Dialog Ringkas 14 : Perlunya Pembaharuan Dalam Silibus Muṣṭolaḥ Al-Ḥadīṯ

8 0 0
                                    

Saya juga pernah menyuarakan ini

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Saya juga pernah menyuarakan ini. Yang sebelum saya juga pernah menyatakan yang sama. Betapa kita menemui masalah yang ada dalam silibus Muṣṭolaḥ al-Ḥadīṯ, iaitu pengkanunan istilah yang tidak menepati realiti penggunaannya atau tidak berorientasikan praktikal. Sebab itu sememangnya wajar ada gesaan supaya merombak semula silibus Muṣṭolaḥ al-Ḥadīṯ.

Ini tidak ada kaitan pun dengan perseteruan antara manhaj mutaqaddimin dan mutaakhirin. Sesiapa yang sudah lama biasa dengan al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl pasti sedar hakikat ini bahawa pengkanunan beberapa istilah tidak relevan apabila cuba diterapkan dengan penggunaan para pendahulu atau beberapa individu. Mereka yang menafikannya, maka tidak syak lagi bahawa dia adalah ignoran terhadap dunia ini.

Cuma dalam hal ini, saya ada dua pendirian. Jika saya ingin bersikap lunak, saya mencadangkan rombakan tersebut bukanlah bermaksud kita perlu membuang semuanya atau menganggap salah semuanya apa yang telah dikanunkan oleh para terkemudian kerana ada juga istilah yang mereka kanunkan agak baik digunakan. Muḥammad bin *Umar bin Sālim Bāzimūl dalam Muṣṭolaḥ Manhaj al-Mutaqoddimīn Wa al-Muta^aẖẖirīn Munāqošāt Wa Rudūd telah menyimpulkan yang terbaik bahawa pengistilahan tersebut ada asasnya. Namun, dia sendiri tidak dapat mempertahankan bahawa sebahagian istilah tersebut sememangnya tidak ada dalam praktikal tersebut walaupun ada pendefnisian daripada beberapa orang.

Apa yang perlu kita buat adalah dahulukan definisi yang lebih menepati praktikal, tidak mengesampingkan penggunaan istilah secara individu dan tidak meletakkan pengkanunan yang tidak praktikal di tempat yang memiliki prioriti. Misalnya adalah apabila mendefinisi riwayat "munkar", sepatutnya didefinisikan sebagai riwayat yang bersendiri yang tidak dikenali oleh ahli hadis serta tidak ada asas kesabitan untuknya. Kemudian, jika ada definisi yang digunakan secara individu, maka nyatakan. Kemudian, diletakkan di bawah definisi yang lain iaitu riwayat perawi yang dhaif menyalahi perawi yang lebih ringan dhaifnya daripadanya kerana ini tidak begitu praktikal dalam realiti. Ini yang saya maksudkan dalam rombakan.

Ini supaya kita bukan sahaja tidak membelakangkan penggunaan praktikal, tetapi juga berlaku adil kepada semua pihak. Biarlah buku silibus tersebut kelihatan tebal untuk edisi rombakan baru. Mungkin penuntut ilmu yang baharu akan berdepan dengan kesukaran kerana kewujudan lebih banyak pendefinisian istilah daripada yang dahulu. Saya katakan, lebih baik berdepan kesukaran pada waktu awal berbanding terpinga-pinga pada hari kemudian apabila terjun dalam realiti kerana bingung antara apa yang dia belajar dahulu yang berupa konsep dan teori bercanggah dengan penggunaan realiti akibat tidak didedahkan lebih komprehensif terlebih dahulu.

Ini kalau kita mahu menjaga hati semua pihak. Kalau saya mahu memilih yang keras, saya katakan lebih elok buang sahaja istilah yang tidak terpakai untuk praktikal. Biar yang ada penggunaan praktikal sahaja yang termuat dalam silibus baru. Terpulang pada masing-masing untuk memilih antara kedua-duanya atau mencari alternatif yang lain supaya boleh menyelesaikan kemelut ini.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/623068513075134464/dialog-hadis-14-perlunya-pembaharuan-dalam

Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu HadisWhere stories live. Discover now