke dalam tanjak di kepala. Sebilah keris diselit di pinggang seperti seorang lelaki lagaknya. Sultan Abdullah segera melangkah meninggalkan Permaisuri baginda untuk bertemu Datuk Bendahara Seri Nara Bija Diraja.Berita yang dibawa oleh permaisuri baginda itu telah menggemparkan seluruh Istana. Sultan Abdullah memerintahkan seluruh kaum kerabat baginda segera di pindahkan ke tempat yang lebih selamat. Istana Teratai dibiarkan kosong buat sementara waktu.

Puteri Buih 2Where stories live. Discover now