HAMPIR tiga minggu berlalu selepas pergaduhan mereka. Tiga minggu juga aku tidak pergi ke sekolah meskipun puas dipujuk keluargaku sendiri.
Aku tak mahu mereka lebih janggal selepas apa yang aku lakukan kepada hubungan akrab mereka berenam. Aku yang telah merosakkan segalanya.
Apa yang aku telah lakukan sangat teruk dan kejam.
Pintu bilikku diketuk.
"Masuklah". Gamitku.
Pintu bilikku dikuak dari luar. Aku lihat papa dan mama menapak masuk ke dalam bilikku. Mereka berdua melabuhkan punggung di atas katilku. Kedua - duanya berada disisiku sementara aku diapit mereka.
"Tiga minggu, Ayeen. Tiga minggu Ayeen langsung tak keluar rumah. Dah kurang makan. Muram". Kata papa sambil mengusap lembut belakang kepalaku.
Aku diam.
"Ayeen yang mama kenal bukan macam ini. Ayeen yang mama kenal penuh semangat dan selalu cuba untuk buat orang rasa diri mereka yang terbaik". Tukas mama pula.
Tubir mataku menghangat.
Bagaimana aku hendak terus lakukan perkara begitu jikalau aku perosak segala - galanya?
"Ayeen nak pindah sekolah..." Tuturku perlahan.
Papa dan mama kelihatan terkejut dengan bicaraku.
"Ayeen tak nak kawan dengan mereka lagi". Tokokku.
"Tapi kenapa? Papa tengok mereka sayang sangat pada Ayeen. Takkan Ayeen sanggup nak tinggalkan mereka? Tambahan lagi, papa tengok hubungan kamu sangat rapat dengan mereka".
"Betul. Kalau Ayeen pindah sekolah... Macam mana dengan Rash? Siapa yang akan jaga Ayeen nanti? Mama takkan percaya lelaki lain kecuali Rash untuk jagakan puteri mama yang cantik ni". Pipiku diusap mama dengan penuh lembut.
Aku menahan rasa sebak.
Namun, cukup gagal untukku menahan kerana diakhirnya tangisanku terus terhambur jua.
"Ayeen?" Papa pandang aku dengan wajah terkedu.
"Ay-Ayeen jahat pa... Ayeen dah rosakkan hubungan persahabatan mereka. Mereka dah putuskan persahabatan seb-sebab Ayeen. A-Ayeen tak nak mereka bergaduh..." Aku teresak kuat.
Mama menarikku ke dalam pelukan.
"Itu ke yang mereka fikir terhadap anak mama? Nak mama rotan mereka?"
Aku tak rasa nak gelak dengan soalan mama yang berbaur jenaka meskipun nadanya kedengaran serius. Sungguh, aku sekarang dirundung pilu.
"Sayang, jangan buat macam tu. Marah mak ayah dia orang nanti. Takkan sayang nak ulang benda yang sama?" Soal papa dalam nada lembut.
Mama mencebik.
Ya, mama pernah buat sesuatu yang berada di luar jangkaan.
Perempuan yang namanya Munirah mengurat Abang Deel manakala aku menjadi orang yang dia cuba dekati untuk memiliki Abang Deel. Apabila aku menolak untuk membantunya, dia bertindak membuli aku. Aku sedaya upaya menyembunyikan perkara itu dari Rash agar Munirah tidak dibuli habis - habisan. Namun, perkara itu diketahui mama. Pada masa itu, Munirah bertindak mahu menampar aku dan mama pula heroin yang menyelamatkan aku. Hadiahnya, Munirah menerima penampar dari mama dan mama menuang air hasil cucian tandas ke atas tubuh Munirah. Lama juga mama bermusuhan dengan keluarga Munirah sehingga akhirnya mereka yang meminta maaf atas kesalahan anak mereka.
YOU ARE READING
#Rasheen - Takdir yang Terukir [ɌȺSĦ]
Romance-Jangan menganggu hartanya kalau kau tak mahu terkena racunnya- .... KAHWIN dengan kawan baik sendiri? Itu bukan jadi masalah. Tapi apa yang bermasalahnya apabila perangai gatal Rash yang terus muncul sebaik sahaja mere...