Dialog Ringkas 28 : Benarkah Para Imam Hadis Menghafal Ribuan Hadis?

3 0 0
                                    

Sebahagian orang begitu skeptik bahawa tokoh jaguhan hadis kita pernah menghafal ribuan hadis sehingga mencecah ratusan ribu. Bagi mereka, ini adalah kemustahilan yang tidak mungkin dicapai oleh mana-mana orang pun. Malah, itu mungkin sahaja cerita yang diada-adakan untuk melakukan julangan yang melampau.

Bagi yang merasa skeptik dan sukar untuk menerima realiti, saya cadang cukup melihat kitab-kitab al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl yang ada mengumpulkan senarai guru dan anak murid. Kita ambil contoh dari karya pendahulu yang berinformatif seperti al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl karya Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy. Dari sini sangat jelas betapa luasnya hafalan para tokoh hadis adalah sesuatu yang terbukti dan berada di atas fakta. Kita ambil contoh daripada Šu*bah bin al-Ḥajjāj. Kata Ibn Abū Ḥātim ar-Rōziyy :

شعبة بن الحجاج أبو بسطام وهو ابن الحجاج ابن الورد مولى العتيك بصري أصله واسطي روى عن الحسن البصري وسعيد المقبري وداود بن فراهيج والعلاء بن بدر وعاصم بن عمرو وطلحة بن مصرف ومعاوية بن قرة روى عنه الثوري ومحمد بن إسحاق وإبراهيم بن سعد.

"Šu*bah bin al-Ḥajjāj Abū Busṭōm. Dia adalah Ibn al-Ḥajjāj bin al-Ward, maula al-*Atīk, orang Basrah. Asalnya adalah orang Wasit. Dia meriwayatkan daripada al-Ḥasan al-Baṣriyy, Sa*īd al-Maqburiyy, Dāwud bin Farōhīj, al-*Alā bin Badr, *Āṣim bin *Amr, Ṭolḥah bin Muṣorrif dan Mu*āwiyah bin Qurroh. Aṯ-Ṯawriyy, Muḥammad bin Isḥāq dan Ibrōhīm bin Sa*d meriwayatkan daripadanya". [Al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl, jilid 4, m/s 369, keluaran Dār Iḥyā^ at-Turōṯ al-*Arobiyy, Beirut].

Senarai nama perawi yang dia ambil dan perawi yang mengambilnya adalah sedikit. Realitinya adalah lebih banyak sehingga mencecah ratusan orang. Ini perlu dilihat karya yang selepasnya seperti Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl karya al-Mizziyy untuk mendapatkan senarai lebih banyak. Apa yang dilakukan oleh para pendahulu hanya sekadar meringkaskan dan memperkenalkan identiti sahaja, bukan untuk ensiklopedia atau seumpamanya seperti tokoh sesudahnya.

Apapun, daripada mana kenyataan ini boleh menjadi bukti bahawa tokoh hadis itu menghafal ribuan hadis? Kita lihat bahawa Ibn Abu Ḥātim ar-Rōziyy sama sekali tidak tertukar antara nama gurunya dengan nama muridnya. Kalau kita cari setiap satu persatu nama ini dalam kitab-kitab hadis meski di ceruk kitab yang jarang dikenali dan jarang dirujuk, pasti akan ditemukan bahawa sememangnya benar nama-nama yang disenaraikan itu adalah gurunya atau muridnya tanpa tertukar atau tunggang terbalik. Kalaulah dia tidak kuat hafalannya, boleh jadi dia tertukar atau menyebutkan nama orang lain yang bukan gurunya. 

Malah, ini bukan Ibn Abu Ḥātim ar-Rōziyy seorang sahaja. Para pendahulunya, mereka yang sezamannya dan para sesudahnya juga tidak tersilap dalam hal ini. Setiap daripada mereka selari dapatan mereka dengan mereka yang lain. Kalaulah masing-masing di antara mereka adalah orang yang tidak begitu kuat hafalannya, pasti akan menemukan percanggahan dalam pelbagai karya lain dan bertentangan dengan ulama lain seperti al-Buẖōriyy, Muslim, ad-Dāroquṭniyy, al-H̱oṭīb al-Baġdādiyy dan pelbagai ulama yang lain. Pasti kesemua mereka ini akan tertukar sanad, tertukar nama guru dan murid serta pelbagai lagi kecelaruan dan kontradiksi yang signifikan.

Perlu ingat bahawa kesemua ahli hadis tidak semuanya sama zaman dan sama tempat. Ada yang jauh di sebelah timur, ada yang jauh di sebelah barat, ada yang di ibu kota tamadun Muslim dan ada yang di tanah Arab. Kembara dan komunikasi zaman itu bukannya semudah hari ini.

Kalau rasa jarak Kuantan dengan Kuala Lumpur sudah cukup jauh dan kereta yang dipandu sejauh 120 kilometer per sejam mengambil masa lebih kurang 3 atau 4 jam untuk sampai. Bayangkan zaman unta dan kuda. Bayangkan zaman tiada gajet untuk simpan maklumat. Hanya dengan menggunakan kertas dan pen sahaja untuk mencatat. Jangan sangka unta seekor mampu tanggung kitab yang pelbagai bersama bekalan untuk perantauan yang panjang.

Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu HadisWhere stories live. Discover now