BAB 18

4 0 0
                                    

Suara memberi salam mengejutkan Jane yang sedang sibuk memberi makan Milo di dapur. Cepat-cepat dia mencapai tudung lalu melangkah keluar. Milo dibiarkan makan berseorangan. Makanan terakhir Milo daripada Jane.

"Melur?" Jane berkerut kening melihat Melur di halaman rumah. Dalam pelukan, ada sebuah balang besar dengan isi gula-gula coklat berbungkus ungu. Coklat kegemaran Jane!

Melur hulurkan balang tersebut kepadanya. "Ambil balang ini, kak." Arah Melur.

Jane menurut. Diangkat balang tersebut lalu diperhatikan isinya. Sungguh menggoda melihat warna ungu tersebut. Dia mencangkung di hadapan Melur.

"Siapa punya?", soal Jane.

"Seharusnya, tanya siapa kasi, kak." Melur membetulkan. Jane mencuit hidung mungil Melur.

"Siapa kasi?" Soalan dibetulkan.

"Ayo main tebak-tebak."

Jane menjulingkan bebola matanya ke atas. Ingin rasanya jari ini mencubit pipi Melur itu. Mulus dan halus.

"Kalau tidak mahu bagitahu kakak, ya sudah. Bawa pulang balang ini." Jane mengugut. Balang dihulurkan kembali kepada Melur. Menunjukkan bahawa dia tidak kisah sekiranya Melur menolak untuk berkrompomi dengannya.

Walaupun hati kecilnya ingin sekali bibir menuturkan nama tersebut, tetapi akal enggan. Rasa malu lebih besar. Khuatir mulut cerdik Melur memanipulasikan jawapannya.

Gula-gula coklat itu, siapa lagi jika bukan dia?

Melur mendengus kasar. Tidak berpuas hati dengan Jane yang menolak permintaannya. Tawa meletus melihat muncung Melur yang sudah seperti muncung itik.

"Bilang saja, siapa yang kasi ke siapa?"

Melur mencebik. Giliran dia mencuit hidung Jane. Bukan mencuit, tetapi mencubit! Melur mendekatkan bibir ke sebelah telinga Jane. Sebelah tangan menghadang pergerakan bibir dari dibaca.

Seolah-olah sedang menghantar maklumat perisikan negara lagaknya.

"Abang Juna kasi coklat itu kepada kakak Jane.", perlahan dia menuturkan ayat itu. Dia kembali ke posisi asal. Kemudian, tertawa kecil sambil menutup mulut. Macam anak dara gadis sunti!

Tangan kecil Melur menyentuh lembut pipi Jane. "Pipinya sudah macam buah epal." Dikucup lembut. "Melur jadi lapar."

Mata Melur menjeling isi balang besar itu. Terjungkit-jungkit keningnya. Menghantar satu permintaan melalui gerak-geri mata dikombinasikan dengan riak wajah.

Jane tahan lucu. Tiba-tiba, dia teringatkan sesuatu. Hilang sudah senyumnya.

"Melur tidak ke sekolah?" Bimbang mula timbul. Hari ini hari Selasa. Dan jam pula masih menunjukkan pukul 10 pagi. Tempat Melur sekarang ini seharusnya di kelas. Bukan di halaman rumah ini.

"Melur tidak sempat ke sekolah. Bangunnya terlalu lambat."

Jane picingkan matanya. Meragui jawapan Melur.

Melur angkat tangan kanan bersedia untuk melakukan pembelaan ke atas diri sendiri. "Sumpah, Melur memang tidak sengaja!" Sungguh-sungguh Melur mempertahankan diri.

Lama-lama, Jane akhirnya percaya. Mungkin Melur benar. Juna juga pernah memberitahunya bahawa Melur jarang bolos sekolah. Dia buka balang tersebut lalu sebungkus gula-gula coklat diberikan kepada Melur.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now