BAB 6

7 0 0
                                    

"Potong bawangnya hati-hati nak.", pesan nenek. Jane mulai memotong bawang merah dengan teliti. Sehiris demi sehiris dipastikan agar seragam.

Sebiji bawang sudah siap dihiris. Tinggal dua biji bawang merah, sebiji bawang putih dan cili. Jane senyum lebar. Berpuas hati dengan hirisannya.

Suara memberi salam dari luar. Pasti Juna. Awal juga lelaki itu kemari.

Jane pandang wajah lelaki yang sudah duduk di hadapannya. Dahi berpeluh-peluh dengan nafas termengah-mengah. Pasti baru pulang dari pantai. Kemudian, Jane menyambung semula pekerjaannya yang terhenti tadi.

"Baru pulang dari pondok?" Nenek yang sedang menggoreng ikan di dapur bertanya.

"Ya, nek. Alhamdulillah, rezeki orang kampung. Banyak juga hasilnya hari ini." Nyata Juna. Hampir berpuluh kilo juga siput sedut yang dibeli tadi. Musim air pasang juga menjadi faktor. "Nenek kenapa tidak turun hari ini?", soal Juna kembali.

"Cuti umum.", saudari di hadapan menyahut. Juna berpaling kepada jari jemari runcing yang memegang pisau itu. Perlahan dia menghiris bawang merah buatkan Juna tersenyum halus. Terusik melihat jemari runcing itu teliti benar dengan kerjanya.

"Selalu juga negara nenek cuti umum, ya?"

Jane mencebik. Dia menjulingkan matanya ke atas apabila melihat mata lelaki itu sudah sepet sedikit.

"Kerja laut ini memang seronok. Boleh cuti sendiri apabila penat. Kalau boleh, Jane mahu nenek cuti 3 hari seminggu.", tutur Jane sungguh-sungguh. Dalam seminggu ini, dia sudah memberi cuti umum selama 2 hari kepada nenek. Hari Rabu dan hari ini, yakni hari minggu.

Jane tahu dia tidak mungkin memberikan cuti terlalu banyak kepada nenek kerana orang tua itu pasti tidak akan setuju. Jika dia sendiri yang turun ke laut tanpa nenek, alamatnya masuk televisyenlah nenek nanti!

"Bagus juga. Nenek boleh berehat.", balas Juna ringkas. Dia menuang air kopi yang terhidang di atas meja ke dalam cawan kecil. Lalu, dihirup air hitam itu. Segar.

"Sedap air kopi ini. Siapa yang buat?"

Jane angkat tangan sebelah. Wajah bangga ditayangkan.

"Jane yang buat, nak.", kata nenek menjadi saksi utama.

Juna tatap anak mata bangga itu. Bibir mengoyakkan senyum nipis. Sambung menghirup air kopi bancuhan gadis itu. Kopi ini agak manis. Barangkali, dia tertumpah gula ke dalamnya, Juna tahan lucu.

Seketika kemudian, nenek menghampiri meja sambil membawa ikan yang sudah siap digoreng. Diletakkan berhati-hati lalu ditutup dengan tudung saji rotan buatan tangan itu.

Ikan pemberian Juna kelmarin perlu dimasak dengan segera. Tidak enak rasanya menumpang peti sejuk orang lain. Separuh sudah diberikan kepada jiran itu juga. Supaya orang tidak serik membantu.

Apabila mata nenek terpandang hirisan bawang Jane, kening nipisnya automatik berkerut. Diambil sehiris bawang tersebut lalu diangkat. Khuatir mata tuanya sedang menipu.

"Jane..."

Jane angkat kepala. Bunyi tawa dari saudara di hadapan sudah mulai keluar. Cemberut wajah Jane apabila lelaki itu sudah tergelak besar.

"Kenapa, nek?"

Nenek hanya menayangkan senyuman. "Tidak apa-apa, nak."

"Itu hirisan bawang atau Tembok Besar China?", Juna semakin galak ketawa. "Tembok Besar China yang terbalik!". Lucu melihat hirisan bawang yang tebal dengan sisi hirisan salah. Nampak sedikit... aneh.

Jauh Lebih SempurnaKde žijí příběhy. Začni objevovat