Bab 39

2.8K 103 6
                                    

SEDANG kami berdua leka membelek-belek telefon bimbit, telinga kami tiba-tiba pantas menangkap suara jeritan seseorang.

"TOLONG! T... TOLONG!"

Itu suara Haikal!

Kulihat Haikal yang tadinya sedang bermain di kolam di hadapan kami kini sudah tiada. Aduh, ke mana pula dia pergi?

Aku dan Jeff serentak berdiri dengan perasaan cemas. Tanpa mengetahui arah tujuan, aku mengikuti Jeff berlari ke suatu arah. Di suatu kawasan kolam, kelihatan sekelompok manusia sedang berdiri menunjuk-nunjuk ke suatu arah. Suasana bertukar panik.

Kami berlari sepantas yang mungkin ke arah itu. Tiba sahaja di sana, perkara pertama yang jelas kelihatan di mataku ialah tubuh kecil Haikal yang sedang terkapai-kapai di dalam kolam orang dewasa, berusaha menyelamatkan diri daripada lemas. Hatiku mula tak tenteram.

"Ya Allah Haikal, macam mana boleh sampai ke kolam orang dewasa ni?" Aku menjerit cemas. Hampir terkeluar anak tekakku.

Suara jeritan orang ramai semakin kuat. Orang ramai yang baru datang kini mula berkumpul untuk menyaksikan kejadian itu. Namun, tiada seorang pun yang cuba terjun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Haikal. Hatiku mula sakit melihat semua yang berada di situ hanya mengeluarkan telefon bimbit untuk merekod kejadian yang berlaku.

Jeff menjadi yang pertama terjun ke dalam kolam.

Jeff kulihat, terus berenang sepantas yang mungkin ke arah Haikal yang masih terkapai-kapai. Tubuh kecil Haikal dibawa ke dalam dakapan lalu dia cuba untuk berenang ke tepi kolam semula, namun dia juga mengalami masalah. Kelihatan Jeff juga sedang bertarung dengan air kolam yang dalam itu. Mungkin dia tidak biasa berenang.

Sedar Jeff sedang berada dalam masalah, aku tanpa berfikir panjang terus terjun ke dalam kolam itu dan menuju ke arah dua beranak itu. Ya Allah, dalamnya kolam ini! Aku yang dewasa ini sahaja hampir ditelan oleh kedalaman air itu, apatah lagi Haikal yang pendek!

Aku memegang kaki Haikal lalu membawanya ke belakang badanku. Jeda seketika, aku menarik nafas dalam-dalam untuk mencari ketenangan.

Dengan berhati-hati, aku berenang ke tepi kolam bersama Haikal di belakang badan. Jeff yang masih tidak dapat membiasakan diri dengan kedalaman kolam yang luar biasa itu kuarahkan supaya memaut kakiku. Agak sukar sebenarnya aku hendak berenang dengan keadaan begitu, namun tetap kugagahkan juga demi menyelamatkan dua nyawa.

Tiba di tepi kolam, orang ramai membantuku menarik Haikal ke daratan. Aku pula naik sendiri. Tiba di tepi kolam, aku menarik Jeff ke sebelahku untuk sama naik ke darat.

Keadaan menjadi sangat cemas. Haikal terbaring di atas lantai tidak sedarkan diri.

Jeff pula berusaha keras meluru ke arah Haikal walaupun keadaan dirinya tidak berapa baik ketika itu. Riak cemas kelihatan benar pada wajahnya.

Tak lama kemudian, datang seorang lelaki tua yang kukira berumur  50-an merapati Haikal lalu melakukan bantuan pernafasan. Lama juga masa yang diambil lelaki itu. Hampir 30 minit.


Dengan izin Allah, Haikal kembali sedar. Banyak juga air kolam dimuntahkannya. Kulihat, Jeff terus meluru ke arah Haikal lalu tubuh kecilnya dipeluk erat. Air matanya jatuh ke pipi. Melihat adegan sedih itu, air mataku turut jatuh ke pipi. Aku ikut memeluk Haikal.

My Maid, My Wife ✔Where stories live. Discover now