BAB 32

11 0 0
                                    


Hari ini, setelah semalam dia menerima tawaran Wan, Wan mengajaknya untuk berjumpa dengan rakan kongsi serta anak lelaki yang bakal dijodohkan dengan Jane. Abang Paul tidak henti-henti memujuk Jane agar usah khuatir. Katanya, lelaki itu kacak dan bergaya. Yang paling penting, dia berduit.

Jane hanya membisu sepanjang perjalanan. Dia duduk di antara Wan dan Abang Paul dalam kereta mewah itu. Membiarkan suara Abang Paul yang tidak jemu-jemu mempromosikan lelaki itu kepadanya.

Apabila menyedari bahawa dia hanya bercakap seorang diri, tumpuannya beralih pula kepada Wan. Perbualan berlangsung ke arah perniagaan. Bagaimana Abang Paul begitu teruja untuk berkeluarga dengan orang ternama itu. Tambahnya, dia tidak sabar untuk melihat graf keuntungan syarikat naik lima kali ganda kerana menggunakan terusan milik orang tersebut.

Entah siapa, Jane tidak mahu ambil tahu. Fikirannya terarah kepada Mama. Petang kelmarin, setelah Jane bersetuju dengan tawaran Wan, Wan akhirnya membenarkan Dr. Elya untuk merawat Mama. Cekap tangan Dr. Elya sehingga keadaan Mama kembali stabil meskipun Mama belum sedar sepenuhnya. Hanya ketika itu, Jane menarik nafas lega.

"Kau tahu, Jane. Lelaki itu namanya Tuan Sharip. Sahabat lama Papa. Sejak Tuan Sharip berkunjung ke rumah Wan tahun lepas, dia seperti terpesona dengan kecantikan kau. Semasa kau masih remaja juga, dia sering menyatakan hasrat kepada Papa untuk menjadikan kau menantunya. Sayang, Papa kau menolak. Kata Papa kau, dia mahu anak perempuan kesayangannya itu memilih sendiri pasangan hidupnya."

"Itu dahulu. Sekarang, Henry sudah lama tiada." Wan menambah. Jane ketap rahang kuat. Penumbuk dikepal dalam diam. Dia benci mendengar suara wanita tua itu.

Paul hela nafas lemah. "Benar. Tetapi, tidak mengapa. Kau pasti akan bahagia setelah bergelar menantu Tuan Sharip, Jane."

"Orang mana?"

Paul menegakkan tubuh yang tadinya bersandar. Dia tidak menyangka bahawa Jane yang tadinya berdiam diri kini bertanya mengenai perkahwinannya. Ah, Jane hanya tidak mahu Paul itu seperti orang gila. Bercakap tanpa berteman.

"Orang Indonesia. Orang kaya di salah sebuah negeri di Indonesia. Dia punya sebuah terusan. Terusan Hili namanya. Terusan itu telah menjadi laluan beribu-ribu kapal. Setiap kapal yang melaluinya harus membayar wang yang cukup lumayan. Kau bayangkan, andai setiap hari, ada beratus kapal. Sebulan, boleh cecah berpuluh ribu kapal!" Paul berkata dengan penuh antusias. Paul berhenti. Dia menoleh ke arah sepupu perempuannya itu. "Oh ya, kau pernah lihat anak Tuan Sharip yang bakal menjadi suami kau itu?"

Jane geleng kepala. Tanpa sedar, air matanya menitis lagi. Entah sudah kali ke berapa dia begitu. Sapu tangan pemberian Mama dibawa menyeka air mata. Apa yang pasti, wajah Juna menghuni fikirannya. Apa yang perlu dia katakan apabila bersua muka dengan lelaki itu kelak? Bagaimana mungkin dia berupaya untuk memberitahu Juna bahawa dia bakal menikah dengan orang lain?

Dia sudah berubah hati? Tidak semudah itu untuk membohongi perasaan sendiri. Dia tidak mahu melukai hati Juna. Juna seorang lelaki yang baik. Seorang yang penyayang. Seorang yang sabar dan cekal. Tidak tergamak untuk seorang Jane menyakiti seseorang seperti Juna.

"Berhenti menangis." Suara berbaur perintah datang dari arah Wan. "Aku tidak mahu anak Tuan Sharip itu berubah fikiran gara-gara melihat wajah muram kau. Andai perkara itu berlaku, kau juga tahu apa kesannya."

Ugutan demi ugutan! Jane sudah jemu! Muak!

"Kenapa kau menangis, Jane? Ada lelaki yang berjaya memenangi hati perempuan kau?"

Ingin sekali Jane mengiyakan. Tetapi, dia tidak mahu Paul tahu tentang Juna. Cukuplah hanya Wan. Pada akhirnya, dia hanya pegun tanpa menjawab soalan Paul.

Jauh Lebih SempurnaΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα