Dialog Ringkas 44

6 0 0
                                    

Hadith Sifat : Polemik Dalam Sejarah Teologi Islam Karya Umar Muhammad Noor : Menjengah Kemanusiaan Di Sebalik Polemik

Berbanding melihat perbahasan ilmiah yang khusus tentang bagaimana berinteraksi dengan hadis-hadis yang berkaitan dengan sifat Allah, khususnya yang tergolong dalam kategori mustasybihat, Umar Muhammad Noor dalam bukunya Hadith Sifat : Polemik Dal...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Berbanding melihat perbahasan ilmiah yang khusus tentang bagaimana berinteraksi dengan hadis-hadis yang berkaitan dengan sifat Allah, khususnya yang tergolong dalam kategori mustasybihat, Umar Muhammad Noor dalam bukunya Hadith Sifat : Polemik Dalam Sejarah Teologi Islam lebih memaparkan sudut kemanusiaan pada perangai, tabiat dan kebudayaan dalam berinteraksi dengan hadis sifat.

Melihat bagaimana cara manusia berinteraksi pada kepelbagaian pemikiran mereka, sikap kemanusiaan yang ada pada diri mereka dan bagaimana faktor penguasaan sesuatu kerajaan membentuk, mempengaruhi dan mengukuhkan penerimaan kefahaman hadis sifat akan lebih mengenalkan kita bahawa perjuangan ini tidak hanya berasaskan perbahasan ilmiah, tetapi faktor sentimen juga mempengaruhi pola pemikiran seseorang ilmuwan dalam menanggapi hadis sifat dan mereka yang dianggap seteru.

Kadangkala, sebahagian orang mengabsahkan apa sahaja yang ada pada sesuatu aliran kerana manhaj mereka dan metodologi mereka berasaskan hujah ilmiah dan kebenaran tanpa melihat bagaimana mereka melaksanakan penyebaran aliran mereka, memperkasakannya di suatu wilayah dan bagaimana mereka mendepani lawannya dalam usaha perluasan dan penancapan pengaruh. Semua ini di luar dari perbahasan ilmiah yang matang dan perbincangan secara rasional.

Contohnya adalah larangan takwil terhadap beberapa naṣ-naṣ mutasyabihat walaupun ia bersesuaian untuk makna tersebut daripada golongan Ḥanbaliyy. Ia bukan semata-mata perbahasan dari aspek linguistik atau penafian isu sifat tuhan. Akan tetapi, ada faktor politik dan sejarah yang melukakan mereka sehingga ia didogmakan agar sejarah tidak berulang sama sepertimana yang telah menimpa mereka.

Penulis juga memaparkan sejarah tentang tercetusnya persaingan sengit dan pertelagahan yang dahsyat antara sesama aliran ahli sunnah, iaitu aliran al-Aš*ariyy dan Ḥanbaliyy dalam merebut pengaruh mereka dan mengalahkan sesama mereka. Ia termasuk memboikot, menghukum dan celaan yang terbuka sehingga terabadi dalam sejarah sama ada melalui catatan penyaksian atau karya mereka.

Bahkan, orang yang dalam kelompok mereka pun menjadi mangsa terhadap kezaliman dan hukuman yang tidak sepatutnya terhadap mereka disebabkan sentimen politik dan pengaruh yang menjadi suasana kehidupan peribadi dan masyarakat sekeliling sepertimana yang menimpa pada al-Buẖōriyy dan Abū Ja*far aṭ-Ṭobariyy. Kedua-dua mereka ini menjadi buangan dan sasaran yang dihunuskan kerana berhadapan dengan sikap pelampau dari golongan Ḥanbaliyy meskipun mereka adalah yang lantang menentang Jahmiyyah sepertimana mereka.

Begitu juga kepada pentakwilan yang dilakukan terhadap beberapa hadis-hadis sifat yang mutasyabihat dan juga gerakan rasionalis. Mereka melakukannya sedemikian bukan semata-mata kerana terpengaruh dengan golongan sesat seperti Muktazilah atau Jahmiyyah, tetapi ia juga sebagai respons terhadap kejumudan sebahagian pihak dari kalangan ahli hadis yang begitu literalis dan pendekatan rasionalis adalah supaya mereka dapat berhujah dengan golongan yang menyimpang dengan lebih efektif.

Dalam masa yang sama juga, penulis memaparkan beberapa sikap pelampau dari kalangan aliran al-Aš*ariyy yang menuduh mereka sebagai mujassimah dan al-Ḥašwiyyah serta menindas mereka hanya kerana disebabkan perbezaan aliran akidah. Penulis menyajikan bagaimana aliran al-Aš*ariyy dahulu yang menjadi minoriti berkembang mendapat sinstesis bersama dengan mazhab fiqh, lalu mereka menjadi dominan dan berkuasa dalam wilayah Muslim sehingga golongan Ḥanbaliyy menjadi minoriti dan tertindas.

Penulis juga memaparkan fasa kedamaian antara dua aliran pada era *Uṯmāniyyah dan bagaimana para ulama al-Ḥanbaliyy berusaha untuk merapatkan jurang antara mereka dengan aliran al-Aš*ariyy. Ini menunjukkan bahawa kedua-dua aliran ini boleh hidup aman tanpa perseteruan hangat antara sesama mereka. 

Seterusnya penulis juga memaparkan kepada kita bagaimana kebangkitan aliran salafi yang cuba mengusungkan gagasan mazhab akidah salaf dan mazhab fiqh Ḥanbaliyy pada hari ini menjadi wacana yang sengit pada hari ini sehingga menjadi perpecahan besar semula antara kedua-dua aliran ini, khususnya setelah kebangkitan gerakan Muḥamamd bin *Abdul Wahhāb dan gerakan pembaharuan di Mesir. Dari sini, kita melihat bagaimana nama Ibn Taymiyyah menjadi menyerlah di mata dunia pada hari ini.

Dengan melihat sikap kemanusiaan ini, kita lebih peka dan sedar tentang bahawa adakalanya perbahasan itu baik di atas kertas, tetapi jangan dilupakan kemanusiaan yang pada setiap ulama dan pengaruh yang melatarinya. Kita perlu akui bahawa tindakan setiap seorang mereka tidak semestinya adil dan betul hanya kerana dia beraliran akidah yang seseorang individu atau sesuatu kelompok berpihak padanya.

Inilah kesimpulan akhir yang dirumuskan penulis secara keseluruhan bahawa polemik dalam isu hadis sifat juga ada berkaitan dengan latar belakang demografik, penglibatan kekuasaan kerajaan, persepsi sosial dan emosional dari sebahagian ilmuwan. Berbanding kita melihat pada perbahasan mana satu yang benar atau salah, buku ini menawarkan perspektif dari sudut sosial dan individu.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/682365561176489984/dialog-hadis-44-hadith-sifat-polemik-dalam

Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu HadisWhere stories live. Discover now