Bab 9

4.1K 170 14
                                    

SEDAR tak sedar, hari ini genap sudah seminggu tempoh aku bekerja sebagai pembantu rumah di rumah banglo milik Jeff ini. Segalanya masih normal padaku.

Apa yang dapat aku simpulkan sepanjang keberadaanku di dalam rumah ini, yang pertama, Jeff dan anak sulungnya, Ernie yang bersikap dingin dan panas baran. Seterusnya, Marie, isteri Jeff dan Haikal iaitu anak bongsu mereka yang bersikap merendah diri dan peramah.

Selain itu, aku juga dapat berkenal-kenalan dengan beberapa pekerja lain di rumah ini seperti Pak Asad yang bertugas sebagai pemandu peribadi, Pak Motawh yang bekerja sebagai pekebun dan ramai lagi. Rumah orang kayalah katakan. Mestilah pembantunya ramai.

Secara keseluruhannya, dapat aku membuat kesimpulan bahawa keluarga ini tidaklah sebesar mana, namun mampu menghidupkan kebahagian dengan pelbagai ragam dan perangai.

*****

"ZARA, pukul 11 nanti siap-siap, ikut aku pergi supermarket. Barang-barang dapur tu dah habis dah. Selagi aku tak tegur, selagi tulah kau tak bagitahu... haih." Bebelan Jeff kedengaran di cuping telingaku. Habis tahi telinga terkeluar dengan setiap patah perkataan yang keluar daripada mulutnya itu.

Aku hanya mengangguk. Kemusian mataku mengiringi langkahan kaki Jeff yang dibawa menjauhiku. Walau sudah jauh pun masih lagi kedengaran bebelan tak henti keluar daripada mulut Jeff itu. Apa ajalah yang dibebelkannya itu.

Sebaik sahaja Jeff berlalu pergi ke tempat kerja, aku naik ke bilik tidur Haikal.

Dia masih tidur di katil kecilnya. Tersenyum sahaja wajahnya, seperti sedang bermimpi sesuatu yang indah. Aku duduk perlahan-lahan di kepala katil. Rambutnya yang agak serabut, aku usap-usap dengan telapak tangan.

Sejuk hatiku memandang wajahnya. Dia seorang sahajalah yang selalu menemaniku di saat yang lain sibuk di tempat kerja dan di sekolah.

Setelah melihatnya mengubah posisi tidur, aku bangun perlahan-lahan. Tidak mahu mengganggu tidurnya.

Niat untuk mengemas biliknya aku tangguhkan dahulu. Setelah dia bangun nanti, baru aku akan mengemas biliknya.

Lantas langkah kaki kuhala menuju ke dapur untuk membasuh pinggan-pinggan mangkuk yang sudah lama terbiar kotor tidak dibasuh sejak pagi tadi.

*****

AIHH... berat pula troli ni. Aku menolak troli menuju ke arah Jeff yang sudah bercekak pinggang di hadapan.

"Kau ambil troli ke buat troli? Berjam-jam aku tunggu, tahu?"

Hishh tu pun nak marah... tempeleng kang. Macam mana boleh jadi ayah dengan sikapnya yang 24 jam mahu mencari kesalahan orang ni?

"Heheh sorrylah, Tuan. Bukan saya sengaja. Berat sangatlah troli ni." Alasan yang tidak munasabah terkeluar daripada mulutku.

"Lain kali kuat sikit, tahu? Macam mana nak jadi isteri kalau troli pun tak larat nak tolak? Ni baru suruh tolak tau, belum suruh angkat lagi. Nampak sangat tak pernah tolong mak beli barang dapur. Inilah dia budak-budak zaman sekarang, tak reti menghargai jasa ibu bapa. Bila nak sesuatu minta pada ibu bapa, tapi bila diorang minta tolong, semua lari! Macam mana nak masuk syurga macam ni? Dahh, bagi troli tu kat aku, biar aku yang tolak."

Seperti machine gun, bebelan yang menusuk ke kalbu keluar daripada mulutnya dengan lantang sekali di hadapan orang ramai yang lalu-lalang. Ya Allah! Malunya aku!

Setelah troli diberikan kepadanya, dia terus berjalan tanpa menungguku. Aku yang masih memerah muka kerana dipandang oleh segelintir orang yang lalu-lalang, hanya membuntuti langkahnya dari belakang.

"Mana list kau? Keluarkanlah! Nak cari barang macam mana kalau list tu kau simpan? Dah hafal?"

"Yelah Tuan. Saya tahulah. Janganlah jerit-jerit. Malulah orang tengok."

"Eh suka hati akulah nak jerit ke, nak menari ke, nak buat apa-apa ke. Supermarket ni bukan ayah diorang yang punya!" Lantang Jeff menjerit.

Aku menepuk dahi. Habis supermarket ni ayah dia punya ke?

*****

DARI satu tempat ke satu tempat kami berjalan, akhirnya tinggal bahan-bahan mentah seperti ikan, ayam dan udang sahaja yang tinggal. Aku meluru ke arah longgokan ayam yang tersusun di hadapanku dengan langkah yang pantas. Sengaja tidak mahu menunggu Jeff yang terkedek-kedek berjalan di belakang. Sengaja mahu merajuk! Itupun bukannya dia perasan pun. Huh!

"Tuan nak ayam yang macam mana?"

"Kau pilih jelah yang mana-mana! Yang penting elok."

Mataku tajam memerhatikan longgokan ayam di hadapan mata. Tumpuanku adalah untuk mencari ayam yang kelihatan segar dan gemuk. Barulah puas makan.

"Yang sana tu nampak segarlah, Tuan! Tolong ambilkan!" Aku meluruskan jari telunjukku ke arah seekor ayam yang kelihatan segar yang berada berdekatan dengan Jeff.

"Kau ambillah sendiri. Kotor nanti tangan aku pegang benda hanyir macam ni!" ujar Jeff sebelum berundur dan menjarakkan diri dua langkah ke belakang daripada longgokan ayam tersebut.

"Eleh, suruh ambil ayam pun susah. Hmm... inilah budak lelaki zaman sekarang! Pegang ayam tak nak! Katanya kotorlah, berbaulah, hanyirlah! Padahal ayam ni juga yang masuk dalam perut nanti. Nak jaga kebersihan konon. Ni mesti tak pernah tolong mak potong ayam kat dapur! Tulah... bila dah besar, dah ada harta, lupa mak ayah! Padahal mak ayah yang bergadai nyawa dan harta menjaga dari kecil! Macam mana nak melangkah ke syurga macam ni?"

Kata-kata itu aku luahkan dengan penuh perasaan dendam di dalam hati. Sengaja aku kuatkan lontaran suara agar orang yang berada di sekeliling juga dapat mendengar. Puas hati!

"Hoi! Kau membebel apa, hah? Cepatlah sikit pilih ayam tu!"

Ketakutan, aku mengambil ayam yang menarik perhatianku. Selepas itu, kami beralih ke bahagian daging, ikan dan udang pula.

Namun yang peliknya, kali ini Jeff menawarkan diri untuk mengambil sendiri ikan dan udang yang segar menggunakan tangan!

Huh, terasalah tu dengan ucapan aku tadi! Rasakan!

My Maid, My Wife ✔Where stories live. Discover now