Dialog Ringkas 30 : Hakikat Mereka Yang Meragui Kemampuan Hafalan Imam Hadis

2 0 0
                                    

Selalu sahaja saya menemukan rang yang meragui kemampuan hafalan yang besar para imam hadis kita sehingga mencecah ratusan ribu adalah orang yang tidak pernah berkecimpung dalam aktiviti takhrij dan berkecimpung dalam kajian *Ilal al-Ḥadīṯ. Bahkan, tidak tahu langsung hakikat takhrij dan kajian *ilal. Inilah yang berani saya jamin.

Mengapa? Sebabnya bukti bagi hal tersebut adalah jelas di mata kepala para pengkaji, khususnya yang melakukan tahqiq terhadap kitab atau melakukan takhrij dalam beberapa isi kandungan kitab atau menekuni kajian*Ilal al-Ḥadīṯ. Sesiapa yang telah lama bergelumang dengan ini, pasti akan tampak keunggulan para ahli hadis yang bukan atas dasar taksub atau menumpang sanjungan orang lain, tetapi dengan bukti yang ternyata di pemerhatian mereka.

Saya ambil contoh karya Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmā^ ar-Rijāl karya al-Mizziyy.  Al-Mizziyy menjadikan ensiklopedia bagi maklumat perawi yang terdapat dalam Kutub Sittah. Senarai nama guru dan senarai nama murid begitu terperinci yang jika sesiapa sahaja melakukan semakan sama ada benar atau tidak orang tersebut adalah guru atau murid bagi perawi, pasti akan menemukannya. Malah, untuk menemukannya, kadang perlu membelek kitab yang jarang dirujuk atau tidak pernah terfikir oleh mana-mana pengkaji biasa.

Itu belum lagi maklumat perawi sama ada berupa riwayat hidup atau al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl secara khusus. Lihat tahqiq yang dilakukan Baššār *Awwād Ma*rūf yang berusaha menyebutkan rujukan-rujukannya dari pelbagai tempat sememangnya membuat kita takjub bagaimana luasnya pembacaan dan besarnya hafalan sarjana hadis. Karya al-Mizziyy ini ditambah baik oleh Ibn Ḥajar al-*Asqolāniyy dalam Tahḏīb at-Taẖḏīb yang menambahkan lagi beberapa kalam nuqqōd yang berkaitan dengan al-Jarḥ Wa at-Ta*dīl yang tidak disebut oleh al-Mizziyy.

Contoh yang lain Šamsuddīn aḏ-Ḏahabiyy. Kitab rujukan utama dalam mencari maklumat perawi adalah Tārīẖ al-Islām Wa Wafayāt al-Mašāhīr Wa al-A*lām, Siyar *Alām an-Nubalā^ dan Mizān al-I*tidāl Fī Naqd ar-Rijāl. Ketiga-tiga ini adalah tebal kerana mengumpulkan sebanyak boleh maklumat tentang perawi dan tokoh ulama. Karya penulisan sebegini mustahil dilakukan oleh pengkaji peringkat pakar biasa pun kerana ia memerlukan pembacaan yang sangat luas dan hafalan yang kuat bagi memastikan penyebutan maklumat itu adalah jelas. Ia adalah kitab penukilan, bukan kitab pentaakulan yang tidak memerlukan ketepatan penyebutan mengikut sumber aslinya.

Contoh yang lain adalah al-*Ilal al-Wāridah Fī al-Aḥādīṯ an-Nabawiyyah karya ad-Dāroquṭniyy. Kitab yang tebal ini membahaskan hadis-hadis yang bermasalah dengan mengumpulkan pelbagai jalur sanad untuk dianalisis. Sesiapa yang melakukan takhrij, pasti akan menemukan kebanyakan penyebutannya selari sanadnya dan matannya dengan karya-karya yang lain. Kalaulah ad-Dāroquṭniyy bukan jenis yang luas hafalannya, pasti akan menemukan kontradiksi dalam penyebutan sanad atau matan secara signifikan apabila dibandingkan dengan rujukan yang lain.

Itu belum lagi karya-karya yang memfokuskan perbincangan dan analisis perawi secara khusus yang sesiapa sahaja telah membuat rujukan silang, pasti akan menemukan keselarian dapatan penyebutan guru, murid dan susunan sanad antara satu sumber dengan sumber yang lain. Ini semua adalah jelas di mata para pengkaji hadis. Mereka yang berkecimpung lama akan dapat mengamatinya dan merasainya. 

Bayangkan kitab-kitab semua ini ditulis ketika zaman kembara dengan unta dan penulisan dengan dakwat. Malah, para sarjananya hidup di tempat dan zaman yang berbeza. Namun, dapatan mereka tetap selari antara satu sama lain tanpa berlakunya percanggahan yang ketara.

Kita dapat merasai kemudahan kerana perisian komputer seperti Jawāmi* al-Kalim membantu kita untuk melakukan takhrij dan Maktabah Syamilah telah mempercepatkan carian rujukan untuk sesuatu teks. Bayangkan kitab-kitab hadis yang pada perisian Jawāmi* al-Kalim mencecah lebih daripada 1,400! Ada rujukan daripadanya mengumpulkan berbelas ribu hadis. 

Apabila kita memanfaatkan perisian ini untuk melakukan tahqiq kitab atau takhrij atau kajian *ilal al-Ḥadīṯ, ternyata bahawa para tokoh kita yang menyebutkan hadis tersebut selari dengan dapatan sanad dan matan dengan sumber yang lain. Para pengkaji hadis tidak akan dapat mengingkari bahawa sememangnya para imam kita memiliki kemampuan yang istimewa dalam hadis.

Sebab itulah saya berpesan dengan mereka yang meragui kemampuan hafalan para imam hadis ini adalah dalami ilmu hadis dan usahakan diri untuk masuk ke medan praktikal kajian hadis. Tidak ada guna saya memanjangkan lagi dalam memaparkan bukti-bukti kekuatan hafalan para ahlinya jika tidak pernah cuba sendiri untuk meneroka dan merasai apa yang telah dilalui oleh para pengkaji.

Saya seumpama sedang menceritakan kemajuan permodenan kota metropolian yang serba canggih teknologinya dan berkembang pesatnya tradisi keilmuan pada orang yang terpencil di ceruk hutan. Mungkin ada daripada mereka mengangap bahawa cerita saya ini berlebih-lebihan atau sememangnya sekadar dongengan. Kalau pun mereka percaya apa yang saya katakan, keteguhan kepercayaan mereka tidak sekuat sepertimana yang saya telah rasai sendiri. Selagimana tidak melihat dengan mata kepala sendiri dan masuk ke kotanya, maka susah untuk mendapatkan keteguhan.

Saya mendoakan mereka yang berkeinginan kuat untuk mencapai kemahiran ilmu hadis sampai kepada kajian praktikal agar Allah permudahkan capaian hajat tersebut, seterusnya membawa kita kepada kefaqihan yang berguna untuk diri kita, masyarakat, dunia dan akhirat.

Ambilan : https://amirkazuma.tumblr.com/post/654071791605760000/dialog-hadis-30-hakikat-mereka-yang-meragui

com/post/654071791605760000/dialog-hadis-30-hakikat-mereka-yang-meragui

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Al-H̱iṭōb Al-Wajīz : Isu HadisWhere stories live. Discover now