Bab 47

2.4K 79 5
                                    

AKU tercegat di hadapan sebuah rumah banglo yang tidak pernah kulihat sebelum ini. Kulihat, ramai sekali orang di perkarangan rumah itu. Suara kanak-kanak bermain kejar-kejar kedengaran di merata tempat.

Aku melangkah penuh kecelaruan ke arah rumah banglo di hadapanku itu. Orang ramai yang berada berdekatan, langsung tidak menyedari kehadiranku, seolah-olah aku hanyalah bayangan halimunan.

Aku masuk ke dalam rumah itu. Di dalamnya turut penuh dengan orang ramai. Di satu sudut, aku ternampak Ernie sedang tercegat sambil membelek telefon bimbitnya. Aku melangkah ke arahnya sambil melaungkan namanya berulang kali namun gadis itu terus melangkah masuk ke bilikku tanpa mengendahkan panggilanku. Aku keliru. Apa yang sudah terjadi?

Di satu sudut lain pula, aku melihat Haikal bersama beberapa orang kanak-kanak lain sedang berkejar-kejaran. Pantas aku mengekorinya sambil berkali-kali melaungkan namanya. Aku mengejar langkahan pantasnya.

Tidak lama berlari, Haikal dan rakan-rakannya berhenti. Begitu juga aku. Bagaikan mimpi, kini aku dikejutkan dengan terdirinya sebuah pelamin yang letaknya tidak jauh dari tempatku berdiri. Di sana, ada dua mempelai sedang duduk bersebelahan. Aku mula keliru. Majlis perkahwinan siapa pula ini?

Aku melangkah menghampiri pelamin itu. Dengan jarak lebih kurang sepuluh meter, aku kembali menoleh ke arah kedua pengantin itu untuk melihat sama ada aku mengenali mereka ataupun tidak. Pengantin perempuan yang kedudukannya agak membelakangiku tiba-tiba sahaja menoleh ke arahku.

Lututku serta-merta terketar-ketar melihat wajah wanita yang berada di atas pelamin itu. Wanita itu... a... aku?

Aku terduduk, namun masih memandang ke arah diriku di atas pelamin itu. Seketika kemudian, pengantin lelaki di sebelahnya memegang bahunya lalu menuturkan sesuatu.

Sekali lagi lututku terketar-ketar bagai hendak tercabut. Benarkah apa yang aku lihat sekarang ini? Lelaki itu... J... Jeff!

"ARGHHHHHHHH!"

PAP!

Aku terjaga dari tidur. Sempat tadi kepalaku terhantuk pada katil Jeff. Aku terkejut. Terkejut kerana mimpiku tadi. Apa pula yang aku mimpikan tadi?

"Itulah, tidur tak baca doa dulu. Kan dah mimpi yang bukan-bukan." Satu suara menegurku.

"Jeff!" Aku menoleh ke arah Jeff. Ya benar, suatu itu milik Jeff. Perasaan gembira di hati tidak dapat kugambarkan. Mahu sahaja aku peluk tubuh lelaki itu sebagai tanda kesyukuran namun hukum agama menjadi penghalang.

"Awak tidur sini malam tadi?" Soalan pertama yang keluar dari mulut Jeff mengelirukanku. Apa dia tidak nampakkah yang aku baru saja bangun tidur?

"Ya. Saya risaukan awaklah, Jeff. Takkan saya nak suruh Ernie atau Haikal pula tidur kat sini. Kesian diorang."

Jeff cuba duduk perlahan-lahan dalam keterpaksaan. Aku membantunya sedikit.

"Bila awak sedar, Jeff?"

"Entahlah. Saya pun tak ingat. Awak ingat sedar daripada pengsan ni sama macam sedar daripada tidur ke, boleh ingat-ingat?"

Aku menayangkan muka menyampah. Mulalah tu mahu menyakat.

"Eleh... bercakap macam orang dah sembuh je!" Perlianku berjaya membuatkan Jeff tersenyum. Ahh, sudah lama rasanya aku tidak melihat senyuman manisnya itu.

"Zara, terima kasih," ujar Jeff tiba-tiba. Aku menoleh ke arahnya. Pandangan kami bertaut. Pantas aku mengalihkan pandangan, memandang lantai. Pipi yang mula memerah cuba aku sorokkan.

"Tak ada apalah. Tak apa, Jeff. Awak berehat dulu. Awak masih tak berapa sihat ni. Saya nak keluar kejap," ujarku seraya melangkah keluar. Jeff pula kembali berbaring di atas katil.

Aku menapak ke arah tandas untuk membasuh muka dan seterusnya menyiapkan diri untuk solat Subuh. Dan ya, aku terlupa hendak beritahu Isya mengapa aku tidak pulang ke rumah.

Telefon bimbit kukeluarkan lalu aku menghantar sepotong mesej kepada gadis itu melalui aplikasi Whatsapp.

*****

"BILA saya boleh keluar dari sini?" soal Jeff perlahan. Aku tersengih.

"Tunggulah awak dah betul-betul sembuh."

"Hey, saya dah sembuhlah. Mana ada sakit dah."

Aku tergelak kecil. Poyo. Hendak duduk pun terhuyung-hayang dan perlukan bantuan.

"Hmm... Jeff, sebenarnya saya ada sesuatu nak beritahu awak."

Jeff menoleh ke arahku. Tajam benar pandangannya. Aku mula gementar untuk memberitahunya niat yang kupendam selama ini.

"Macam ni. Awak kan sakit dan tak boleh banyak bergerak. Haikal dan Ernie pula perlukan seseorang yang boleh jaga diorang. Jaga pemakanan, jaga pakaian dan semualah. Jadi... saya rasa..."

"Awak rasa?" Jeff tiba-tiba menyampuk, menghentikan ceritaku. Hish, sudahlah mahu masuk bahagian paling penting ni. Dia pula boleh potong-potong!

"Hish, dengarlah! Saya rasa... biarlah saya jadi pembantu rumah awak balik. Lagipun saya kesianlah tengok keadaan awak sekeluarga. Awak pun dah banyak bantu saya selama ni."

"A... awak serius ke ni, Zara? Awak selebriti, tau. Macam mana kalau orang dapat tahu awak kerja sebagai pembantu rumah saya?"

"Jeff, awak tak perlu risau. Saya bukannya penting sangat dalam industri lakonan tu pun. Dulu saya jadi pembantu rumah awak hampir tiga bulan, tak ada pun bising-bising. Tak ada sesiapa akan tahu kalau benda ni tak dibocorkan. Tapi kalau bocor sekalipun, biarlah. Lagipun saya dah malas nak jadi pelakon lagi."

Jeff mengukir senyuman manis hingga ke telinga. Suka benar dia mendengar khabar berita itu. Aku juga senang. Senang dapat kembali bekerja atau lebih tepatnya, dapat lebih dekat dengan keluarga itu. Aku sudah jatuh hati dengan keluarga itu.

"Terima kasih, Zara." Senyuman Jeff semakin melebar. Senang hatiku dapat melihatnya dalam keadaan begini. Jika hari-hari dapat melihat senyumannya begini, pasti hilang terus segala tekanan hidup.

Malam itu aku masih menemani Jeff di hospital. Malam itu tidaklah sesunyi malam sebelumnya. Jeff sudah sedar daripada pengsan. Jadi bolehlah aku bersembang dengannya lama sedikit. Walaupun beberapa kali ditegur oleh jururawat kerana bising, namun Jeff masih tidak mengendahkannya. Haih, lagak seperti sudah sembuh saja.

Aku pula entah mengapa terasa bahagia sekali. Pertama kali aku dapat tidur di sisi Jeff. Terasa dekat sekali. Kalaulah hari-hari dapat tidur begini, sakit-sakit pinggang pun pasti akan sembuh sendiri.

My Maid, My Wife ✔Where stories live. Discover now