BAB 4

12 0 0
                                    

Jane sudah berkemas dengan selendang putih yang diberi nenek. Hari ini, Jane berjaya memujuk nenek untuk berjalan bersamanya di pantai. Memanjakan jiwa dengan keindahan alam.

Seminggu berlalu, Jane sudah mula selesa pergi ke laut bersama nenek. Selama itu jugalah nenek memendekkan waktu bekerjanya. Dia tahu nenek kasihan akan dirinya. Tetapi, itu juga cara Jane supaya nenek dapat berehat lebih.

Hari ini, Jane umumkan sebagai cuti. Nenek dilarang sekeras-kerasnya untuk melakukan apa-apa kerja. Jane yang masak berbekalkan memori ketika diajar oleh Mak Wan dahulu. Masak nasi goreng untuk dijadikan sarapan, makan tengahari sekaligus makan malam.

Jane pandang wajah pada cermin. Tangan mula menari atas kulit wajah yang mula memerah akibat sinaran matahari itu. Direnungnya setiap inci, automatik bibir menguntum senyuman.

Wajahnya... kelihatan lain apabila tersarung selendang.

"Selalu cantik dan manis." Nenek muncul dari belakang. Jane terkejut apabila nenek muncul tiba-tiba. Senyuman ditayangkan.

"Ini selendang nenek?", soal Jane, agak rendah suaranya tetapi cukup untuk didengari oleh nenek. Selendang yang sedikit lusuh itu dibelai hujungnya. Lembut.

Dia agak jarang memakai selendang. Selalunya, dia hanya memakai tudung bawal. Tidak menyangka wajahnya agak lain apabila mengenakan selendang ini.

"Iya, nak," jawab nenek.

Langkah diatur menuju ke halaman rumah. Jane membuntuti nenek.

Kemudian, mereka berdua berjalan bersama-sama ke destinasi yang ingin ditujui. Jane melirik wajah nenek dari sisi.

Kedut di wajah dan gelapnya kulit menjadi saksi wanita ini benar-benar hebat. Jane tahu nenek dan aki, kedua-duanya nelayan hebat. Sama-sama turun ke laut mencari rezeki. Jane juga tahu nenek sangat bahagia hidup bersama aki walaupun hidup mereka serba kekurangan.

Jane dapat lihat semuanya melalui gambar-gambar lama yang tersimpan rapi dalam almari biliknya saat dia mengeluarkan selendang putih itu.

Nenek senyum, aki senyum dan... Mama kecil ketawa riang menampakkan gigi putihnya.

Jane tertanya-tanya, apa punca figura di dalam gambar itu seolah-olah menjauh antara satu sama lain. Kerana aki yang sudah pergi?

Atau kerana Mama sudah berjaya menemui bahteranya?

Sehingga Mama lupa akan rakit yang pernah dia singgahi?

Jane hela nafas lemah. Mama... kenapa menjauh?

"Nenek!" Suara riang kedengaran. Nampak seorang lelaki sedang melambai-lambai ke arah mereka dari kejauhan.

Lelaki itu sedang berjalan di sisi pantai dengan langkah melaju ke arah mereka. Manis senyuman menjadi penyeri kepada wajah tampannya.

Ada dua cawan kertas di tangan.

Lelaki itu menyambut kedua-duanya seperti selalu. Ramah.

Sepanjang minggu, Juna menanti Jane dan nenek di pondok usang, bersedia untuk membeli barang dagangan mereka. Jane juga semakin senang dengan Juna.

Kata Juna, kelak jambatan akan dibina untuk merentasi kampung ini. Tiada lagi jambatan gantung yang reput, tiada lagi perahu sampan.

Pekerjaan bakal menjadi lebih mudah. Jimat tenaga dan jimat masa.

Jauh Lebih SempurnaWhere stories live. Discover now