Bab 15

4.2K 144 15
                                    

SEPANJANG tempoh berehat disebabkan kemalangan yang kualami tidak lama dahulu, aku kembali ke rumah asalku. Isya yang bertanggungjawab menjagaku sepenuhnya walaupun kadang-kadang dia juga sibuk. Nasib baiklah keadaanku tidak terlalu teruk.

Selagi masih boleh bangun untuk ke dapur dan ke tempat lain, bagiku tiada masalah untuk aku selesaikan segala keperluan diri. Yang penting cuma makan ubat yang diberikan oleh doktor dan dapatkan rehat yang cukup saja.

Agak teruk juga luka yang kualami disebabkan kemalangan itu. Mana tidaknya, dilanggar betul-betul di bahagian hadapan kereta. Nasib baiklah kereta yang dipandu Anna itu tidak terlalu laju. Jika tidak, mungkin sudah lama cerita ini habis.

Berehat di rumah, kurasakan seperti di penjara. Membosankan. Tiada apa yang dapat kulakukan, kecuali bangun ke dapur, menonton tv, dan tidur saja.

Dan sebab itulah, aku berdegil untuk kembali bekerja di rumah Jeff setelah dua minggu berehat di rumah. Walaupun masih lagi sakit, aku gagahkan diri untuk bekerja disebabkan tidak tahan akan kebosanan terkurung di rumah.

Tetapi setiap kerjaku masih dipantau oleh Marie. Dia ada menolongku menyiapkan kerja-kerja yang berat, walhal boleh sahaja aku melakukan semua kerja itu sendiri. Tapi dah ada orang nak tolong, takkan nak tolak kan? Hoho.

Sedang aku mengelap meja makan, aku terdengar derap langkah seseorang menuruni tangga. Pantas aku menoleh. Jeff dengan pakaian kasualnya sedang sibuk merapikan rambutnya sambil melangkah menuruni tangga.

"Zara, pergi siap-siap sekarang," sapa Jeff dari belakang membuatkanku sedikit konfius.

"Siap? Siap untuk apa?"

"Hari ni hari jadi Haikal. Dia nak awak ikut sekali sambut hari jadi dia."

"Habis, kalau saya pergi, siapa nak bersihkan rumah ni?"

"Hari ni awak rehat. Dah bersih dah rumah ni. Nak bersih macam mana lagi? Dah cepat siap. Lambat tinggal."

Yahoo! Aku melompat kegirangan seperti kanak-kanak mendapat coklat tanpa kusedari.

Sedar perbuatanku diperhatikan oleh jelingan tajam Jeff, aku menundukkan wajah lalu berlalu masuk ke bilikku.

Mana tidaknya, ini merupakan kali pertama aku diajak keluar. Jika sebelum ini, aku hanya diajak keluar ke pasar raya sahaja. Itu pun hanya untuk membeli barangan keperluan, kemudian pulang. Kalau ada pun, mungkin sekali dua kali sahaja. Aku tidak ingat pula bila masa aku diajak keluar...

'Nak pakai baju apa, eh?' Aku bermonolog sambil memunggah almari pakaianku, mencari baju yang sesuai.

Disebabkan aku masih dalam proses penyamaran sebagai pembantu rumah, lebih baik aku memakai jubah labuh sahaja. Jubah yang cukup selesa berwarna ungu. Cukup panjang menutup tubuh dari bahu hingga kaki. Tudung pula, aku sarungkan shawl yang kurasakan sesuai.

Selesai menyiapkan diri, aku keluar. Tiba sahaja aku di ruang tamu, semua sudah duduk menunggu kehadiranku. Orang pertama yang bangun apabila melihat pakaianku ialah Jeff.

"Baju apa kau pakai ni? Tak sesuailah. Kita nak sambut birthday Haikal tau. Bukannya nak pergi kelas mengaji. Tukarlah. Lagipun tema hari ini warna biru."

Betul juga. Patutlah aku nampak semua lengkap berpakaian serba biru.

"Tapi, saya mana ada baju dah. Ini jelah baju paling cantik saya ada."

Sejurus selepas itu, aku sedar Jeff ada mencuit paha Marie membuatkannya mengaduh kesakitan. Faham dengan isyarat yang diberikan Jeff, pantas Marie membawaku ke bilik persalinannya. Almari pakaian yang berlabel 'biru' dibukanya.

My Maid, My Wife ✔Wo Geschichten leben. Entdecke jetzt