Bab 22

3.2K 121 4
                                    

"JEMPUT makan, Datin," aku menjemput Datuk Osman dan Datin Fatimah untuk menjamu makan malam yang telah aku hidangkan di atas meja.

Datuk Osman dan Datin Fatimah ialah ibu bapa Marie. Mereka menginap seketika di rumah Jeff buat beberapa hari memandangkan mereka datang jauh, dari Johor ke sini setelah dimaklumkan tentang berita pemergian anak sulung kedua mereka, Marie tempoh hari.

"Marilah makan sekali," Datin Fatimah menjemputku untuk menyertai mereka menjamu selera. Namun aku menolaknya dengan sopan.

"Saya banyak kerja lagi. Nanti saya makan, ya." Segaris senyuman kuhadiahkan.

Mataku merenung satu-satu wajah orang tua di hadapanku itu. Wajah mereka kelihatan tenang, namun terlindung mendung yang kurasa, cuba mereka sembunyikan.

Walaupun mereka sudah dapat menerima hakikat kematian Marie, masih nampak riak sedih pada wajah kedua mereka.

Datin Fatimah hanya menguntum senyuman sebelum aku berlalu masuk ke dapur. Banyak pinggan mangkuk yang perlu aku basuh.

*****

Seminggu kemudian...

IBU bapa Marie sudah pulang ke rumah mereka semula di Johor Bharu. Keadaan di rumah ini kembali sunyi seperti biasa. Namun kesunyian kali ini berlipat kali ganda kerana kehilangan Marie. Sudah tiada lagi suara yang menemani sewaktu aku membuat kerja. Tiada lagi gelak tawanya di dalam rumah ini.

Jeff sudah pergi ke tempat kerjanya. Ernie pula sudah ke sekolah. Haikal masih tidur. Jadi tinggallah aku yang sedang menyapu lantai di ruang tamu rumah Jeff ini bersendirian.

Lagu rancak kupasang pada telefon pintarku menemani kerja supaya aku tidak lagi berasa sedih seperti sebelum-sebelumnya. Bagiku, apa yang sudah berlalu, biarlah berlalu. Sudah ajalnya, apa boleh buat. Yang penting, kita yang masih hidup harus teruskan hidup seperti biasa.

Lama menyapu, aku mula berasa bosan. Bahagian luar dan dalam rumah semua sudah kusapu. Nak masak makan tengah hari pula masih awal. Baru pukul 8.00 pagi. Sarapan pagi pula sudah lama kusiapkan.

Hmm....

Lama berfikir, akhirnya aku memutuskan untuk duduk saja di bilik buat sementara waktu. Boleh main telefon sekejap. Sudah hampir seminggu aku tidak membuka telefon pintarku itu. Segala informasi terkini mesti banyak yang sudah aku ketinggalan.

Aku membuka aplikasi Whatsapp. Beratus mesej tidak dibalas. Malaslah pula hendak membalas kesemuanya. Semuanya tidak penting.

Kemudian, aku beralih ke aplikasi Facebook. Banyak pula berita-berita tentang artis popular. Semuanya gosip-gosip yang tidak mendatangkan manfaat. Tidak berguna.

Dalam sibuk jariku menyapu skrin sambil mataku liar membaca berita-berita terkini, aku tertarik dengan suatu kapsyen berita yang dikongsi oleh laman Mstaronline. Kapsyennya berbunyi 'kematian usahawan terkenal, Jeffry disengajakan?'

Berita ini pasal Marie!

Pantas jariku menekan pautan ke laman sesawang tersebut. Satu per satu patah perkataan kubaca dengan teliti dan sabar sehingga ke penghujungnya.

Namun hampa. Jeffry yang diceritakan bukanlah Jeff yang kukenali. Tetapi usahawan produk kosmetik Terlajak Tersenggol Mati yang sangat terkenal sekarang. Riak hampa menebal sedikit dalam diriku. Iyalah, mestilah aku mahu tahu siapa punya angkara yang menyebabkan segala kucar-kacir ini. Orangnya tidak boleh dilepaskan!

Sedar tidak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Aku bingkas bangun ke dapur untuk menyiapkan makan tengah hari.

"Akak," Haikal menyapaku dari jauh. Jelas kelihatan bahawa dia masih mamai. Baju tidur berwarna biru masih dipakainya. Bantal busuk di tangan juga masih tidak dilepaskan.

"Ya, Haikal?" Aku membalas ringkas tanpa memandang raut wajahnya. Pandanganku tertumpu pada bahan-bahan masakan di hadapan saja.

"Nak susu," pinta Haikal. Botol susunya dihulurkan. Dah besar pun masih lagi isap susu budak ni.

Botol susunya kucapai lalu segera aku menyempurnakan arahannya iaitu membuat susu Dutch Lady seperti selalu. Sudah menjadi tugasan harianku. Jadi, aku tidak kekok lagi membuat semua kerja-kerja ini.

"Nah," botol susu yang penuh dengan susu Dutch Lady kuhulurkan.

"Terima kasih," ucap Haikal lembut dengan pelat-pelatnya lalu berlalu ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Sempat aku mencubit pipinya tadi, membuatkannya mengaduh kesakitan. Tembammmm.

*****

"TUAN. Makan Tuan," Jeff yang baru pulang kusapa dengan mesra. Beg bimbitnya kucapai lalu kuletakkan di atas meja.

Jeff hanya berlalu tanpa memberikan banyak reaksi.

"Nantilah," Jeff pantas melangkah masuk ke dalam biliknya dengan muka masam seperti cuka. Pasti ada masalah membelenggu dirinya.

Sejak kebelakangan ini, aku sedar yang Jeff banyak bersendirian. Tidak lagi banyak bercakap seperti selalu. Mukanya juga asyik masam mencuka sahaja. Mungkin dia belum dapat membiasakan diri hidup tanpa isteri kesayangan di sisi.

Aku sudah cuba juga untuk bertanyakan hal tersebut. Namun tidak dilayan. Setiap kali pertanyaan yang sama kuajukan, pasti jawapan yang kuterima ialah dirinya baik-baik sahaja. Katanya penat kerja. Lepas minta cuti untuk menjaga Marie di hospital dulu, banyak kerja tertangguh.

Mungkin juga. Tapi aku tidak rasa begitu. Pasti ada sedikit sebanyak masalah yang membelenggu dirinya. Paling tidak pun, pasti dia belum dapat membiasakan diri hidup tanpa isteri tercinta di sisi.

Aku faham... Mungkin suatu hari nanti, dia akan kembali normal...

My Maid, My Wife ✔Where stories live. Discover now