BAB 1

82 3 1
                                    


Pulau Kampas, Kepulauan Maluku, Indonesia.

Jane memandang lauk di hadapannya dengan pandangan kosong. Nasi berlaukkan ikan masin dan tempe goreng. Dia merengus kasar. Benci dengan apa yang dihidangkan untuknya. Jika bukan ikan masin, tempe goreng. Jika bukan tempe goreng, ikan masin lagi. Maklumlah, dia sekarang ini tinggal di perkampungan nelayan. Tapi, dengan lauk yang berulang setiap hari?

Seorang Jane sudah muak!

Dan untuk setiap detik yang dia lalui di sini, seratus peratus dia letakkan kesalahan pada Mamanya.

Tidak lama selepas itu, muncul seorang nenek tua membawa minuman di atas talam.

Dua gelas air putih diletakkan di atas meja. Kerusi ditarik lalu dia duduk di atasnya.

"Makan ya nak.", ujar suara tua itu dengan senyuman tidak lekang dari bibirnya. Jane merenung wajah tua itu. Kedutan yang jelas kelihatan terlihat di setiap inci kulit wajahnya. Bawah matanya bengkak dan kelopaknya kendur. Kepalanya pula, penuh dengan bebenang putih tanpa seurat pun benang hitam.

"Jaga nenek baik-baik, Jane"

Pesan Mamanya terngiang-ngiang di telinga. Rasa pedih mulai menjalar di sanubarinya. Sebulan lamanya dia tinggal di sini, tiada lauk lain yang menjadi santapan harian. Hatinya tertanya-tanya.

Inikah kehidupan neneknya?

Mamanya hidup mewah berkelana jauh di dalam kapal, sedangkan neneknya terumbang-ambing di atas perahu usang dengan ombak yang membadai.

Mamanya itu ... tidak punya hatikah?

"Nenek tiada lauk lain?", Jane bertanya dengan nada yang lembut. Khuatir hati tua itu terguris dek kata-katanya. Jane menatap lama ikan masin di hadapannya. Jika dia tidak makan sekarang, nenek juga tidak akan makan sama.

"Maaf ya neng. Kalo wang nenek sudah cukup, nenek belikan bakso ya.", balas nenek. Suaranya seperti sedang menahan sesuatu. Nenek tahu bahawa Jane sangat suka makan bakso. Jane jadi pilu sendiri. Dompet merah jambu di dalam beg silang dikeluarkan. Isi di dalamnya ditenung lama.

10 ribu rupiah.

Dari 100 ribu rupiah kini berkurang angkanya. Jane ingin mengutuk diri sendiri kerana terlampau boros berbelanja. Wang saku pemberian Mamanya banyak dibazirkan untuk membeli barang jajanan.

"Nenek mahu makan bakso?"

Nenek geleng kepala. "Simpan duit itu dulu buat beli jajan kamu. Biar nenek aja yang nabung."

Giliran Jane menggelengkan kepala. Jane bukan anak kecil yang tidak mampu berfikir. Jane sudah dewasa dan dia manusia yang punya hati nurani juga. Masakan duit tabungan orang tua itu untuk membeli kemahuannya.

Jane tahu sumber pendapatan neneknya selama ini dari mana. Nenek seorang pejuang laut. Dia laksamana hebat yang harinya bertarung dalam samudera dengan perahu kecilnya.

Mendengar geroncongan perut yang semakin kuat kedengaran, Jane mengambil keputusan untuk menggunakan wang saku terakhirnya itu.

"Nenek tunggu dulu.", arah Jane sebelum kakinya laju melangkah keluar. Selipar Jepun di hadapan pintu rumah disarungkan ke kaki lalu dia pun menuju ke warung berdekatan.

Dalam perjalanan, dia terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak lelaki dengan kaki berlumpur. Jane hanya mampu menggelengkan kepala. Sudah beberapa kali dia menegur kanak-kanak itu agar tidak bermain di tepi sungai, tetapi mereka tetap ingkar. Entah mengapa mereka itu lebih gemar bermain lumpur berbanding bermain di persisiran pantai, Jane sendiri garu kepala.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now