Bab 60

2.7K 75 2
                                    

HARI Ahad yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Hari ini aku tidak perlu melakukan kerja-kerja rumah selain memasak. Jadi bolehlah aku keluar meluangkan masa yang singkat ini. Pelbagai perancangan sudah awal-awal kurancang bersama Isya.

Selesai saja menunaikan solat Zohor, aku terus bersiap-siap. Baju gaun moden berwarna putih kupadankan bersama tudung bawal berwarna pink pastel. Sejujurnya, aku tidak berapa pandai dalam bab memilih pakaian yang mengikut trend terkini. Asalkan apa yang ada itu kulihat cantik dan menutup aurat, pasti akan kucuba juga.

Solekan ringkas kukenakan ke muka supaya tidak kelihatan terlalu menonjol. Aku lebih sukakan solekan gaya natural kerana ia menampakkan kecantikan sebenar diriku.

Sebelum keluar dari bilik, aku menutup semua suis kipas, lampu dan penghawa dingin. Beg tangan juga sempat kucapai.

Kemudian, aku melangkah turun dan menuju ke bilik Isya. Pintu biliknya kuketuk beberapa kali sebelum dibuka. Isya masih lagi sibuk dengan solekannya. Aku mengambil tempat duduk di birai katil sambil memerhatikan aktivitinya itu.

"Dari tadi tak siap lagi. Dah berapa jam ni." Aku mula membebel sendiri. Mana tidaknya, sudah hampir dua jam dia bersiap, namun masih juga tidak selesai dengan solekannya itu.

"Sabarlah, kak. Sikit je lagi ni," balasnya perlahan sambil meneruskan sesi solekannya. Aku hanya mampu mengeluh. Mahu tidak mahu, terpaksalah tunggu juga sehingga Isya selesai. Inilah dugaan apabila mendapat adik yang cantik.

*****

"STARTLAH betul-betul enjinnya." Suara Isya dari tadi menyuruhku supaya menghidupkan enjin kereta dengan betul. Aku mula rimas dengan permintaannya itu. Bukannya aku tidak menghidupakn enjin kereta Toyota itu dengan betul, malah sudah lebih lima kali kuhidupkan dengan penuh berhati-hati namun ia masih juga tidak mahu hidup.

Entah apa yang salahnya, enjin kereta yang hendak kupandu tiba-tiba saja tidak hidup. Entah apalah yang rosak agaknya.

Aku keluar dari perut kereta lalu melangkah ke bahagian bonet di hadapan kereta. Terbuka sahaja bonet itu, muncul asap tebal menyentuh muka kami. Aku mengeluh sendiri. Sudahlah aku tidak tahu hendak mengenal pasti kerosakan kereta.

"Macam mana ni, Isya? Kereta rosaklah. Nak naik teksi ke?" soalku sambil mataku merenung Isya yang sudah masam saja mukanya.

"Cubalah akak tanya Jeff. Kot-kot dia tahu."

"Kenapa ni?" Jeff muncul di hadapan pintu sebaik sahaja namanya disebut Isya. Dia berjalan menghampiriku.

"Ni hah, kereta rosak. Tak tahulah kenapa. Awak boleh tolong checkkan?"

Jeff melihat ke arah bonet kereta itu lalu beberapa bahagian enjin dibelek-beleknya seperti sedang menganalisis kerosakan yang berlaku.

"Baterinya habis ni. Awak nak pergi mana? Jauh ke?"

"Kitorang nak pergi bandar sana. Tak apalah, kita ambil teksi ajelah, Isya." Aku merenung Isya. Mukanya berkerut seribu. Aku faham benar dengan sikapnya yang tidak suka menaiki teksi. Katanya keselamatan tidak terjamin.

"Nak pergi bandar? Bagus sangatlah tu. Saya pun nak pergi sana jugak. Jomlah saya tumpangkan."

Aku merenung Isya. Dia mengangguk sambil tersenyum suka. Namun aku tidak pasti sama ada aku mahu menumpang Jeff atau tidak. Takut juga jika menyusahkannya nanti.

"Tak apalah Jeff. Menyusahkan aw..."

"Eh boleh je. Jomlah kita bertolak sekarang. Nanti lewat pula kan, kak?" Isya memotong percakapanku. Aku hanya merenungnya saja dengan pandangan tidak puas hati.

Jeff menghidupkan enjin keretanya dan Isya awal-awal lagi sudah masuk ke bahagian penumpang di belakang kereta itu. Aku cuba mengawal perasaan. Kurang asam punya adik!

*****

"SAYA tinggalkan awak dekat sinilah, ya? Nanti dah siap, awak call saya. Nanti saya datang ambil, okey?" Jeff memberhentikan keretanya di hadapan sebuah perhentian bas berdekatan deretan kedai-kedai. Aku mengangguk sambil memberinya senyuman termanis. Kemudian, aku dan Isya melangkah keluar dari kereta. Dalam beberapa saat, kereta yang dipandu Jeff hilang dari pandangan.

Aku mengajak Isya ke pusat beli-belah berdekatan untuk membeli beberapa barangan yang sudah hampir habis seperti alat solek, dan beberapa helai tudung. Itulah perancangannya.

*****

"CANTIKNYA baju ni. Kalau Haikal pakai mesti comel, kan?" Mataku tertumpu pada sepasang pakaian kanak-kanak bercorak kartun Ejen Alif. Bajunya kelihatan comel sekali. Terbayang-bayang pula jika Haikal memakainya. Pasti bertambah comel.

"Kalau cantik, belilah." Isya menyindirku. Aku diam, memikir kembali baki duit yang tinggal di dalam dompet. Rasanya bakinya cukup untuk membeli sepasang pakaian kecil itu. Pasti harganya tidak terlalu mahal.

Aku berjalan menghampiri set baju dan seluar yang digantung di penyangkut baju yang dipaparkan di kedai pakaian itu. Tanda harganya kubelek, lantas itu, mataku terbeliak luas. WHATTT? 200 ringgit untuk sepasang baju sekecil itu? Tak masuk akal!

Pantas aku memusingkan kembali badan ke belakang dan mengajak Isya keluar dari kedai itu. Tidak masuk akal betul!

"Kenapa keluar? Tak jadi beli ke?" soal Isya yang masih terpinga-pinga dengan perbuatanku menariknya pergi secara tiba-tiba.

"Mahal sangatlah harganya. Sepasang baju kecik macam tu pun harganya boleh cecah 200 ringgit. Padahal corak Ejen Alif je. Semua orang pun boleh buat corak yang sama. Hish, tak masuk akal betul! Kita cari kedai lain ajelah." Aku melampiaskan kegeramanku pada Isya. Lengannya yang dari tadi kugenggam, perlahan-lahan kulepaskan.

"Nak cari sekarang ke? Nanti dululah. Kita rehat dulu, ye? Laparlah." Isya memegang-megang perutnya tanda lapar.

"Okey, jom kita makan dulu. Lepas tu kita baliklah, ya? Akak penat ni. Dah banyak barang kita beli, kan?" Aku mengangkat beg-beg plastik berisi barang-barang yang kami beli di pusat beli-belah tadi. Rasanya semua barangan yang kuperlukan sudah berada di tangan.

"Iyelah iyelah. Kita makan dulu."

Aku dan Isya berjalan kaki saja menuju ke sebuah kafe terbuka tidak jauh dari pusat beli-belah yang kami kunjungi tadi. Tidak mahulah berjalan jauh lagi. Kakiku sudah lenguh.

Sejurus tiba di kafe itu, kami mengambil tempat di bahagian paling luar. Sengaja hendak menghirup udara segar di luar. Jika asyik menghirup udara dari penghawa dingin pun tak berapa elok untuk jantung. Takut juga jika udaranya boleh menyebabkan jangkitan pada alveoli dan tisu di sekitarnya sehingga menyukarkan oksigen disalurkan ke dalam darah. Silap-silap boleh terkena penyakit pneumonia ataupun radang paru-paru pula. Bahaya!

Beg tangan kuletakkan di atas meja sementara beg-beg plastik hasil beli-belah kuletakkan di kerusi kosong di sebelah. Kemudian, aku mengambil tempat di kerusi kosong berhadapan dengan Isya. Sementara menunggu pelayan tiba, aku membuka telefon bimbit sekejap untuk meredakan penat.

Tidak lama kemudian, muncul seorang gadis muda mengambil pesanan kami. Aku hanya memesan air milo ais dan sepotong kek vanilla saja. Aku memang tidak suka makan makanan-makanan berat apabila berada di luar.

"Akak, Isya pergi tandas sekejap, ya." Isya bangun dari duduknya dan berlalu ke tandas. Aku pula duduk termenung sementara menunggu pesanan tiba. Tapak tangan kubelek-belek. Kotornya, MashaAllah!

Sedar akan tahap kekotoran tangan, aku bangun lalu menuju ke paip yang tersedia di hujung kafe untuk mencuci tangan. Entah apalah yang kulakukan sehingga kotor begitu.

"Tolongggg!"

Sedang aku mencuci tangan, kedengaran suara jeritan seseorang meminta pertolongan. Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang menjerit tadi.

Mataku terbeliak, niatku untuk membasuh tangan tiba-tiba saja terbantut. Pantas aku berlari menuju ke meja tempatku duduk tadi. Dengan nafas tercungap-cungap, aku menjerit sekuat hati.

"Tolongggggg!"

My Maid, My Wife ✔حيث تعيش القصص. اكتشف الآن