Dialog Ringkas 36

7 0 0
                                    

Kepincangan Kaprah Dalam Manhaj Mutaakhirin Atau Orientasi Fuqaha Dan Uṣūliyy Dalam Penilaian Hadis

Jika hadis-hadis yang ada dalam *Ilal ad-Dāroquṭniyy ini diberikan semakan kepada mereka yang bermanhaj mutaakhirin atau yang lebih kepada berorientasi manhaj fuqaha dan golongan uṣūliyy, pasti mereka akan menjadikan banyak hadis-hadis di dalamnya...

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Jika hadis-hadis yang ada dalam *Ilal ad-Dāroquṭniyy ini diberikan semakan kepada mereka yang bermanhaj mutaakhirin atau yang lebih kepada berorientasi manhaj fuqaha dan golongan uṣūliyy, pasti mereka akan menjadikan banyak hadis-hadis di dalamnya sebagai hasan lighairih hanya kerana wujudnya mutaabah dan syawahid yang ada di dalamnya!

Tidak akan dihairankan juga hadis yang marfū* akan dijadikan sahih walaupun bertentangan dengan jalur riwayat yang lain menyatakan hadis tersebut adalah mawqūf atau hadis yang mursal akan dijadikan sahih bahawa ia bersambung kerana kononnya adanya jalur riwayat lain yang bersambung menjadi penyokong buatnya yang mana penilaian ini bertentangan dengan penilaian ad-Dāroquṭniyy!

Sebab itulah tidak perlu hairan bahawa manhaj mutaakhirin atau orientasi fuqaha ini sebenarnya sangat bermudah-mudahan dalam mengangkat status kesahihan hadis hanya kerana ada mutabaah dan syawahid serta mengabaikan aspek penilaian illah padanya. Mereka ini berang jika kita menyifatkan sedemikian, tetapi sebenarnya itulah yang mereka telah lakukan.

Jadikan kitab *Ilal ad-Dāroquṭniyy ini sebagai aras tanda dan jelaslah pada para pembaca yang saksama bagaimana manhaj mereka ini yang jauh daripada pengamalan ahli hadis yang sebenar. Kembalikan penilaian hadis kepada ahlinya dan manhajnya.

Pelbagai alasan akan diberikan semata-mata untuk membenarkan penilaian sahih atau hasan mereka dan dalam masa yang sama menjadi ketetapan para ahli hadis mutaqaddimin. Kononnya mereka tidak maksum atau penilaian tidak terhad pada individu tertentu atau pelbagai lagi yang lain.

Sedangkan mereka tidak sedar manhaj mereka sedang mencabul tema besar kitab tersebut dan merosakkan tradisi kajian ahli hadis dalam bidang mereka. Kitab *Ilal ad-Dāroquṭniyy ini yang sedang membahaskan hadis-hadis yang memiliki illah menjadi hadis yang sahih atau hasan hanya kerana adanya mutabaah dan syawahid! Tidakkah mereka mengamatinya?

Lihat bagaimana penjelasan Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy yang sebenarnya menjadi dasar besar kepada manhaj mutaqaddimin dalam pengamalan penilaian hadis. Katanya :

فمتى وجدنا حديثا قد حكم إمام من الأئمة المرجوع إليهم بتعليله فالأولى إتباعه في ذلك كما نتبعه في تصحيح الحديث إذا صححه. وهذا الشافعي مع إمامته يحيل القول على أئمة الحديث في كتبه فيقول: "وفيه حديث لا يثبته أهل العلم بالحديث". وهذا حيث لا يوجد مخالف منهم لذلك المعلل، وحيث يصرِّح بإثبات العلة فأما إن وجد غيره صححه فينبغي حينئذ توجه النظر إلى الترجيح بين كلاميهما. وكذلك إذا أشار المعلل إلى العلة إشارة ولم يتبين منه ترجيح لإحدى الروايتين، فإن ذلك يحتاج إلى الترجيح. والله أعلم.

Bilamana kami mendapati suatu hadis yang telah salah seorang daripada para imam yang dirujuk kepadanya telah menghukum ta*līl nya, maka lebih utama adalah mengikutinya pada hal itu sepertimana kami mengikutinya pada tashih hadis apabila beliau mensahihkannya. Inilah aš-Šāfi*iyy, meski tahap keimamannya, dia menghalakan pendapat kepada para imam hadis dalam beberapa kitabnya, lalu berkata: "Padanya terdapat hadis yang tidak disabitkan oleh ahli ilmu dalam hadis". Ini ketikamana tidak ditemukan orang yang menyalahi dari kalangan mereka pada penilaian ta*līl itu dan ketikamana mengeksplisitkan penetapatan illah. Adapun jika seseorang menemukan selainnya yang mensahihkannya, maka seyogianya untuk menghadapkan pemerhatian kepada tarjih antara dua kalam pada ketika itu. Sedemikian apabila penta*līl mengisyaratkan kepada illah dengan satu isyarat, tetapi tidak nyata tarjih untuk salah satu dua riwayat, maka itu diperlukan tarjih. Allah lebih mengetahui". [An-Nukat *Alā Kitāb Ibn aṣ-Ṣolāḥ , jilid 2, m/s 117, keluaran *Imādah al-Baḥṯ al-*Ilmiyy Bi Jāmi*ah al-Islāmiyyah, al-Madīnah al-Munawwaroh, tahqiq Robī bin Hādī *Umayr al-Madẖoliyy].

Maksudnya adalah pendapat para mutaqaddimin dalam ta*līl, misalnya contoh ad-Dāroquṭniyy tadi, maka sepatutnya kita akur dan terima serta mendahulukan pandangannya kerana kita iktiraf kewibawaan ilmu mereka dan ketajaman penilaian mereka.

Apabila mereka berkata mawqūf adalah sahih, jangan salahi dengan kata marfū* juga adalah yang sahih. Apabila mereka berkata hadis tersebut tak boleh jadi hujah kerana adanya mursal, tidak ada ruang untuk kita kata ia adalah bersambung. Bila mereka kata riwayat itu iḍṭirōb dan tidak boleh diharmonikan atau ditarjihkan salah satunya, jangan sesuka hati berkata riwayat pelbagai itu adalah jalur yang saling menguatkan dengan kaedah mutaabah dan syawahid! Ketetapan mereka ini dan manhaj pengamalan mereka ini jangan sesuka hati dilanggar.

Itu jika tiada siapa yang menyalahi ketetapannya atau tiada indikasi jelas yang menunjukkan sebaliknya. Jika ada dua pertentangan pendapat atau lebih, barulah kita mula cari tarjih dan pilih salah satu yang kuat menepati dapatan analisis kita. Kemudian, apabila para imam mengisyaratkan adanya illah bagi satu riwayat khusus, tetapi tidak sentuh apa-apa pun pada riwayat yang lain yang berkaitan, maka di sini juga ada ruang untuk kita ijtihad dan tarjih.

Kata-kata Ibn Ḥajar ini sudah cukup menggambarkan dasar besar perjuangan manhaj mutaqaddimin. Bandingkanlah sendiri bagi sesiapa yang celik dalam ilmu hadis betapa jauh bezanya apa yang menjadi ketetapan Ibn Ḥajar ini dengan pengamalan mutaakhirin. Peraturan pertama yang jadi disebutkan Ibn Ḥajar ini pun mereka terang-terangan langgar selalu!

Saya hairan terhadap mereka yang menyindir bahawa pembahagian manhaj mutaqaddimin dan manhaj mutaakhirin adalah bidaah, tetapi tidak menyedari bahawa sebenarnya terdapat perbezaan pengamalan yang jelas dalam penilaian hadis! Mereka sebenarnya buta terhadap bagaimana praktik penilaian hadis ahli hadis, khususnya dalam hal ehwal penyingkapan illah dan degil untuk menerima realiti yang sebenarnya mereka lebih bermanhajkan orientasi fuqaha atau uṣūliyy, bukan ahli hadis yang tulen.

Saya sebenarnya tidaklah bersetuju penggunaan istilah manhaj mutaqaddimin dan mutaakhirin serta saya berharap akan ada istilah yang lebih baik yang dapat menggantikannya. Akan tetapi, bukan bermakna saya mengabaikan wujudnya pengamalan yang berbeza antara kedua-duanya. Ini adalah hakikat yang tidak akan dinafikan bagi sesiapa yang mendalami perbahasan penilaian hadis.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/662190266109788160/dialog-hadis-36-kepincangan-kaprah-dalam-manhaj

Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu HadisWhere stories live. Discover now