BAB 68

2.2K 85 15
                                    

AKU termenung ke arah kaca televisyen yang sedang menayangkan filem P. Ramlee. Aku tidak dapat fokus dengan jalan ceritanya kerana fikiranku asyik melayang ke arah lain. Apa yang ada di fikiranku saat ini hanyalah Jeff.

Masuk hari ini, sudah lebih seminggu aku tidak berhubung dengannya kerana rasa marah yang menguasai diriku akibat dipermainkannya dengan berita kematiannya tempoh hari. Namun, perasaan marah itu semakin lama semakin menipis, dan digantikan pula dengan rasa bersalah.

Kadangkala, aku terasa seperti tindakanku terhadap Jeff agak keterlaluan. Aku kenal Jeff. Dia tidak pernah menyakiti seseorang tanpa sebab. Aku tahu dia pasti melakukannya atas sebab-sebab tertentu. Tambahan pula, Isya sudah menjelaskan segala-galanya padaku tidak lama dulu.

Namun apa yang aku bimbangkan sekarang ialah, adakah aku bersedia menerimanya dalam hidupku? Aku tidak pernah dilamar sebelum ini. Aku agak gugup.

Dan satu perkara lagi, adakah Jeff masih akan menerimaku setelah semua yang telah aku lakukan padanya?

Aku menarik-narik rambut sendiri tanda geram. Ego! Terlalu ikutkan perasaan sendiri sehingga perasaan orang lain terabai! Jika aku tidak melayan perasaan marahku dan memaafkan Jeff awal-awal dahulu, sudah pasti keadaan tidak seteruk sekarang ini.

Jeff pula sudah tidak kelihatan di mana-mana. Laman sosialnya semua tidak aktif. Kali terakhir aku melihatnya adalah sewaktu dia datang ke rumahku untuk memohon maaf beberapa hari yang lalu, namun aku menolak permohonan maafnya. Aku mula dihantui rasa risau. Bagaimana jika Jeff melakukan hal-hal di luar jangkaan?

"Akak masih marahkan kitorang?" soal Isya yang datang dari belakang sebelum melabuhkan punggungnya di sebelahku.

"Tak." Ringkas saja jawapanku.

"Habis tu, kenapa akak masih sembunyikan diri?"

Aku mengeluh. "Akak tak bersedia lagi."

Seketika, keadaan menjadi sunyi. Kami berdua duduk kaku menghadap ke kaca televisyen tanpa bersuara sedikitpun. Agak janggal. Selalunya ada saja perkara yang akan kami bualkan.

"Isya, akak nak tanya." Aku memecah kesunyian. Isya pula mengangkat keningnya, menyuruhku meneruskan soalanku.

"Isya tahu tak Jeff pergi mana?"

Isya menggerakkan badannya menghadap ke arahku.

"Jeff pergi mana? Rasanya ada je kat rumah dia. Kenapa akak tanya?"

"Tak adalah, sejak dua-menjak ni, akak jarang nampak dia. Sosial media dia pun tak aktif.

Isya, kau rasa Jeff marah tak kalau akak minta maaf dekat dia sekarang?" soalku lagi.

"Marah? Kenapa pulak nak marah? Jeff sepatutnya rasa lagi gembira sebab akak dah maafkan dia. Jeff kan sayangkan akak, takkanlah dia nak marah pula."

Aku termenung kembali sejurus mendengar ayat terakhir yang keluar daripada mulut Isya. Jeff... sayangkan aku? Benarkah? Aku menyoal diriku sendiri.

"Isya, kau rasa patut tak akak terima lamaran Jeff hari tu?" soalku bertalu-talu.

"Yang itu, Isya tak boleh nak bagi jawapan. Akak kena ikut gerak hati akak sendiri. Kalau akak tak suka, nak buat macam mana. Tapi kalau akak suka, Isya rasa ini adalah masa yang tepat untuk akak terima lamaran Jeff tu. Isya tak nak tengok akak sedih-sedih lagi. Isya pasti Jeff boleh jaga akak sama macam dia jaga Marie dulu. Jeff dah banyak berkorban untuk akak, takkan akak nak biar dia bersedih je?"

Jawapan balas daripada Isya membuatku sedikit keliru. Keliru dengan kata hatiku. Adakah aku bersedia menempuhi alam rumah tangga yang penuh liku-likunya? Sudahlah ibu dan ayah tiada di sini untuk aku memohon restu mereka.

My Maid, My Wife ✔Où les histoires vivent. Découvrez maintenant