BAB 34

32 0 3
                                    


Lembaran surat dengan tulisan tangan itu ditenung lama. Setiap huruf membina perkataan. Ini surat yang disisipkan oleh 'seseorang' di bawah pintu bilik Jane tengah hari tadi. Diketuk namun saat Jane buka pintu, tidak ada kelibat manusia. Yang ada hanya secebis kertas itu.

Pukul 4.00 petang ini di pondok saya. Ajak Nenek juga ;)

Juna.

Surat itu disimpan dalam tote beg. Sekalung tasbih dengan manik hijau turut disimpan sama. Jam sudah menunjukkan pukul 3.45. Sebenarnya, dia sudah mengajak Nenek tetapi kata Nenek, dia mahu melawat Mak Cik Sakinah. Katanya, Mak Cik Sakinah mengajak Nenek untuk minum petang bersama.

Awan kelabu nampaknya sedang megah menguasai langit. Bayang-bayang hujan hendak turun kelihatan jelas. Jane capai payung merah jambu yang tersandar pada tepi pintu rumah.

Matahari sedang angkuh. Tidak mahu menerangi langit. Barangkali juga, sedang takutkan awan yang bertukar kelabu itu. Ngeri dengan kemunculan kilat kemudiannya.

Jane mempercepatkan langkahnya. Dia tidak mahu ditimpa hujan di pertengahan jalan. Dalam fikiran, pelbagai tanda soal bermain, terbang ke sana ke mari dalam ruang, meminta Jane untuk mencari jawapannya.

Ada apa Juna mengajaknya ke pondok itu?

Apa dia mahu menagih janji Jane?

Dan kenapa perlu ajak Nenek untuk turut serta?

Jane sengaja menggunakan jalan yang melintasi rumah Juna. Dia yakin bahawa Juna sudah berada di pondok. Ini masa terbaik untuk dia melawat Mamak. Dia tidak pernah melihat ketidaksempurnaan Mamak sebagai satu kekurangan. Tidak sekalipun apa yang dibicarakan Wan dahulu terlintas dalam kepalanya.

Jane tersenyum saat wajah Mamak muncul. Sedang duduk bersandar di sofa panjangnya. Tangan tua itu nampak sibuk menggubah bunga kertas yang ada di atas meja. Satu hal yang Jane tahu, walaupun sebelah mata Mamak tidak mampu melihat, tetapi sebelah lagi matanya masih dapat menangkap samar-samar cahaya. Hanya saja, tidak dapat melihat dari kejauhan.

Derap kaki Jane menarik perhatian Mamak. Pantas kepala itu berpaling.

"Mamak. Ini Jane."

Automatik senyumnya terbentuk. Melengkung disertai kedutan kulit cerah itu. Jane melabuhkan duduk di samping Mamak.

"Lama Mamak tidak mendengar suaramu, nak."

"Jane pulang ke Malaysia seminggu yang lalu," jelas Jane. Mamak mencapai sebuah gunting lagi lalu dihulurkan kepada Jane. Dia meminta Jane untuk menggubah bunga kertas itu bersama-sama. Katanya, tangan halus Jane lebih berseni.

"Juna juga ada memberitahu Mamak tentang pemergian kamu ke Malaysia. Sedih katanya." Mamak tergelak. Jane ketawa paksa. Nampak Mamak suka dengan kehadiran Jane di sini.

Jane berdehem sekejap. Tangannya pantas menggunting dedaun kuning yang ada pada dahan pokok bunga kertas itu.

"Juna itu..." Jane telan liur kelat. "tidak pernah punya teman wanita ya, Mamak?"

Tepat sangkaan Jane, soalannya mengundang tawa wanita itu lagi. Bahunya terhinjut akibat tawa yang kencang itu. Pipi Jane sudah berona merah. Menyesal rasanya menyoal perkara seperti itu. Andai Mamak menceritakan perihal ini kepada Juna, nescaya Jane tidak akan mahu bersua muka dengan lelaki itu lagi!

Tawa Mamak mereda lalu dia menyambung pekerjaannya. Sempat kepala itu tergeleng berkali-kali. Orang muda sedang dilamun cinta.

"Juna itu orangnya pendiam. Cuek dan dingin sama perempuan. Ketika dia masih bekerja di Warung Pak Amit itu, Saifuddin sering berseloroh tentang wajah Juna yang garang sehingga perempuan pun tidak berani mendekatinya. Bahkan Cempaka itu, hanya dia anggap sekadar sepupu. Tidak lebih dari itu meski sudah banyak yang menggalakkannya untuk menikahi Cempaka," kata Mamak.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now