BAB 22

4 0 0
                                    

Jane ambil duit kertas yang keluar dari ATM itu. Kepingan kertas dikira lalu dimasukkan ke dalam beg silangnya. 300 ribu rupiah. Naik 100 ribu rupiah berbanding kebiasaannya. Kerling Melur yang setia berdiri di sebelah.

"Mahu beli apa, kak?" Dengan polosnya Melur bertanya.

Jane tidak menjawab soalan Melur itu. Matanya dililaukan ke sekeliling. Diseberang jalan berdekatan dengan kaki lima, beberapa buah gerobak sedang berteduh di bawah pohon rendang. Di bawahnya, ada sebilangan pelanggan sedang duduk bersama kenalan masing-masing. Ais kacang, telur gulung dan cilok antara barang dagangan yang dijual.

"Melur mahu makan telur gulung?"

Melur memandang kawasan jualan tersebut. Dia seperti sedang berfikir.

"Kakak Jane mahu makan telur gulung?" Melur menjawab soalan dengan soalan buatkan Jane tertawa.

"Kakak tanya Melur. Kalau Melur tidak mahu, kakak saja yang beli. Biar Melur telan air liur saja." Jane bergurau membuatkan Melur nampak sedikit cemas.

"Kakak belanja?"

Jane cuit hujung hidung itu. "Ya, Melur. Kakak belanja."

Setelah itu, mereka berdua menuntun basikal menghampiri gerobak itu lalu membeli telur gulung. Kemudian, duduk atas bangku yang disediakan. Basikal disandarkan pada pokok berdekatan. Lumayan masih belum banyak orang yang membeli di sini. Barangkali, masih tengah hari. Anak-anak sekolah juga sudah banyak yang pulang.

Jane pandang anak kecil yang sedang enak mengunyah telur gulung itu. Sekejap-sekejap, tangan mencelupkan telur gulung ke dalam sisa sos dalam plastik. Apabila dia masih belum berpuas hati, dia meminta sos lagi daripada penjual telur gulung itu. Jane geleng-geleng kepala melihat kelakuan anak itu.

Jane menawarkan telur gulung miliknya kepada Melur. Masih ada dua di tangannya. Dia sudah kenyang dengan sarapan di rumah pagi tadi. Disuakan telur gulung itu kepada Melur. Pada mulanya, Melur malu-malu. Namun, apabila Jane meyakinkan Melur bahawa dia sudah kenyang, Melur akhirnya mahu mengambil telur gulung itu.

"Enak, Melur?"

"Enak!" Melur menjawab dengan mulut yang masih penuh. "Kakak tahu, abang Juna juga suka makan telur gulung di sini. Kata abang Juna, telur gulung di sini menyimpan banyak kenangan semasa dia masih bersekolah dahulu." Melur tidak segan silu bercerita.

Jane hanya mendengar. Abang Juna suka telur gulung? Ini perkara baru yang dia tahu tentang lelaki itu. Mengingatkan tentang Juna, fikirannya mengimbas semula ketika dia dan Juna menguburkan Milo di atas bukit. Patah perkataan terakhir yang terbit dari bibir merah lelaki itu berjaya menghidupkan rama-rama yang sedang elok berehat dalam perut.

Tetapi, entah kenapa, dia rasa takut. Dia takut hatinya jatuh tanpa ada yang menyambut kerana jika tidak, hati itu pasti akan pecah berderai. Dia tidak mahu itu berlaku. Dia melarang sekeras-kerasnya perkara seperti itu berlaku. Berkali-kali, dia memberi amaran kepada hati agar berhenti melayani perasaan aneh itu.

"Kak, Melur haus." Suara anak kecil menyentak Jane. Dia menyuruh Melur untuk tunggu sebentar sebelum dia bergerak ke gerobak yang menjual jus sejuk yang agak jauh dari kedudukan mereka. Setelah selesai, Jane cepat-cepat kembali ke gerobak asal. Dia bimbang akan Melur. Baru tersedar bahawa dia sudah meninggalkan Melur seorang diri dengan hanya ditemani penjual telur gulung di situ.

Apabila Jane kembali, kakinya terpasak sendiri apabila Melur sudah hilang dari tempatnya. Wajah Jane pucat. Akalnya berhenti berfungsi apabila gerobak telur gulung itu juga sudah tidak kelihatan. Jantung turut berhenti berdegup.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now