Dialog Ringkas 34 : Hakikat Pertentangan Pada Hadis

1 0 0
                                    

Pertentangan yang zahir dalam kehidupan seharian kita seringkali berlaku sama ada pada diri kita sendiri atau ketikamana kita berinteraksi dengan orang lain. Ia bukan pertentangan yang hakiki melainkan terbukti seseorang melakukan sedemikian. Cuma, pertentangan yang zahir ini adalah pertentangan yang boleh diselesaikan dengan mengetahui titik temunya untuk diharmonikannya. Saya berikan beberapa contoh yang dari kehidupan seharian kita.

Contoh pertama adalah seseorang berkata: "Saya tidak suka menggunakan jalan ini kerana penuh dengan lampu isyarat. Saya lebih rela membayar tol berbanding menunggu lama di lampu isyarat". Kemudian, pada suatu hari, dia didapati menggunakan jalan tersebut. Ini bertentangan dengan apa yang disebutkan dahulu. Apabila ditanya tentangnya, dia pun berkata: "Hari ini saya menggunakan jalan ini kerana laluan yang biasa saya guna hari ini terdapat kesesakan. Saya tidak mahu menggunakannya".

Contoh kedua adalah seseorang ditanya ke mana dia pergi pada minggu lepas. Dia pun berkata: "Saya tidak ke mana-mana. Hanya duduk di rumah sahaja". Tiba-tiba ada orang mencelah dengan berkata: "Akan tetapi, minggu lepas saya nampak awak ke pasar". Bukankah ini adalah pertentangan yang zahir? Ya. Akan tetapi, ia bukanlah pertentangan yang hakiki. Yang dimaksudkan pada katanya: "Tidak ke mana-mana" adalah dia tidak bersiar-siar di tempat yang jauh atau keluar untuk urusan kerja atau lain-lain yang bukan berkaitan dengan urusan harian.

Contoh ketiga adalah Zayd berkata kepada Hafiz: "Belilah buku yang bertajuk sekian sekian. Buku tersebut berwarna biru". Kemudian, Hafiz ke kedai untuk membeli buku tersebut. Lalu, dia dapati judul buku yang dia cari itu berwarna merah. Ini bertentangan apa yang Zayd deskripsikan. Apabila disemak, rupanya buku tersebut adalah cetakan terbaru.

Daripada ketiga-tiga contoh ini, tampaklah kepada kita bahawa pertentangan sebegini sememangnya berlaku dalam kehidupan seharian. Kita menyedarinya, tetapi mungkin kita tidak mengambil berat sepertimana kita mengambil berat terhadap pertentangan yang wujud dalam hadis.

Dalam isu pertentangan dalam hadis ini, saya kadangkala merasa lucu menyaksikan gelagat seseorang bertempik dengan rasa teruja yang bertujuan untuk menyindir umat Islam dengan berkata: "Lihat! Ada hadis yang bercanggahan!". Kalau kenyataan ini diungkapkan kepada para ulama hadis, pasti mereka berkata kepada orang sebegini: "Apakah kamu baru tahu?".

Sebenarnya, sejak zaman awal generasi umat Islam, khususnya zaman kebangkitan kegiatan kodifikasi hadis secara besar-besaran, tokoh-tokoh ilmuwan sudah pun cakna sememangnya kewujudan hadis yang saling bertentangan. Mereka sudah pun mewacanakan dan membincangkan hal ini. Orang dari kalangan pewaham atau pengingkar sunnah ini sebenarnya yang ketinggalan. 

Para ulama dahulu hakikatnya sudah pun lama membangunkan, mengembangkan dan menguji metodologi sebelum datangnya orang yang menyindir sedemikian. Malah, sudah pun dibahaskan dalam mengenal pasti titik pertentangan dan jawapan untuk merungkaikan kemelut tersebut. Sebahagian kemusykilan yang ditimbulkan oleh golongan ini sebenarnya sudah diwacanakan oleh para ulama dahulu. Tinggal lagi kita untuk mencari dan membelek perbahasan mereka. Mereka lebih dahulu mengetahui tentang hakikat ini berbanding golongan yang seumpama kanak-kanak menemukan permainan baru. Padahal, para ulama sekarang tinggal menantikan sahaja syubhat baharu yang lebih genius dan lebih tajam berbanding apa yang mereka telah timbulkan sekarang ini.

Adakalanya, kita hairan melihat orang yang kononnya berminda kritis, tetapi dalam menyangkal sunnah, hanya membangkitkan isu wujudnya pertentangan, tetapi tidak mahu melihat bagaimana teknik penyelesaiannya. Seolah-olah dalam bidang sejarah, tiada kontradiksi dalam rekod dan penemuan bukti sejarah. Kalau sekadar membangkitkan isu wujudnya pertentangan tanpa diusahakan terlebih dahulu dalam menyelesaikannya, maka ia dianggap kebodohan dan kritikan yang culas. Mengapa pula orang begini boleh buat dalam lapangan hadis?

Muḥammad bin Idrīs aš-Šāfi*iyy dalam karyanya yang berjudul ar-Risālah telah membahaskan kaedah penyelesaian yang berbentuk penulisan secara khusus dan sistematik. Begitu juga dengan karyanya yang berjudul Iẖtilāf al-Ḥadīṯ. Malah, Ibn Qutaybah juga menghasilkan Ta^wīl Muẖtalif al-Ḥadiṯ bagi menjawab persoalan ini. Pengamalan pendahulunya dalam mengenal pasti punca pertentangan ini sudah pun menjadi kebiasaan bagi para ulama. Contohnya adalah penyataan terhadap perawi sebagai munkar, waham, keliru dan bercampur baur hafalan ini adalah contoh yang terbesar bagi tokoh hadis dalam mengenal pasti punca pertentangan.

Oleh itu, dalam menyelesaikan pertentangan hadis, yang paling utama sekali adalah memastikan kesahihan kedua-dua hadis tersebut. Ini kerana tidak ada apa-apa pada nilai pertentangan tersebut jika salah satunya adalah dhaif atau wujudnya perawi munkar, waham dan sebagainya. Kemudian, apabila telah terbukti kesahihan kedua-duanya, ada beberapa kaedah yang digunakan dalam berinteraksi dengan hadis tersebut.

Antara buku yang terbaik menurut saya dalam membentangkan metodologi penyelesaian bagi pertentangan yang zahir secara dasar ini adalah buku Qowā*id al-Muḥaddiṯīn Fī Daf* al-Ḥadīṯ karya Riḍō bin Zakariyyā bin Muḥammad bin *Abdullah. Buku ini membahaskan cara para ulama dalam menyelesaikan secara teori dan contoh praktikal dengan kupasan yang terperinci.  Antara cara yang dia bentangkan adalah perbahasan dari sudut uṣūl fiqh seperti lafaz umum, khusus, muqoyyad dan muṭlaq serta kaedah al-Jam*, iaitu pengharmonian, nasakh dan tarjih. 

Saya mencadangkan pembacaan buku ini kerana ia adalah seumpama buku teks yang dimudahkan untuk para pemula bagi memahami bagaimana para ulama dalam menyelesaikan pertentangan dalam hadis. Lebih elok lagi jika seseorang sudah ada kemahiran asas seperti uṣūl fiqh dan ilmu hadis.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/658543235838492673/dialog-hadis-34-hakikat-pertentangan-pada-hadis

com/post/658543235838492673/dialog-hadis-34-hakikat-pertentangan-pada-hadis

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu HadisWhere stories live. Discover now