PART 31 - It Feels Right...

247 5 0
                                    


Datin Yasmin sedang menjirus pokok bunga petang itu ketika Radit tiba di rumah.

Selesai membayar tambang uber, Radit menyusun langkah ke arah pintu pagar. Terlihat kelibat Datin Yasmin sedang menjirus pokok. Mak memang suka menghabiskan masanya bersama pokok-pokok. Salam diberi.

Pantas Datin Yasmin menutup pili airnya dan menjengah di pagar. Serta-merta dia membuka kunci. "Dit!

"Mak..sihat ke?" sapa Radit bersalam dan mencium tangan maknya. Rindu pula dengan mak yang selalu meleterinya. Ah, mak mana yang tidak membebel kepada satu-satunya anak yang dimiliki?

"Sihat, Dit. Datang dengan siapa?" Datin Yasmin menjengah ke belakang Radit kalau-kalau ada kelibat kereta Ammar. Kosong.

"Sorang je, naik uber mak." Jawab Radit bersahaja.

Datin Yasmin merenung wajah si anak. "Kesian anak mak." Dia mengusap pipi Radit yang tersenyum. Mana pernah Radit dibiarkan bersusah begitu. Memanjat tangga bas, teksi, LRT. Belas hatinya!

"Takpe mak. Radit dah biasa. Best pulak." Seru Radit. Sebetulnya banyak yang dipelajarinya sepanjang tidak berkereta itu. Tentang sabar, bagaimana perasaan mereka yang kurang berkemampuan bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan bagaimana hendak berjimat kerana dia tidak perlu lagi membayar wang petrolnya. Radit juga dapat berkenalan dengan beberapa orang yang semuanya warga emas.

Ada seorang wanita tua, Mak Jah namanya berulang alik dari rumahnya ke pusat bandar semata-mata untuk menjaja kerepek buatannya sendiri, bagaimana anak-anak membuangnya sehingga dia terpaksa mencari nafkah sendiri. Semua itu mengajar Radit bahawa betapa nikmatnya hidupnya yang masih punya pekerjaan yang boleh menyara hidupnya sendiri.

Radit mula melihat kehidupannya dari perspektif yang berbeza. Dan hari ini, dia terserempak dengan pak cik tua yang pernah dihalaunya dari tepi pejabatnya tidak berapa lama dahulu dengan kata-kata nista. Pak cik Hashim langsung tidak terasa dengan kata-kata Radit kepadanya ketika itu.

Dan Radit sesungguh hati meminta maaf dengannya. Sempat lagi Radit menghulurkan wang ke tangan pak cik Hashim yang amat berat untuk menerimanya. Kata pak cik Hashim, duit tidak dapat mengembalikan isteri dan anak-anaknya yang telah meninggal dunia. Pak cik Hashim menasihatkan Radit supaya sentiasa menghargai segalanya yang ada di dalam hidupnya, walaupun sekecil perkara. Juga memesan Radit supaya jangan tinggal solat.

Radit rasa terhenyak perasaannya apabila pak cik Hashim mengatakan yang dia dahulu adalah kaki mabuk, kaki judi yang sentiasa berada di rumah-rumah urut dan rumah pelacuran. Anak isteri diabaikan sehingga suatu hari rumahnya terbakar hangus berserta segala harta benda dan anak isterinya turut terkorban dalam kemalangan itu.

Kini dia menghabiskan masanya berjalan ke sana sini mencari ketenangan. Dia sedar Tuhan sedang memberinya pembalasan atas segala perbuatannya. Kini, dia tinggal di masjid-masjid dan mengalas perut dengan apa sahaja yang diperoleh. Walaupun dia adalah seorang pendosa, Allah sentiasa memberikan rezeki walau di mana sahaja dia berdiri walau setelah apa yang pernah dilakukannya. Mungin juga kerana dia telah bertaubat nasuha. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Radit sedar yang dia mesti berubah segera sebelum terlambat!

"Mari masuk Dit. Dit dah makan ke ni? Ada lagi lauk tengah hari tadi. Makan ya? Bibik! Tolong siapkan makan. Radit balik ni." Laung Datin Yasmin sambil menarik tangan anaknya ke dalam. Radit hanya menurut. Rindu masakan rumah. Terdengar bibik menyahut dari belakang.

"Macam mana Dit dengan Rheya sekarang?" tanya Datin Yasmin turut makan bersama walaupun dia telah makan tadi.

Radit tersenyum. "Makin baik mak." Jawab Radit. Dia sedang senang hati sebenarnya. Rheya tidak lagi seliar merpati apabila Radit cuba merapatinya.

NOVEL : RINDU YANG TERAKHIRTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang